Buku Papar Pengalaman Wira dan Wirawati dilancar. – Berita Harian
Newspaper & Online 29.9. 2010
http://www.bharian.com.my/bharian/articles
/Bukupaparkehidupanwira_wirawatiPLKNdilancar/Article/
ILIANA (kiri) dan Azzah menunjukkan hasil karya masing-masing selepas pelancarannya, semalam.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan semalam melancarkan dua buku yang menceritakan kehidupan seharian wira dan wirawati serta jurulatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi memupuk minat remaja menyertai program berkenaan.
Pelancaran buku bertajuk Diari Khidmat Negara yang ditulis bekas pelatih siri keempat 2007, Iliana Hamdan, 21, dan Celoreng Biru hasil karya bekas jurulatih PLKN, Azzah Abdul Rahman, 31, itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dr Ismail Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.
Ismail berkata, dua buku yang dihasilkan itu adalah projek perintis idea bekas pelatih dan jurulatih memandangkan masyarakat di luar masih meragui keberkesanan latihan PLKN.
“Penulisan yang menggambarkan kehidupan seharian pelatih sepanjang berada di dalam kem selama tiga bulan itu diharap mampu menjadi rujukan kepada bakal pelatih dan keluarga di luar untuk membabitkan diri dalam program berkenaan,” katanya selepas melancarkan buku berkenaan, di Kementerian Pertahanan Dua, di sini, semalam.
Sementara itu, Iliana yang baru menamatkan pengajian peringkat Diplo-ma jurusan Penulisan Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) berkata, keputusan menerbitkan buku itu adalah idea daripada ibunya yang berpengalaman lama dalam bidang kewartawanan.
Katanya, walaupun PLKN bermula pada 2004, masih ramai pihak meragui latihan yang dilakukan, malah ibu bapa juga tidak menggalakkan anak mereka menyertai program berkenaan.
Justeru, katanya, dia yang menjalani PLKN pada 2007 nekad menulis setiap aktiviti yang dilakukan sepanjang berada dalam kem PLKN supaya masyarakat luar sedar tujuan utama program itu dilakukan.