Friday, February 19, 2010

Lagi Kisah Kamil, Sedan dan Deha...

Kamil (baju ungu), Sedan (baju peach), Deha (baju kuning -- tinggi)



Macam tak ada kisah menarik nak dicerita. Balik-balik fasal Kamil. Pulang dari asrama minggu lepas, sempena cuti Tahun Baru Cina, dapatlah kami pulang ke Bandar Jengka semalaman. Kamil tak sabar nak jumpa dua sepupunya yang masuk sekolah Tahfiz di Kuantan. Sebelum balik Kamil bertanya , "Macam mana dengan Sedan dan Deha (Rasydan dan Adha)...?"

"Macam mana apa?" Tanya saya.

"Perangai dialah..?"

Dalam kepala Kamil kalau masuk sekolah Tahfiz, tentulah perangai Sedan dan Deha sudah bertukar menjadi orang alim. Pulang hari Sabtu lalu, dapatlah Kamil bertemu sendiri dengan dua sepupunya itu. Saya pun teruja nak jumpa dan menemubual Sedan dan Deha. Sampai di rumah, yang kelihatan berbeza hanyalah kepala mereka yang hampir tidak berambut. Setiap dua minggu sekali rambut mereka dicukur, katanya untuk `meringankan' kepala dan supaya mudah menghafal.

Sebelum itu, Kamil asyik menyebut mahu pergi bersekolah Arab atau Tahfiz. Dia terkilan tidak dapat masuk sekolah seperti itu.

Sewaktu berbual-berbual sambil makan tengah hari, Biah kakak Sedan mengejipkan mata... sambil berbisik memberitahu mahu membawa Sedan keluar dari sekolah itu. Pengajian Tahfiz tanpa pelajaran akademik, membuatkan mereka tidak yakin dengan masa depan Sedan.

"Cadang nak bawa dia keluar dari sekolah Tahfiz tu," kata Biah.
"Dia nak ke?" Soal saya.
"Sedan kata, kalau tukar ke sekolah lain dia tak nak, tetapi kalau tukar ke sekolah Kamil, dia nak. Kamil belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak yang ada kelas program rancangan khas Bahasa Arab.

"Sedan kata, kalau tukar dia nak masuk sekolah Kamil," kata kakaknya lagi.

Saya tersenyum. Kenapa? Sebabnya, saya terkilan Kamil tak masuk sekolah Tahfiz macam Sedan, tetapi Sedan pula nak masuk sekolah Kamil.

Perbualan saya dengan Biah terdengar pula oleh emak Deha, lalu dia bertanya... "Biah kata, dia nak keluarkan Sedan? Inilah abah Deha marah betul, Saya dah bagi tahu jangan keluarkan... kata nakkan didikan agama, supaya dia jadi anak soleh. Kalau keluar nanti, jadilah macam abang dia tak lekat di rumah," rungut emak Deha.

Saya tahu, paling emak Deha bimbang ialah takut Deha juga mahu ikut keluar. Kisahnya, sebulan pertama Deha di sekolah Tahfiz, dia asyik merengek mahu pulang. Deha tidak pernah berenggang dengan ibunya, itulah... home sick setiap malam teresak-esak nangis tapi Sedan biasa saja. Tengah seronok berbual-bual, bila teringat rumah - muka Deha berubah, tiba-tiba panjat katil dan menangis lagi teresak-esak. Sedanlah yang memujuk Deha supaya jangan sedih. Sedan adalah anak yatim, bapanya meninggal sejak dia masih kecil tetapi berhati tabah kerana selalu juga ditinggalkan ibunya yang kerap bekerja outstation.

Sedang memikir untuk syorkan Sedan masuk sekolah anak yatimTahfiz yang ada pengajian akademik, supaya Sedan dapat belajar Tahfiz dan akademik serentak. Kamil pula, nampaknya sudah seronok duduk di sekolahnya... mungkin sudah dapat ramai kawan baru, tidak lagi teringat-ingat sangat untuk ke sekolah agama di Sabak Bernam. Ramai kawan-kawannya masuk sekolah di situ.
Muka boring Kamil sewaktu mendaftar di sekolahnya. Dia merungut kerana tak ada seorang pun kawannya masuk ke sekolah itu. "Sebab Kamil seorang saja yang terpilih masuk ke sekolah ini, " saya memberi alasan untuk memujuknya.

Leka melayari blog orang

Hmmm dalam tak ada semangat nak update blog, tiba-tiba semangat berkobar-kobar nak kembali bercerita. Ini gara-gara selepas banyak membaca blog orang lain yang tidak dikenali. Sejak diperkenalkan oleh kawan baik, Zurin mengenai blog Salam Dua Benua Blog milik rakyat Malaysia yang tinggal di Perth Australia, saya kini sudah pandai berlayar jauh ke seberang laut. Zurin juga memperkenalkan saya kepada blog `patinpasta' milik anak pahang yang kini berada di Spain.

Ralit membuang masa membaca kisah hidup mereka, dalam hati berkata-kata mereka ini banyak sungguh masa untuk mengupdate blog. Lemongrass pemilik blog Salam Dua Benua yang berasal dari Ijok, adalah antara yang aktif, setiap hari melaporkan kisah santai dalam keluarganya di Perth. Paling saya suka tengok gambar makanan Barat yang disediakan untuk keluarganya setiap hari. Nampak macam susah untuk disediakan tetapi mungkin senang sangat bagi dia yang sudah biasa dengan masakan Barat.

Kalau kawan-kawan buka blog Salam 2 Benua berderet senarai nama blog kawan-kawannya di seluruh dunia. Agak saya, mereka ini mungkin tidak bekerja makanya boleh mengupdate blog setiap hari. Gaya penceritaan dalam bahasa Inggeris bercampur b Melayu dengan ejaan sesuka hati, membuat kita berasa santai dan tidak jemu membacanya.

Okeylah, sekarang saya nak update kisah saya pula.... nak cerita apa ya? Tengoklah enteri di atas...