Tuesday, August 4, 2015

SANTAI SALAM AIDILFITRI 2015


Santai Salam Aidilfitri 2015
Tulisan: Rashidah Ibrahim



                                       
                                                     Tiba di jeti Kuala Perlis

Sebagaimana kebiasaan menjelang Ramadan, Anita Entertainment and Production (AEP) menganjurkan program tahunannya, Santai Salam Aidilfitri (SSA), kali ini bertempat di Aseania Resort & Spa, di Pantai Chenang, Langkawi, Kedah. SSA 2015 berlangsung tiga hari dua malam, bermula 12 Jun.

Santai Salam Aidilfitri tahun ini mendapat penyertaan di luar jangkaan daripada wakil media cetak dan elektronik. Peserta media, artis dan krew AEP penuh sebuah bas dibawa ke lokasi program. Rombongan bertolak dari Kuala Lumpur jam 10.45 malam 11 Jun di Stesen Petronas Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Acara pertama adalah singgah sahur di restoran “Tuuu… Dia Pak Tam” di Bandar Baru, Selayang. Di situ kami disediakan makanan ringan iaitu roti kaya bakar yang dihidangkan bersama minuman kopi Pak Tam. Selepas sesi temu ramah dengan Ruslin Ibrahim, 53, pengasas Restoran Tuuu… Dia Pak Tam Food & Restaurant, kami meneruskan perjalanan.



                                             
                                                                             Persembahan Kebudayaan

Melewati jam 12.00 malam, mata sudah semakin kuyu. Mereka yang mengantuk mengambil kesempatan melenakan diri selepas beberapa minit bas meneruskan perjalanan. Ada yang sekadar tidur-tidur ayam kerana tidak biasa tidur dalam bas yang sedang bergerak.

Seperti sebelumnya, artis baru dan veteran dibawa untuk menyertai program ini.  Penyertaan kali ini didominasi artis lelaki. Mereka terbabit termasuklah pelakon dan penerbit Khatijah Abu Hassan, Penyanyi Ikka Razman, Hana Febians dan Nas Kilauan Emas 4, pelakon yang juga penyanyi Zack Kool, Amaris serta komposer dan penyanyi, Ken Bluesmetal dan penyanyi dari Indonesia, Thomas Arya.

Wakil media cetak antaranya dari majalah Anjung Seri, Aroma, Malaysian Business dan Humairah, sementara media elektronik diwakili Bernama TV dan Astro Awani, juga blogger C.C Kak Fas. Tidak ketinggalan turut serta ialah penaja, My Beauty Herbs diwakili pengasasnya, Normey Mansor dan Pengurus Perhubungan Awamnya, Wan Ziraida Wan Musa.


Dari kiri, Ikka Razman, Wan Ziraida, Pengasas My Beauty Herbs, Normey (penaja) dan Hana Febians bergambar di jeti feri Kuala Perlis.


Kami sampai di jeti Kuala Perlis awal pagi esoknya dan menaiki feri jam 10 pagi. Perjalanan  feri mengambil masa kira-kira 50 minit. Sesampai di jeti kuah, terus menaiki bas untuk ke tempat penginapan di Aseania Resort & Spa.

Setibanya kami di resort berkenaan, disambut dengan pemberian segelas minuman air serai yang berkhasiat. Selepas mendengar taklimat ringkas oleh pihak hotel, kunci bilik diberi. Masing-masing mendapat tempat penginapan selesa dengan dua katil kelamin. Bilik besar dengan tilam lebih, maka ada yang menukar bilik suka sama suka.

Jamuan untuk kami disediakan bermula tengah hari itu, diikuti makan malam dan pagi. Selepas makan tengah hari, peserta media dibawa melawat ke tapak rakaman aktiviti SSA 2015, iaitu di sekitar kawasan kolam yang terletak di bahagian belakang bangunan. Dari lobi, pengunjung dikehendaki menuruni tangga untuk ke restoran dan kawasan kolam renang yang diberi jolokan taman air mini. Kami difahamkan, kolam mandi berukuran 154.4 meter di Aseania Resort & Spa itu diiktiraf oleh Malaysian Book of  Record sebagai kolam mandi terpanjang di Malaysia.


                                            Persembahan tarian kebudayaan

Sebelah petang, saya, blogger C.C Kak Fas Online (Fariza), Siti Hawa Dimiati Editor Aroma, Khatijah Abu Hassan dan seorang lagi berpeluang menziahari selebriti televisyen, Aziz Desa di rumahnya di Kuah. Beliau menghidap sakit buah pinggang dan sedang menjalani rawatan dialysis. Kami berbual dengannya lebih sejam.

