30 Ogos 2009
Bagi memenuhi kehendak ruangan Romantika yang bakal ditulis Cik Yam, saya perlu memberinya gambar-gambar yang menunjukkan aksi intim. Sempat membuka majalah Midi untuk melihat persembahan rencana-rencana lepas. Wah poyonya kena bergambar duduk rapat-rapat. Mana saya ada gambar-gambar terbaru seperti itu. Yang ada pun gambar dari album lama itulah. Album itu merakamkan kenangan saya sewaktu bercuti di London, tinggal bersama suami yang ketika itu menuntut di University of the Arts London. Dia menyewa rumah orang Pakistan di East Ham, di pinggir bandar.
"Yang ini sesuai tak?" Saya bertanyakan jurugambarnya. Tujuan menunjukkan gambar lama itu sebab saya tidak mahu diambil gambar dalam keadaan sebegitu romantik.
"Boleh, boleh," kata jurugambar Midi. Malangnya dia menghendaki juga kami berposing untuk gambar baru, selain gambar bersama anak-anak. Nasib baiklah kesemua ada di rumah pada hari itu.
Tidak lama kemudian Cik Yam pun sampai dan dia tersenyum menyaksikan gelagat kami memberikan posing. Rumah teres di lereng bukit yang bertingkat-tingkat (5 aras) ini tidak begitu luas bagi setiap aras, menyebabkan kami terpaksa mengalih barangan ke sana kemari untuk menyesuaikan dengan angle yang dikehendaki. "Macam shooting Anjung Seri pula," kata saya.
Selesai bergambar, Cik Yam menemuramah kami mengenai bagaimana mengekalkan perkahwinan sehingga usia 25 tahun. Dan terkeluar cerita lama bagaimana kami berkenalan sewaktu di kampus dahulu. Nasib baik Cik Yam tak tanya, adakah saya bahagia? Soalan itu sangat subjektif. Dari mana hendak dinilai kebahagian itu? Wang ringgit/harta benda atau kasih sayang? Kalau harta/wang ringgit. Tidaklah.
Mungkin bagi sesetengah orang menganggap seorang isteri yang tidak bekerja, hanya duduk di rumah memerintah pembantu membuat itu dan ini, dibaluti kemewahan dan dapat membeli apa sahaja, kerap melancong ke luar negara, saban minggu mengunjungi salun kecantikan untuk membelai dan mencantikkan diri, dinamakan bahagia. Yang ini bukanlah saya.
Tapi kalau dari segi perhubungan kasih sayang, mungkin yelah. Maksud saya, mendapat suami yang tidak memeningkan kepala dengan perangai di luar dan setia menghantar mengambil saya ke pejabat selama 25 tahun ( tolak dua tahun sewaktu di di luar negara dan out station). Menulis surat setiap minggu tika dia berada di rantauan (dulu-dulu mana ada sms dan e-mel, telefon sesekali saja sebab mahal).
Pun begitu sebut fasal bertengkar - biasa jugalah, sebab masing-masing pun ada keegoan, pendapat dan prinsip. Maklumlah suami isteri, lagikan gigi dengan lidah tergigit...
kumpul dosa setahun, bila hari raya barulah bermaafan! He He he.. Jangan ikut perangai ini.