Saturday, March 19, 2011

LARA DI HATI Bab 5


Bab 5.

Dugaan datang, tidak dapat dihalang.

Sharifah Ameera sedang sibuk mengemas rumah barunya. Dinding sudah pun bercat, warna coklat cerah. Lantai pun sudah dilapisi permaidani dari dinding ke dinding. Dua orang diupah untuk mengecat dinding dan memasang permaidani. Pembantunya, Bibi Meah atau nama penuhnya, Sameah patuh membuat kerja, mengikut arahan majikannya.

Telefon berdering, Sharifah Ameera membiarkan sahaja, Sameah segera mengangkat punggungnya yang agak berat, lalu menuju ke meja telefon untuk menjawab.

“Ya ada.. ada.. Sebentar, saya panggilkan,” jawab Sameah. Berusia dalam lingkungan lewat 30-an, dia masih bergaya. Walaupun sudah mempunyai anak berusia remaja dan sudah bekerja, tetapi susuk tubuhnya masih terjaga. Maklumlah, kerap makan jamu. Sameah dianggap kawan oleh Sharifah Ameera. Selama ini, Sameahlah tempat Sharifah Ameera meluahkan perasaan. Sameah tidak pernah keluar rumah. Sudah hampir setahun dia berkhidmat dengan keluarga Sharifah Ameera. Disebabkan tidak ada permit kerja, dia takut hendak keluar rumah. Sebab itulah dia lebih gemar berkurung di rumah keluarga itu.

“Bu, telefon!” Laung Sameah sambil kembali ke tempat timbunan kain yang sedang dilipat.

Sharifah Ameera dengan malas bangun daripada tempat duduknya. Dia sedang menyusun koleksi barangan kemasnya untuk disembunyikan. Semasa hidup mewah, Sharifah Ameera gemar membeli barangan kemas. Ada yang dipakai dan sebahagian lagi disimpan dalam kotak barangan kemasnya. Dia segera memasukkan kotak itu di dalam laci, lalu segera bangun.

“Ya, hello… Alaikumussalam. Sharifah Ameera membalas salam si pemanggil. Dia diam seketika untuk mendengar apa yang diperkatakan oleh pemanggil itu.

“Emm… kenapa dengan dia? Kena datang ambil? Eh kenapa pula…. Kan belum cuti…?” Sharifah Ameera sedikit terkejut apabila dia disuruh mengambil Alia di asrama.

“Begini Puan, hari itu dia pengsan. Dah kali ketiga. Pihak sekolah hantar dia ke klinik dan dia dirujuk ke hospital,” beritahu warden asrama.

“Sampai masuk hospital?” Balas Sharifah Ameera.

“Ya, tapi bila doktor periksa, doktor kata dia tak sakit apa-apa. Kami bawa dia pulang ke asrama dan sekarang dia berperangai pelik. Sebelum tu, dia asyik naik angin dengan kawan-kawannya. Lebih baik puan datang segera,” kata warden.

“Emm, tak apalah Insya Allah, saya datang,” jawab Sharifah Ameera penuh sopan.

Selepas menerima panggilan telefon itu, Sharifah Ameera bertambah rungsing. Belum reda kerungsingan kerana masalah dia dan suami, dibelenggu pula dengan masalah Alia, anak sulungnya itu. Mahu sahaja dia menelefon Syawal supaya pergi melihat Alia tetapi hati kerasnya berkata, jangan. Biar aku yang uruskan sendiri hal ini, bisik hatinya. Sharifah Ameera dapat mengagak mengapa Alia berperangai seperti itu.

“Kenapa bu? Siapa yang pengsan?” Sameah yang prihatin bertanya.

“Alia. Tak taulah dia kenapa. Bibi tolonglah kemaskan, ibu kena pergi ke asrama, sekarang juga, nak tengok Alia.” Beritahu Sharifah Ameera kepada pembantunya.

“Ibu pergi seorang?” Soal Sameah.

“Yalah,” jawab Sharifah Ameera.

“Ibu ngak bilang pada ayah Alia?”

“Tak payahlah!”

“Berani ibu pergi seorang, dua jam nak sampai tau?” Sameah bimbang dengan keselamatan majikannya. Dia tahu Sharifah Ameera kurang biasa memandu.

“Tak apa, ini kan masih siang. Kalau malam, bimbanglah juga.” Begitu beritahu Sharifah Ameera kepada Sameah, tetapi dalam diam-diam Sharifah Ameera teringat untuk mengajak seseorang menemaninya.

Kedatangan ibunya pada hari itu, tidak langsung melegakan ketegangan Alia. Malah mukanya bertambah mencuka apabila melihat seorang lelaki datang bersama ibunya.

“Kenapa mak datang dengan dia? Kan mak dah janji hari itu, dah tak nak layan uncle tu. Bukankah isteri dia dan warning, dah bersemuka dengan mak, dengan ayah dan dia pun dah berjanji tak akan kacau mak lagi?”

