Tajuk: Studio Amber Chia
Tulisan: RASHIDAH IBRAHIM
Gambar: Ihsan Fix Interior Collections
Berada di studio gaya hidup, Amber Chia Academy di Jaya One, Petaling Jaya sudah cukup untuk membuat kita teruja membayangkan gelagat pelajar peragaan tetapi sayangnya sesi fotografi dibuat dalam keadaan studio kosong bagi menonjolkan keindahan reka hias dalaman, bukan gelagat orangnya.
Bertempat di sebuah lot pejabat tingkat satu, studio milik supermodel itu direka hias bergaya moden dengan suasana ringkas tetapi menarik. Sesuai fungsi, ruang dalamannya dibahagikan kepada empat sudut utama, iaitu ruang peragaan, solekan, pentadbiran dan lounge, masing-masing menonjolkan suasana lapang sebagaimana kebiasaan sebuah studio berkenaan.
Direka hias oleh syarikat binaan dan reka bentuk dalaman tidak asing lagi, Fix Interior Collections, suasana studio berkeluasan 173 meter (1,861 kaki) persegi itu ternyata selesa. Dengan lantai dilapisi permaidani hitam pekat, ditambah kehadiran perabot pilihan pereka menyuntik penampilan gah dan bergaya pada keseluruhan ruang.
Sesuai tempat latihan yang memerlukan pergerakan bebas, ruang peragaan sekadar menyediakan sepasang kerusi kulit merah beralas tangan dan sebuah meja kopi, diletak di tepi dinding konkrit bercat putih. Sebuah lampu lantai di antara dua kerusi merah membiaskan cahaya tumpu ke lantai dan siling serta menerbitkan seri di ruang dalaman ini. Salah satu dinding dilengkapi cermin sepenuhnya untuk kemudahan peserta memerhati gerak langkah sendiri sewaktu berlatih catwalk. Studio itu dilengkapi sistem teater rumah tajaan Philips manakala dinding berhias poster Amber Chia dalam aksi peragaan.
Di lot kedai yang sama disediakan studio solekan, terletak berhampiran pintu masuk. Pada daun pintu berkenaan tertera nama studio, Amber Chia Academy ditulis dalam huruf tebal warna putih dengan hiasan motif bulan warna merah cili. Sekeliling dinding bilik dipasangkan kaunter solek dan cermin, sekali gus memberi ilusi luas pada keseluruhan ruang berkenaan. Himpunan peralatan solek kelihatan tersusun kemas di atas kabinet berpulau. Peralatan solek itu sengaja diletak di kawasan tengah untuk kemudahan diguna. Pada siling selari kabinet berpulau digantung lampu chandelier warna merah, pencetus seri ruang.
Sebagaimana hasil sentuhan Fix Interior Collections yang lain, ruang dalaman studio itu direka hias bergaya moden. Menurut Pengarah Urusan syarikat itu, Edwin Cassian, disebabkan kerja-kerja mereka bentuk lebih ringkas daripada sebuah rumah, masa yang diambil untuk menyempurnakannya hanyalah satu bulan.
Amber Chia Academy diilhamkan oleh Amber Chia, seorang model dan pelakon antarabangsa yang tidak asing lagi. Bagi beliau, studio itu adalah kemuncak kejayaannya selepas lebih satu dekad berkerja keras dan melalui pelbagai liku perjuangan di bidang berkenaan. Studio itu diurus bersama rakan pengasas, Benjamin Toong, “guru catwalk”. Bersama-sama mereka berazam untuk berkongsi kesenangan, ilmu dan pengalaman dalam bidang berkaitan dengan golongan muda yang berminat. Mereka menawarkan latihan di bidang seni kreatif peragaan, solekan dan fotografi termasuk di studio cawangan di Melaka.
Keterangan gambar: (gambar selebihnya akan disiar dalam majalah Anjung Seri)
Pix 518 dan 519. Sesuai dengan fungsi studio, lantai diberikan kemasan kayu manakala salah satu dinding dipasangkan cermin sepenuhnya. Di sisi salah satu dinding menempatkan sepasang kerusi pereka beralas tangan warna merah dan sebuah meja kopi berkaki krom. Sekitar kawasan itu diserikan lampu lantai berterendak bentuk petak hitam.
Ruang solekan tampil luas dengan kehadiran cermin pada seluruh dinding. Cermin solekan dilengkapi kaunter berlaci yang dipadankan dengan kerusi tinggi berkaki krom. Kabinet di tengah menempatkan himpunan alat solek manakala bahagian bahawah kaunter solek menyediakan kabinet enam laci.
pix 56 56. Dinding bercat serba putih sekadar dihiasi poster Amber Chia dalam pelbagai aksi peragaan.
Gambar last:
Ruang beristirahat (lounge) menyediakan sebuah sofa kulit putih dua tempat duduk berhias kusyen hitam putih dan sepasang kerusi beralas tangan bentuk bundar yang disusun saling mengadap meja kopi. Tepi dinding dilengkapi kabinet berkaunter antaranya menempatkan alat komputer, layar televisyen dan cerek elektrik jenama Philips.