Saturday, May 30, 2015

Perarakan Bot Berhias Magic of the Night 2015







                                                           

             
Entah berapa kali pertunjukan bot berhias diadakah di Putrajaya tetapi baru tahun ini dapat menyaksikannya. Jemputan majalah Gaya Travel bagi menyertai program “Keajaiban Malam  2015”, memberi peluang kepada saya untuk menonton perarakan berkemilau itu. Bot-bot yang menyertai perarakan terserlah reka bentuknya menerusi pancaran cahaya lampu yang dipasang pada keseluruhan rangka bot.


                                                       Tarian pembuka tirai

Difahamkan ini adalah perarakan kali ke lima dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tahun ini disertai 17 bot mewakili semua negeri di Malaysia di samping Tourism Malaysia, Cruise Tasik Putrajaya dan satu penyertaan dari negara luar iaitu daerah Suzhou Republik Rakyat China. Acara dimulakan dengan ucapan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz, diikuti persembahan paluan irama gendang oleh Orkestra Tradisional Malaysia dan Kumpulan Gendang 1 Malaysia, pertunjukan bunga api dan perarakan Flotila.




Bot-bot yang menyertai perarakan direka hias membawa identiti setiap peserta. Dengan tema Endless Celebrations, setiap bot yang melayari sepanjang tiga kilometer Tasik Putrajaya menampilkan gabungan gemerlap lampu dan rona. Semua reka bentuk melambangkan ikon dan produk pelancongan serta kebudayaan negeri masing-masing. Penataan itu selaras dengan hasrat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menggalakkan pelancong tempatan dan asing menghargai kepelbagaian budaya seni bina, warisan dan tradisi di Negara ini.

Majlis perarakan tahun ini diserikan persembahan keharmonian irama pergendangan 1 Malaysia bertajuk Seratus Irama Pergendangan MyFEST 2015, merangkumi kumpulan pergendangan Kompang, gendang Cina, India, Jido dan Bhangra.

Acara ikonik pelancongan Negara ini turut disaksikan 70 wakil media dan ejen pelancongan luar negara yang diundang khas oleh Tourism Malaysia di bawah program Mega Fam. Ia berlangsung selama empat hari bermula dari 28 Mei 2015.




Bot Berhias Melaka

Mengekalkan konsep Melaka Bandaraya Warisan Dunia Unesco yang menjadi kebanggaan kerajaan negeri, bot berhiasnya memperlihatkan konsep bot yang diguna pakai sebagai aktiviti pelancongan, `Melaka River Cruise'. Ia menonjolkan ikon-ikon utama produk pelancongan negeri itu iaitu Masjid Kampung Hulu (antara masjid tertua di Melaka dan Malaysia), Porta De' Santiago, Stadthuys, Menara Taming Sari yang berseni dan keunikan masyarakat etniknya.



 Bot berhias, Perbadanan Putrajaya.

Bertemakan Floria, ia mengetengahkan konsep seni bina tradsional Islam dan moden, dengan logo gah melambangkan rasa berbesar hati Perbadanan sebagai agensi bertanggungjawab dalam mentadbir dan menguruskan Putrajaya sebagai Pusat Petadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia.



Bot berhias, Pahang.

Dengan tema Menyerlahkan Rahsia Pahang... , ia mendedahkan Bebar "Black Water Jewel", kompleks hutan paya gambut yang meliputi kawasan seluas 160,000 hektar di Pekan, Kawasan itu diselimuti dengan nilai keaslian flora dan fauna serta kekayaan warisan alam semula jadinya yang tersendiri.

Bebar, adalah ntara habitat tertua dan hutan paya terbesar di Asia Tropika. Penampilan botnya menyelitkan sebahagian hidupan liar yang belum kelihatan oleh mata kita, di samping mengajak penonton untuk bersama-sama menghargai, memelihara dan mewarisi anugerah alam itu.



Bot berhias, Kelantan.

Berilhamkan Flora dan Fauna, reka bentuk  menampilkan binaan perahu diraja Kelantan dinamakan Pertala Indera Sri Kelantan. Motif ukiran pada perahu melambangkan keagungan nila kesenian Negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan Darul Naim.

Pertala Indera Sri Kelantan mengikut sejarah kesultanannya, adalah satu kurniaan istimewa yang disembahkan oleh Raja Siam iaitu Raja Chulalongkorn Rama V kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Long Senik Putera Long Kundur (Sultan Muhammad ke IV) sempena keberangkatan baginda ke Negeri Kelantan pada tahun 1905.




Bot berhias Negeri Sembilan.