Pulang ke hotel melewati jam 7 petang, hidangan makan malam sudah tersedia di pekarangan kolam. Di situ terdapat pentas persembahan, dinamakan Teratak Mahsuri. Ia dibina daripada kayu berasaskan bentuk rumah tradisional. Bangunan itu dibahagikan kepada pentas terbuka di bahagian hadapan dan berbumbung di belakang. Artis keluar melalui pintu tengah untuk memulakan persembahan nyanyian dan tarian.

Pada malam itu, kami makan diiringi persembahan tarian tradisonal oleh kumpulan seni hotel, apabila hujan renyai kegiatan beralih ke kawasan berbumbung di bangunan bersebelahan untuk acara persembahan santai oleh semua artis terbabit.



                                                                                    
                                                                                  Kegiatan mengacau dodol.

Pada pagi esoknya berlangsung aktiviti menghias pentas utama dan persediaan tempat untuk memasak dodol, lemang dan menganyam ketupat, diikuti aktiviti rakaman kegiatan berkenaan. Selepas makan tengah hari pula, diadakan latihan untuk persembahan malam.

Pada sebelah petang, berlangsung rakaman takbir Aidilfitri membabitkan peserta lelaki sahaja. Saya,
Fariza dan Siti Hawa mengambil kesempatan mengunjungi kedai di sepanjang jalan berdekatan. Sebelah siang suasana sepi tetapi pada waktu malam, tempat itu meriah dengan kerlipan lampu dan pengunjung yang datang untuk makan dan membeli-belah.

Kami singgah di sebuah kedai perhiasan diri. Masing-masing tertarik pada kalung besar,  pelbagai reka bentuk dan warna, yang dipamerkan.

“Cantiknya..”  Berulang kali Siti Hawa memuji sambil membelek rantai yang bergantungan di kedai itu.  Saya dan Fariza, turut membelek satu persatu-persatu. Lama kelamaan kami turut tertawan dan sama-sama membeli.

“Bolehlah dipakai di majlis makan malam ini,” ujar Siti Hawa.

“Ya, boleh kita lawan gemerlap artis-artis tu..” Seloroh saya, disambut tawa Siti Hawa dan Fariza. Sebelum waktu maghrib kami balik ke hotel dan terus bersiap untuk ke majlis makan malam.


                                                                
                                                                                 Persembahan artis

Sesuai dengan tema Aidilfitri,  Nas Kilauan Emas dan Zack Kool yang menjadi juruacara majlis pada malam itu, mengenakan pakaian baju Melayu lengkap bersampin dan bersongkok. Acara dimulakan dengan tarian tradisional diikuti nyanyian raya oleh Ken Bluesmetal. Apabila hujan renyai, seperti malam sebelumnya, kami berpindah ke bangunan sebelah untuk meneruskan acara pentas.




Persembahan nyanyian oleh semua peserta artis berlangsung dalam keadaan santai. Selesai persembahan, saya dan Fariza lepak di lobi, berbual dengan Ken Bluesmetal. Jam sudah melewati 11 malam, tetapi ada yang sempat membuat kegiatan sendiri mencari tempat untuk berkaraoke.




                                               Persembahan nyayian oleh KenBlues Metal





Keesokannya berlangsung majlis penyampaian cenderamata yang turut dihadiri Pengurus Besar Aseania Resort & Spa, Shamsol Mustapa. Dalam ucapannya, Shamsol berkata, resort itu dalam proses menaik taraf ke lima bintang. Beberapa pengubahsuaian dibuat membabit bilik penginapan dan restoran untuk mencapai taraf berkenaan.

Sebelum itu, pengasas dan pemilik AEP, Anita Yusof dalam dalam ucapannya berkata,  program Santai siri ke 51 ini, membawanya kembali ke Hotel Aseania  Resort & Spa, iaitu lokasi pertama penjelajahan siri Santai Selebriti.  Dalam siri Santai seterusnya beliau bercadang untuk kembali ke lokas-lokasi yang pernah diadakan sebelum ini.




Program Santai Selebriti dan Santai Salam Aidilfitri yang dianjurkan secara bersiri menurut Anita, antara lain bertujuan untuk mempromosi pelancongan domestik. Selepas bertukar cenderamata antara pihak hotel dengan penganjur, peserta berkumpul di lobi untuk menaiki bas.

Kami bergerak pulang dengan bas ke jeti pada waktu tengah hari. Dalam perjalanan pulang, sempat singgah di Restoran Tuuu… Dia Pak Tam di Tapah yang menaja hidangan mi goreng dan kopi. Ketika itu sudah lewat malam. Selepas mengisi perut, perjalanan diteruskan, kami sampai di Kuala Lumpur jam 3 pagi.



                                                   
  Aksi `salam hari raya` - Amariz (kiri) dan Hana Febians.


 Bergambar ramai berlatarkan pentas persembahan, Teratak Mahsuri.



Singgah di Restoran Tu Dia... Pak Tam dalam perjalanan pulang.


Nanti kami datang lagi ya...bersama Fariza (kanan).