Jemputan ke majlis preview Persembahan Muzikal Tun Abdul Razak (MTAR) memberi peluang kepada saya menonton persembahan di Istana Budaya buat pertama kali. Barulah saya dapat melihat kehebatan pentas bergerak - yang boleh diturun dan dinaikkan mengikut kehendak set seperti yang diwar-warkan di media massa sewaktu bangunan itu dirasmikan dulu.
Dalam rasa terpegun melihat kehebatan pentas dengan susun atur prop yang kemas dan terancang, saya merenung tajam ke atas pentas setiap kali prop digerakkan. Sambil melihat aksi pelakon, mata melilau mencari sesuatu... mana dia? Apa yang saya intai sebenarnya ialah Iliyana (anak perempuan saya tulah) yang katanya nak ambil pengalaman jadi krew di pentas IB. Banyak kali kelihatan kelibat budak-budak krew yang bergerak dengan langkah bersahaja. Kehadiran krew pentas, tidak kelihatan menganggu persembahaan sebaiknya mereka menjadi seperti sebahagian daripada tenaga persembahan. Apa tidaknya sudah berminggu-minggu berlatih.
Sudah setengah daripada masa persembahan berlalu, barulah saya ternampak Iliyana. Tak kenal pula apabila berada di atas pentas. Setiap prop seperti bangunan kedai, rumah dan sebagaiknya mempunyai roda dengan itu mereka dengan mudah dapat menolak prop berkenaan ke tengah atau ke tepi pentas. Ada bangunan hingga setinggi 9 kaki. Saya memikir-mikir berapa pula kos menyediakan prop berkenaan yang saling bertukar ganti.
Antara prop, Padang/Dataran Merdeka dengan berlatar bangunan Sultan Abdul Samad, pejabat kerajaan di London dan di Tanah Melayu, Rumah Perdana Menteri, rumah Felda, suasana kampung suasana lawatan Tun Razak Ke China dan lain-lain.
MTAR menampilkan Rashidi Ishak sebagai Tun Abdul Razak dan Fauziah Latif sebagai Tun Rahah serta membabitkan kira-kira 200 artis yang kebanyakannya adalah pelajar ASWARA daripada semua jurusan pengajian Teater, Tari, Muzikal, Penulisan Kreatif dan Videografi. Skripnya adalah hasil nukilan pelajar Penulisan Kreatif, manakala Datuk Rahim Razali sebagai pengarah. Teater ini pernah dipentaskan tahun lalu di Aswara. Kerana kecemerlangannya, persembahan itu diangkat martabatnya ke Istana Budaya.
Sempena preview untuk press, saya menonton sambil menghayati perjalanan cerita teater selama dua jam itu. Bercadang pergi lagi untuk merakamkan gambar ilham set pentas. Ulasan keseluruhan persembahan bagi saya yang jarang menonton teater ini, hem seronok jugalah. Tak rasa jemu. Dengan set bertukar ganti, gelagat penari yang ceria dan dialog-dialog lakonan yang jelas, ternyata hebat.
Menontonlah untuk berhibur sambil mengingati semula kisah perjuangan politik Tun Abdul Razak, anak Pahang yang juga bapa kepada Perdana Menteri kita sekarang. (Pertunjukan 16 - 20 Ogos ini).