Memaparkan seni binaan rumah tradisionalnya yang dipengaruhi rumah Minangkabau.  Rakyat Minangkabau yang berhijrah ke Melaka dengan merentasi Selat Melaka pada masa lampau membawa bersama seni binaan tradisional tempat asal mereka dari tanah seberang, seterusnya menjadi ikutan untuk dibina oleh rakyat negeri itu kemudiannya. Reka bentuk berseni itu dapat dilihat di Muzium Negeri Sembilan yang dibina pada 1953.



Bot berhias Tourism Malaysia

Memilih tema Irama Malaysia, perarakannya diiringi bunyi ketukan harmonika muzik tradisional Malaysia. Reka bentuk menampilkan peralatan yang menghasilkan bunyian muzik tersebut. Meneliti di bahagian belakang bot, terdapat replika bayau, iaitu monyet Proboscis yang menjadi maskot Tahun Festival Malaysia 2015.



Kembara Jelajah Koperasi Johor


Meninjau Kegiatan Koperasi Johor
Tulisan dan gambar: Rashidah Ibrahim
www.idarashida.blogspot.com

Program jelajah koperasi bukanlah sesuatu yang baru dianjurkan untuk media.  Disebabkan kali pertama menyertainya, maka terselit sedikit rasa teruja. Dengan pembabitan kali pertama, maka apa dilalui dirasakan menarik dan bermakna.

Dalam program Jom Jelajah Koperasi Negeri Johor (JJKNJ) 2015 dari 16 hingga 18 Mei lalu, peserta media dan agensi pelancongan didedahkan kepada produk pelancongan lima koperasi terpilih.

Lawatan tiga hari dua malam itu memberi tumpuan kepada kegiatan Koperasi Kampung Sungai Latoh Kong Kong, Masai Berhad; Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Bahru Berhad; Koperasi Pemandu-Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad; Koperasi Pekebun Kecil Wilayah Johor Selatan Berhad (Kopris) dan Koperasi Homestay Kampung Parit Bugis Muar Berhad yang mengkhusus dalam perniagaan masing-masing.





Hari pertama

Seperti biasa, rombongan yang dikendalikan oleh Gaya Travel dijemput dengan bas  di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) Kuala Lumpur. Diringi rider dan kereta polis trafik, kami bertolak sekitar jam lapan pagi, menuju ke destinasi pertama, Kampung Sungai Latoh Kong Kong, Masai. Di situ kami meninjau kegiatan koperasi kampung nelayan berkenaan.

Didaftarkan pada Mac 2014, Koperasi yang mempunyai 60 ahli itu menawarkan perkhidmatan eko dan agro pelancongan, pengangkutan air di samping memasarkan produk anggota.



                                   Setiba di jeti Kampung Nelayan Sg Latoh Kong Kong, Masai.                             


Ketibaan kami sekitar jam 12 tengahari, disambut sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang berbaris menunggu. Selepas diraikan dengan pemberian cenderamata, kami terus dibawa ke jeti untuk memulakan acara pertama, melawat perairan Sungai Latoh dan Johor, tempat nelayan kampung itu mencari makan.

Cuaca mendung menyambut ketibaan kami pada tengah hari itu menyebab atur cara taklimat ditunda.

“Kita akan terus ke acara boat cruising terlebih dahulu memandangkan ada tanda-tanda akan hujan,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Promosi Suruhajaya Koperasi Malaysia (SKM), Sairah Basrin yang turut menyertai jelajah dari Kuala Lumpur.

Seterusnya kami ke jeti untuk menaiki bot yang akan membawa peserta meronda di sekitar perairan Sungai Latoh bagi tujuan melihat aktiviti di perairan kampung nelayan itu.

Dua bot sedia menanti untuk membawa peserta. Nelayan bertugas memberi penerangan, Normala Salim, 57, memperkenalkan dirinya. Saat diminta memakai jaket pelampung, hati teruja kerana aktiviti menaiki bot memang menjadi kegemaran.

Perjalanan bot bermula di jeti melalui Selat Mendana yang bersambung dengan Sungai Johor.


                                                    
         Acara menaiki bot melawat lokasi kegiatan nelayan. Amboi sibuk dengan gajet masing-masing.


“Di sini terdapat perusahaan membuat bot dan rakit memancing oleh penduduk tempatan,” katanya sambil menambah sewa rumah rakit memancing dalam RM15 semalaman sementara sewa bot dari RM50 hingga RM100 sebuah, bergantung saiz.

Kami melewati hutan pokok bakau yang menurut Normala, sengaja ditanam untuk kegunaan membuat arang kayu.  Jenis tangkapan nelayan di situ katanya, bergantung kepada musim, meliputi ikan, kupang, kerang, dan siput.

