Friday, October 16, 2009

Trio Hias Semula AS di rumah Diddy Hirdy

Ungu pekat, warna kegemaran baru Diddy Hirdy (dulu dikenali Diddy AF). Trio Hias Semula AS bergambar bersama Diddy dan wakil klien (belakang/berdiri di kiri).
Ain memeluk kusyen gebu - Tugasnya menyuaipadankan warna mengikut tema pilihan.

Uin mencuba bean bag - Tugasnya mendapatkan klien untuk menaja barangan.

Syida (Saya) Mencungkil rahsia hati Diddy Hirdy mengenai gaya penataan yang diidamkan untuk bilik tidurnya. Temu bual berlangsung di ruang tamu - Tugas saya, mencari artis/selebriti untuk diberikan barangan tajaan dan menulis mengikut kehendak klien.

Cerita lanjut dalam buku sisipan Anjung Seri Disember.

Friday, October 9, 2009

Shocking Pink!,

Trio Hias Semula AS di rumah Shila One In A Million. Shocking pink pilihan adiknya untuk bilik mereka. Terpaksalah dipadankan dengan putih untuk meredakan penguasaan pink.


Letih, interview sampai terduduk. Bukanlah, sebenarnya nak merasa kelembutan karpet berbulu panjang yang pink itu. Sama pula dengan bajuku! Satu kebetulan.


Trio Hias Semula AS bergambar kenangan selepas menghias bilik Shila One In A Million. Memulakan kerjaya sebagai penyanyi sejak di bangku sekolah, anak gadis bekas penyanyi ND Lala ini bagaimapun menyukai warna hitam. Merah jambu warna pilihan adiknya.


Membetulkan karpet. Saya cukup suka dengan karpet berbulu panjang warna pink ini. Uin pula nampaknya berminat dengan set cadar warna krim di atas tilam itu.
Cerita lanjut dalam buku sisipan Anjung Seri Disember.

Banglo Sejuta Lebih

Subang Bestari, pemaju World Wide

Kunjungan ke banglo ini adalah untuk menyempurnakan tugasan penulisan rencana mengenai syarikat pemaju berkenaan. Tugasan ini amat bermakna kerana pengambilan iklan adalah di atas inisiatif saya membuka mulut, "kalau mahu ditulis panjang lebar dan mahu dipaparkan alamat penuh dan contact number, kenalah ambil iklan." Begitulah kata-kata saya sewaktu menghubungi pegawai bertugas ketika memohon untuk merakamkan gambar untuk majalah tahunan, Anjung Seri Bonus 2010.

Apabila dimaklumkan kepada bosnya, mereka berminat mengambil iklan. Tugas seterusnya mengajak Zurin berjumpa berbincang dan dipendekkan cerita mereka bersetuju mengambil iklan. Rezeki saya sebagai penulis yang pastinya tidak akan mendapat apa-apa pun selain daripada gaji, tetapi Zurin sebagai staff iklan dan pemasaran akan mendapat insentifnya. Ini bukan kali pertama saya berjaya memujuk pelanggan mengambil iklan. Anjung Seri Bonus dua tahun lepas, SEMUA rencana rumah yang saya tulis adalah rumah client yang mengambil iklan. Bangga juga saya dapat menyumbang sesuatu kepada syarikat.


Halaman sisi yang luas dan lapang.

hem.....

Makan-makan `open house' di unit sendiri

Dah kenyang dan berhenti makan...

Sikit tetapi macam meriah saja.


Cik Senah dengan posing senyum simpulnya.

Kak Ani pun ada (bertudung kuning). Kak Ani asyik nak mengelak apabila nampak lensa kamera ke arahnya. "Kak Ani jangan ingat terlepas daripada rakaman kamera ini," kata Cik Senah sewaktu merakamkan aksi kawan-kawannya makan. Shila menunjukkan anggur yang manis.