“Alah… Mak kawan saja. Tadi mak tak berani datang seorang, dia cuma teman, bukan apa-apa. Mak nak bawa Alia balik. Warden beri kebenaran Alia balik sampai hujung minggu ni, Alia nak tak?” Soal Sharifah Ameera.

“Buat apa? Balik nak duduk di mana pula? Mak tak kasi Alia pergi rumah ayah. Nak kena duduk dengan mak di rumah asing tu? Baik Alia duduk di asrama saja. Kenapalah mak buat keputusan macam ni? Kenapa?” Air mata Alia mula berderai memikirkan nasibnya selepas ini.

“Alia, Alia! Dengar sini. Alia tak faham dengan masalah mak. Marilah kita balik, kita bincang baik-baik… Alia jangan tuduh mak apa-apa. Alia mesti sokong mak. Alia bakal jadi dewasa, nanti Alia fahamlah. Mari kita balik dulu. Mak tak halang pun Alia jumpa ayah. Mak janji,” Sharifah Ameera memujuk. Tangannya memegang lembut bahu Alia.

“Okey, tapi Alia tak suka uncle tu…dialah yang ganggu hidup mak dan ayah.” Alia benar-benar marah. Dia tidak peduli lagi sama ada lelaki itu terdengar atau tidak.

“Bukan, bukan dia. Emak sendiri yang nak lari daripada ayah… Alia tahu kan macam mana nenek layan mak. Mak dah tak tahan. Ayah tak melindungi mak!” Sharifah Ameera pula tidak dapat menahan sebaknya. Air matanya pula berlinangan. Tiba-tiba Alia turut berasa belas dan mereka sama-sama menangisi nasib masing-masing. (delete).

Dalam kereta Alia diam seribu bahasa. Dia akui sikap nenek di sebelah ayahnya itu. Walaupun Alia anak angkat dan anak saudara kepada Sharifah Ameera, dia diajar supaya memanggil ibu Syawal, nenek. Sudah terbiasa dengan gelaran itu sejak kecil. Alia juga tahu sikap buruk neneknya itu. Alia masih ingat, beberapa kali dia pernah cuba membela ibunya daripada dianiayai neneknya. Malah dia sendiri tidak dilayan dengan baik oleh neneknya itu. Alia mahu ayahnya percaya dengan kata-kata ibunya. Tapi Alia tidak pernah menyangka begini akhirnya nasib mereka sekeluarganya.

Walaupun sudah dinasihatkan oleh rakannya, Rita Nadia mengenai risiko yang akan ditempuhi di atas keputusan nekad itu, Sharifah Ameera tidak pernah memikirkan apa yang akan berlaku kepada anak-anaknya apabila dia mengambil keputusan menarik diri daripada Syawal. Sharifah Ameera yakin, kehidupan anak-anaknya tidak akan terjejas kerana dia ada di samping mereka. Selama ini pun dia yang menyediakan makan minum untuk anak-anaknya yang seramai enam orang itu. Dan dia tidak pernah terfikir soal hati dan perasaan anak-anaknya. Bagi Sharifah Ameera, anak-anaknya masih muda dan tidak tahu apa-apa serta akan mengikut sahaja keputusannya.

Kawan-kawan Sharifah Ameera menuduhnya mementingkan diri. Bagi Sharifah Ameera, kalau mahu difikirkan perasaan kesemua anaknya, dia akan terbelenggu dengan ahli keluarga Syawal yang kejam itu. Dari luar sahaja nampak baik, berjubah dan berkopiah tetapi hakikatnya tidak berperi kemanusiaan.

Sepanjang perjalanan pulang, fikiran Alia masih berserabut. Dia memandang sahaja gelagat uncle yang sedang memandu. Emaknya duduk di sebelah. Sekali sekala Uncle Azmi menegur Alia. Sepatah ditegur, sepatah sahaja dijawabnya. Alia bukan tidak kenal dengan Uncle Azmi. Dah lama juga ibunya berkawan dengannya, sejak dia menjadi salah seorang pelanggan syarikat ibunya. Bahkan Uncle Azmi pernah beberapa kali memberi hadiah hari jadi kepadanya. Ketika itu Alia masih budak dan tidak tahu apa-apa.- delete.

“Alia, Alia tak suka uncle datang dengan mak?” Rakan pelanggan Sharifah Ameera, Azmi Mahat membuka bicara. “Uncle bukan nak masuk campur, ibu Alia yang ajak. Yalah memandu jauh seorang-seorang bahaya kan?” Azmi Mahat cuba mengambil hati Alia

Mendengar suara lunak Uncle Azmi, hati Alia cepat cair. Walaupun nampak tegas tetapi dia baik hati dan prihatin. Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, Azmi pandai dalam ilmu psikologi. Bertubuh sasa, romantik, pandai bermain kata-kata dan memujuk. Dia berkawan dengan Sharifah Ameera untuk menghilangkan ketegangan. Mula-mula biasa tetapi lama kelamaan mereka bertambah rapat kerana mereka masing-masing menghadapi masalah dalam rumah tangga.