Acara ditunggu ialah makan tengah hari di atas rumah rakit, berlaukkan ikan, sotong, udang, ketam segar dan kerang. Selesai makan, bergerak semula ke jeti untuk menaiki bas ke Johor Bahru.  Sampai di destinasi penginapan, sudah lewat petang.  Kami cuma ada masa kurang sejam untuk bersiap ke majlis perasmian program JJKNJ 2015.


                                              
                                                        Jamuan tengahari di atas rakit

Majlis perasmian berlangsung di restoran Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Bahru Berhad. Ia terletak di Anjung Senibong yang dikenali sebagai pusat makanan laut tersohor, di Johor Bahru.

Saat pengacara menjemput tetamu menjamu selera, suasana sunyi sepi. Semua memberi tumpuan pada makanan enak di hadapan mata.Kemudian berlangsung acara perasmian oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Lamien Sawiyo.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Johor, Muriddan Elias, dalam ucapan sebelumnya berkata, di Johor ada 17 koperasi aktif dalam pelancongan meliputi  bidang travel & ticketing, pengurusan resort, hotel bajet, homestay, rumah inap, pelancongan eco dan agro, restoran, kraftangan dan pengangkutan.


                                                   Salah satu acara di majlis perasmian.

Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Bahru Berhad didaftarkan pada Oktober 2010 dengan kini 174 ahli. Antara kegiatannya,menjalankan penternakan kupang, menyewa rumah inap, tapak perniagaan dan mengusahakan restoran.

Pada hari kedua, bertolak ke Johor Bahru untuk meninjau kegiatan Koperasi Pemandu-Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad. Beroperasi  sejak 19 tahun lalu, ia menguruskan 304 teksi. Jumlah anggota terkini 292 dan 130 teksi disewakan kepada ahli. Bagi melengkapkan rantaian nilai perkhidmatan, disediakan perkhidmatan Mawar Radio Teksi bagi membantu ahli mendapatkan pelanggan.


                                                              Menaiki teksi

Pada tengah hari, kami meneruskan jelajah ke Koperasi Pekebun Kecil Wilayah Johor Selatan Berhad (KOPRIS). Memasuki kawasan ladang melihat aktiviti ternakan lembu tenusu dan daging serta ayam, adalah sesuatu yang menyeronokkan. Disebabkan kawasan ladang tidak dapat dimasuki dengan bas, kami dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan sempit, dan tidak rata.

                                                             
                                                    
                                                              Ternakan lembu.

Perjalanan melalui ladang kelapa sawit untuk sampai ke ladang ternakan agak mencabar. Perladangan kelapa sawit adalah aktiviti utama Kopris, di atas tanah seluas 200 hektar (500 ekar).

Terdapat 13 kandang ayam yang besar dibina atas kawasan berbukit itu. Projek ekonomi kedua menyumbang kepada pendapatan Koperasi, ternakan ayam pedaging ini dimulakan pada 2012, di atas tapak  40 hektar (100 ekar) di daerah Mersing. 


                                                   
                                                         Ternakan ayam daging

Bertambah teruja apabila ahli media dibawa masuk ke reban ayam untuk merakamkan gambar dengan lebih jelas. Rakaman temu bual untuk siaran televisyen turut diadakan di dalam reban. Geli hati melihat gelagat wartawan penyiaran berdiri dalam ketakutan sambil menemu bual, tiba-tiba menjerit saat kakinya hampir dipatuk ayam ternakan.

Menjelang petang perjalanan diteruskan Koperasi Homestay Kampung Parit Bugis Muar Berhad. Penyerahan rasmi anak angkat diadakan pada majlis makan malam, diikuti persembahan kebudayaan. Selesai majlis, masing-masing pulang ke rumah keluarga angkat untuk menginap.




                                                      Demonstrasi mengutip madu kelulut

Menjelang petang perjalanan diteruskan Koperasi Homestay Kampung Parit Bugis Muar Berhad. Penyerahan rasmi anak angkat diadakan pada majlis makan malam, diikuti persembahan kebudayaan. Selesai majlis, masing-masing pulang ke rumah keluarga angkat.

Hari ketiga

Pagi esoknya, selepas bersarapan bersama keluarga angkat, peserta dibawa ke sekitar kampung, melawat bengkel produk hiasan tempurung, perusahaan madu kelulut dan rumah tradisional yang berfungsi sebagai galeri peralatan kesenian.


                                                      Persembahan kebudayaan

Program berakhir dengan penyerahan semula anak angkat. Selepas bersalaman, kami bergerak pulang ke Kuala Lumpur sekitar jam 3 tiga petang dan sampai di Matic jam 7 petang.

Program JJKNJ 2015 dianjurkan oleh SKM, Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Gaya Travel.



                                Bergambar selepas majlis penyerahan semula anak angkat.