Saya sediakan agar-agar susu, nampak macam keju. Terlupa nak buat malam, nasib baik pagi-pagi sempat masak dan sekejap sahaja beku.


Inilah antara hidangannya, makanan habis dalam sekelip mata... menu beriani segera dibeli oleh kawan sepejabat melalui kawan lama, Haslinda, spageti Zurin, Mi Mamak Faridah, biskut raya Senah, buah-buahan, saya sediakan agar-agar susu dan keropok dal. Bila makanan nak habis datang pula pizza khabarnya daripada bos, bila pizza nak habis datang pula Kentucky Min.

Wednesday, October 7, 2009

Ibu Sakit, Ujian Untuk Anak-anak

7 September 2009

Lagi mengenai ma sakit. Apabila ma seorang sahaja asyik ke surau mendengar ceramah agama, apabila ma asyik mendoakan supaya anak-anak dan cucu berakhlak mulia serta tidak tinggal solat, apabila ma sering menasihatkan anak-anaknya agar tidak terlalu taksub bekerja sehingga lupa tanggungjawab terhadap agama, anak-anak sekadar mengangguk namun tetap ghairah bekerja, bekerja dan bekerja.

Kini apabila ma jatuh sakit, apabila lidah dan suaranya tidak lagi dapat menyebut perkataan dengan jelas, apabila fikirannya kurang daya ingatan, dia bukan sahaja tidak dapat menasihat dan berdoa untuk anak-anak. Apabila ma sakit, tibalah masanya kami semua tujuh beradik berkorban masa. Kini ma sudah dibawa pulang ke rumah dari hospital. Terpaksalah kami bergilir-gilir meninggalkan tugas masing-masing untuk menjaga ma. Mujur ada tujuh beradik. Kalau diikutkan bolehlah dibahagikan tugas menjaga seorang sehari, sebab dalam seminggu ada tujuh hari. Namun buat masa ini, ma tidak cukup dijaga seorang, kena sekurang-kurangnya dua orang pada satu masa. Kadang-kadang tiga orang. Itulah ujian Allah kepada kami. Nasib baik lima beradik tinggal berdekatan ma dan ayah, cuma saya dan seorang lagi bekerja di Kuala Lumpur. Makanya giliran kami menjaga pada hujung minggu.

Apabila ma dibawa pulang ke rumah, ramai pula yang datang menawarkan untuk cuba mengubat secara tradisional. Daripada stroke tidak boleh bercakap, kini sudah boleh bercakap. Dulu cuma minum susu ikut tiub yang dipasang di hidung, kini sudah boleh menelan nasi bubur. Semoga ma cepat sembuh. Sewaktu masih sedar, ma pernah berkata, "Allah memberikan kepada kita sakit dan kita mesti reda... kerana ujian itu untuk menggugurkan dosa-dosa kita." Pun begitu, kita yang sihat ini pula berasa gundah gulana. Dalam berdoa, berperasaan tidak menentu lantaran bimbang dan cemas. memikirkan apa yang akan berlaku seterusnya.

Selain itu terfikir juga, kalaulah saya tua nanti dan jatuh sakit, dapatkah anak-anak yang hanya tiga orang itu bersabar menjaga?


Friday, October 2, 2009

Semalam di hospital

2 Oktober 2009

Agak lama juga tak update entri. Maaflah. Ada beberapa sebab membuatkan tiada mood untuk menulis. Sebenarnya dalam seminggu dua ni, banyak juga peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Pertamanya, kenangan bermalam di hospital pada hari raya pertama.

Selepas bebeberapa hari mama keluar dari Hospital Temerluh, dia masuk semula ke Hospital Jengka dan kemudian masuk lagi ke Hospital Temerloh. Giliran saya menjaganya pada hari raya pertama di sebelah malam. Dapatlah pengalaman menjadi misi, memberi makanan susu menerusi tiub yang dipasang masuk menerusi hidung. Mula-mula tak berani juga tetapi kerana semangat untuk memberi ibu yang mengandungkan kita makan (hanya susu), berjayalah juga melakukannya mengikut waktu. Saya puas dapat melakukannya. Ketika itu mama sudah sedar tetapi tidak boleh bercakap. Ramai kawan-kawannya datang melawat, mencium, sebak dan menitiskan air mata. Mama hanya menghulurkan tangan, tidak tahu sama ada dia kenal atau pun tidak.

