Terkilan tidak sempat masukkan apa-apa entri semalam... Merenung nombor tarikhnya, wah sangat cantik, serba satu! 1.1.11 .... Sempena kemunculan tahun baru ini, berazam untuk mengupdate blog setiap hari. Kalau tidak dapat tulis panjang lebar, saya tulis ikut point form saja, macam cara penulisan dalam blog Che Det, mantan PM.
Pada 1.1.11 - Menghadiri majlis pertunangan anak saudara, Biah (anak sulung Mak Long) di Kampung Pulau Mansuk, Jerantut, Pahang. Makanan dimasak oleh penduduk kampung, ramai saudara mara yang datang. Disebabkan rombongan wakil pihak lelaki lambat sampai, saya terpaksa beredar sebelum majlis sebenar berlangsung. Sempatlah makan nasi berlaukkan gulai tempoyak ikan patin.
Setiapkali balik kampung ini, teringat tugas saya yang belum selesai. Ayah meminta saya mendirikan rumah untuk menggantikan rumah kayunya yang tiba-tiba dirobohkan. Saya tahu ayah amat sayangkan tanahnya itu. Di situlah dia membesarkan kami. Ayah membeli tanah itu daripada pemilik asal sewaktu berpindah ke kampung itu lebh 50 tahun lalu. Saya juga asyik terkenang-kenangkan rumah lama itu, kini tapaknya telah kosong. Ayah tidak sabar untuk melihat rumah barunya didirikan. Kalau ikutkan hati, saya ingin membina rumah tradisional daripada kayu semcam rumah lama tetapi kerana ia mahal dan berisiko dimakan anai-anai, baiklah bina rumah batu.
Apabila kami sibuk membincangkan pasal ingin membina rumah baru, mama bersungut. "Rumah dah ada (di Nadi Kota, Bandar Jengka), nak juga bina rumah lain. Ini pun dah cukup," kata dia. Namun di hati ayah lain pula, dia tidak mahu tanah itu terlepas ke tangan orang lain. Berususah payah dia berusaha untuk mendapatkan tanah itu, membeli daripada pemilik asal, arwah Pak Cu Mat, penduduk tempatan. Arwah bermurah hati membenarkan keluarga ayah tinggal di atas tanah itu apabila kawasan tempat tinggal yang ayah teroka bermasalah dengan gangguan kuasa misteri.
Menurut ayah, Pak Cu Mat membahagikan separuh daripada lot tanah kediamannya kepada ayah untuk diduduki. Ketika ayah hendak berpindah dari Kelantan ke Pahang, keluarga mentuanya (datuk dan nenek sebelah Mama) mengambil keputusan untuk mengikut sama. Mungkin kerana tidak mahu berpisah dengan anak kesayangannya (Mama).
"Mula-mula Pak Cu Mat tinggal di sebarang sana jalan. Ketika itu jalan tidak ada lagi. Bila jalan dibina, kawasan tanah tempat Pak Cu Mat tinggal tidak diluluskan untuk pemberian geran, lalu arwah berpindah tinggal di kawasan tanah di sebelah sini jalan. Dengan itu kawasan tanah yang diberi kepada ayah dibahagi dua pula dengan arwah.
"Sewaktu kerajaan mahu mengutip bayaran untuk kelulusan geran tanah, Pak Cu Mat tak ada duit, jadi ayah tolong bayarkan semuanya. Kerana arwah sudah bermurah hanti membenarkan keluarga ayah tinggal di situ, jadi ayah kata, tak apalah, ayah tolong bayarkan," cerita ayah.
Berpuluh tahun juga ayah tinggalkan kampung di dalam daerah Jerantut itu untuk berniaga di Bandar Jengka. Sebelum menutup mata, ayah mahu duduk kembali di situ, kerana kedai-kedainya di Bandar Jengka sudah diserahkan kepada anak-anaknya untuk diuruskan.
"Sabarlah ayah, orang sedang giat mengumpul wang tunai untuk membina rumah impian ayah tu," bisik hati saya.