“Isteri saya lebih tua setahun daripada saya dan berpangkat lebih tinggi. Anggota polis juga. Dia selalu berlagak seperti pegawai besar di rumah, garang dan tidak menghormati saya sebagai suami.” Inspektor Azmi meluahkan perasaannya kepada Sharifah Ameera suatu hari, ketika mereka singgah makan di sebuah restoran berhawa dingin suatu hari. Inspektor Azmi tercerita masalah rumah tangganya apabila Sharifah Meera mengadu mengenai nasibnya. Sejak itu mereka bagai serasi dan selalu berhubung menerusi telefon.

Sharifah Ameera selalu membayangkan untuk mempunyai seorang suami perkasa dan dapat memenuhi keperluan batinnya. Tidak siapa tahu yang Syawal suaminya gagal memberi kepuasan sejak dua tahun lalu, kecuali kawan karibnya Rita Nadia. Itu pun sukar dipercayai Rita Nadia kerana pasangan itu mempunyai anak. Kehadiran Inspektor Azmi sedikit sebanyak mengeruhkan keadaan rumah tangga Sharifah Ameera apabila perhubungan mereka diketahui suaminya, Syawal Sanusi. Namun sikap Inspektor Azmi terhadap Sharifah Ameera sukar diduga. Adakah dia benar-benar menaruh hati kepada Sharifah Ameera atau sekadar ingin berkawan?

“Kalau Alia rasa perlu berjumpa doktor pakar, nanti uncle tolong bawakan. Mungkin Alia tension sebab exam SPM dah dekat kan? Jangan fikirkan sangat masalah mak. Alia kena faham masalah orang tua,” Inspektor Azmi cuba menasihati Alia, sambil tangannya memegang stering kereta. Sesekali dia menoleh ke belakang, sesekali memandang Alia menerusi cermin depan. “Alia pun bakal jadi dewasa. Masalah rumah tangga boleh terjadi sekelip mata. Kadang-kadang memakan masa bertahun-tahun. Sampai satu saat, mungkin tidak tertanggung dan masa itulah kita cuba cari penyelesaian,” tambahnya merujuk kepada masalah sendiri.

Dalam keadaan yang genting itu Inspektor Azmi perlu berhati-hati menyusun kata. Dia sudah masak dengan masalah anak-anak. Anak-anaknya yang seramai empat orang pun, pelbagai ragam dan kerenahnya. Setakat ini, dia berjaya mengawal keadaan. Yang menimbulkan masalah ialah isterinya. Masih garang dan bongkak.

Alia diam sahaja. Dia memejamkan matanya rapat-rapat, pura-pura tidur sehingga kereta yang dipandu Inspektor Azmi sampai ke rumah. Alia cepat-cepat menolak pintu kereta dan menghulurkan kakinya untuk turun. Sebaik keluar, anak remaja itu segera menutup pintu kereta dan memandang ke arah satu bangunan di depan. Dia termangu melihat rumah barunya. Berat kakinya untuk melangkah pergi, apatah lagi untuk masuk. Layakkah ini dipanggil kediaman? Sungguh asing. Dia tidak gemar tinggal di rumah yang terletak di bangunan kedai seperti itu.

“Terima Kasih Azmi. Maaflah, kerana Meera mengganggu.”

“Sama-sama…No problem. Bukankah Meera ni pengubat hati saya yang duka?” Balas Azmi berseloroh sambil bangun dari tempat duduk pemandu kereta Sharifah Ameera. (delete).

“Mulalah tu!” Sharifah Ameera tidak gemar Inspektor Azmi berbicara sedemikian.

“Nanti kalau adalah apa-apa masalah sms tau?” Pesan Inspektor Azmi sambil melangkah keluar dari kereta berkenaan.

“Yalah, tapi satu saja Meera minta tolong. Nanti tolong ajar Meera pandu kereta, lama dah tak memandu. Lagi pun Meera kurang ingat jalan di KL ni,” pinta Sharifah Ameera bagai (dengan lagak) merayu.

“Okey… tak ada masalah. Nanti telefonlah,” pesan Inspektor Azmi.

“Okey Alia, uncle balik dulu… baik-baik dengan mak tau? Pesan Inspektor Azmi sebelum menuju ke keretanya dan berlalu daripada situ. Dia turut berasa serba salah di atas apa yang berlaku. Inspektor Azmi tidak mahu dirinya dipersalahkan sebagai penyebab keretakan rumah tangga Sharifah Ameera. Memanglah dia pernah terniat untuk melamar Sharifah Ameera, tetapi itu cuma angan-angan. Mungkinkah Sharifah Ameera juga menaruh hati kepadaku?’ Inspektor Azmi berteka-teki. Lima bulan lepas, mereka berempat bertemu bertentang empat mata. Dia, isterinya, ASP Bahiyah, Sharifah Ameera dan Syawal berjanji tidak akan menimbulkan sebarang sengketa di antara mereka. Masing-masing berjanji untuk setia dengan pasangan masing-masing. Inspektor Azmi berharap pertolongannya hari itu tidak dijadikan isu. Masalah yang dihadapi Sharifah Ameera bermain di benak Inspektor Azmi sewaktu memandu pulang.