Pada malam itu sekitar jam 1 pagi, ada seorang pesakit wanita diiringi dua anaknya. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Saya terdengar si anak (perempuan) menelefon seseorang, memberitahu keadaan ibunya 50-50. Mungkin suaminya. Ketika itu mama sudah melelapkan mata, maka saya mengambil kesempatan untuk tidur di atas dua kerusi yang saya sambungkan. Wanita yang menunggu emaknya sedang sakit tenat itu duduk berhampiran katil seorang pesakit bersetentang katil ibu saya. Sementara menunggu doktor memeriksa ibunya, si anak perempuan itu duduk berbual-bual dengan kakak pesakit setentang katil ibu. Seketika kemudian dia beredar, mungkin pergi ke katil ibunya. Sebentar kemudian kedengaran suara orang meratap. Saya yang sedang tidur-tidur ayam tersedar. Sejurus kemudian saya nampak satu katil yang diselimuti kain batik ditolak keluar. Tentu ada yang meninggal, saya menelah.

Menjelang subuh, saya terdengarlah pula pesakit setentang mengerang. Saya mengejutkan kakaknya yang sedang tidur. Pesakit itu dan kakaknya masih muda. Difahamkan pesakit itu adalah pelajar jururawat tahun tiga. Pagi itu saya berkesempatan berbual dengan kakak yang menemannya pada malam itu.

"Adik saya mengidap ketumbuhan di otak. Sudah dibedah. Lebih 50 hari duduk di Hospital Besar KL. Dia sudah pun dibawa balik. Kerana penyakit itu, matanya tidak dapat melihat. Dia masuk ke sini kerana masalah di dalam mulut," ceritanya.

"Kenapa dengan mulut dia," saya bertanya.

"Silap ubat. Panas dalam mulut hingga hangus... Rupanya pada sampul ubat itu ada ditulis, jika ada kesan sampingan mesti berhenti daripada diambil. Ketika itu emak yang jaga, mana dia tahu baca. Jadi dia terus beri ubat itu kepada adik ikut aturan. Bila saya balik, mulut adik hitam. Lidah dan lelangit dah melekat dan mulutnya tak boleh dibuka. Kerana itu dia sukar bernafas, maka itu dia dimasukkan ke wad ini," cerita kakaknya sambil kemudian bertanya, "kak yang masuk semalam dah balik ke?"

"Dah kut, emak dia dah meninggal agaknya. Nampak katil berselimt kain batik ditolak keluar," saya menjawab.

"Yelah lah tu agaknya. Semalam dia nak pinjam surat Yaasin saya. Saya pun bagilah kepada dia.
Tapi dia bagi tahu - `saya tak tahu nak baca' dan saya pun berkata, `akak bacalah apa-apa, baca Fatihah pun boleh. Lepas tu dia jawab, Fatihah tu macam mana ye?"

Budak yang bercerita itu memandang ke arah saya dan saya memandang ke arahnya. Sama-sama menyimpan satu perasaan - kehairanan -

Kemudian dia menyambung, "kakak itu berkata, ` boleh tak saya letak surat Yaasin di bawah bantal dia?' dan saya kata `ambillah' . Kemudian dia pergi. Tidak lama kemudian kakak itu datang memulangkan kepada saya surat Yaasin itu sambil berterima kasih dan memberitahu yang ibunya sudah meninggal.

"Dia sakit apa?" Saya menyoal.
"Tak tahulah... saya nampak perut dia buncit."
"Mungkin bengkak hati..." saya menjawab.