Tuesday, January 27, 2009

15 tahun bersama Anjung Seri, 25 tahun di dunia kewartawanan...

Tahun ini, genap 15 tahun di Anjung Seri dan 25 tahun di dunia kewartawanan/penulisan.
Tidak sangka ya, cadangan untuk bekerja selama tiga bulan akhirnya berlarutan sehingga suku abad. Lama sungguh! Dan sehingga kini, jari jemari ini bagaikan tidak mahu berhenti menari di atas papan kekunci.

Mula bekerja pada 1984, ketika itu komputer baru diperkenalkan. Alat yang kami guna untuk menulis ketika itu dipanggil `atex'. Semasa di UTM (kini UiTM), kami masih guna mesin taip. Selepas biasa dengan atex, diperkenalkan pula kepada komputer peribadi (pc). Tidak dapat bayangkan bagaimana susahnya wartawan sebelum itu, yang menggunakan mesin taip untuk menulis.

Terhutang budi kepada jurugambar

Sebelum meneruskan coretan pengalaman - sempena 15 tahun di Anjung Seri (AS) dan 25 tahun di dunia penulisan/kewartawan, ingin mengucap ribuan terima kasih kepada mereka yang banyak membantu mempermudahkan kerja selama ini.

Sepanjang di Berita Harian dan di Anjung Seri, orang yang paling saya terhutang budi ialah jurugambar. Selalunya kami pergi assignment bersama-sama. Sewaktu di Berita Harian, sering bertukar-tukar jurugambar. Namun ketika di Anjung Seri, selalu bersama jurugambar, Ahmad Zurin Noh (Zurin) dan sesekali Abang Arip. (Ketika itu, mereka berdua sahaja jurugambar AS). Paling saya terhutang budi kepada Zurin. Kerjasama dan budi baiknya menumpangkan kereta ketika pergi assignment, tidak akan dilupakan.

Begitu juga dengan jurugambar lain. Sukar untuk menyebut satu persatu jurugambar di Berita Harian. Tetapi kalau jurugambar di BP, bolehlah disebut sebab dapat dikira dengan jari. Razali Mohamad, Mohd Nasir Roli, Mohd Jasmin Ramli, Mohd Ikram Junior - sentiasa memberikan kerjasama, dan saya anggap mereka ini antara insan baik hati. Biar sibuk macam mana sekali pun tidak pernah sengaja mencicirkan saya di tengah jalan, untuk pulang sendiri. Kalau tidak sempat hantar balik ke pejabat atau berlainan arah pulang, paling tidak mereka akan menghantar ke stesen LRT/komuter/stesen teksi atau bas terdekat... Pernah juga saya mendengar rakan penulis dicicirkan di tempat tidak sepatutnya. Tahu sebabnya.... kalau penulis sengaja membuatkan jurugambar marah, tentulah dia akan mencari peluang untuk
membalas balik. Namun, saya tidak pernah pula menerima nasib sebegitu.

Kepada Razali, Nasir, Jasmin dan Ikram... budi baik anda semua, akan akak kenang selamanya.
Hanya Tuhan yang akan membalasnya. Akak doa dimurakan rezeki dan cepat berjaya! Insya Allah.

Sebut fasal berjaya, salah seorang daripadanya ialah Zurin. Mengambil keputusan lebih awal keluar dari BP untuk menjadi jurugambar bebas sepenuh masa, ternyata dia kini meniti kehidupan yang lebih baik.

Selama AS di Berita Harian, memang senang sekali bekerja dengan Zurin dan dia tidak pernah sekali pun menyusahkan saya. Sebaliknya kami penulis di Anjung Seri banyak menyusahkan dia. Betapa tidak, kami `berebutkan' dia untuk pergi assignment. Dan sayalah paling banyak menyusahkannya. Bukan sahaja pergi assignment bersama, bahkan kerap juga menghantar pulang sampai ke rumah...kalau kena bertugas di hujung minggu, baiknya dia sampai sanggup menjemput saya di rumah. Begitulah akrabnya kami. Kebetulan rumah kami berdekatan, di Gombak. Dan kerap juga sesi penggambaran diadakan di rumah saya, untuk shooting assignment ruangan `inspirasi (produk) dan gaya di meja. Mendapat jurugambar yang rajin dan tidak banyak kerenah seperti dia memang menyeronokkan. Boleh buat banyak stock gambar, bermakna produktiviti meningkat dan kerja pun berjalan lancar.

Ketika itu, nak guna jurugambar tidak perlu melalui ketua, ada assignment, cakap saja. Tiba masa pergi, habis assingment dengan seorang penulis disambar pula penulis lain.. Sekarang nak buat begitu? jangan harap... kerana perlu mengikut peraturan - peraturan yang merumitkan!


Pengalaman bersama Zurin

Saya tidak dapat menahan perasaan lucu, apabila pergi assingment di kawasan kampung, ada tuan rumah menyangka kami ni satu pasangan... Mendengarkan tohmahan itu, saya pantas menjawab, "bukan! bukan!... kami kerja satu pejabat." Tak tahu ke, Zurin ni jauh lebih muda? bisik hati saya.

Pengalaman paling menarik, apabila ditugaskan ke Indonesia selama lapan hari pada akhir 80-an. Hanya saya dan Zurin. Dari satu air port, ke satu air port, dari satu hotel ke satu hotel - kami dibawa melawat oleh Tourism Indonesia ke serata tempat, bermula di Jakarta, kemudian ke Bandung, Yogyakarta dan berakhir di Bali. Sampai di air port, dijemput wakil penaja ke hotel dan sebaik sampai, disambut manager hotel, dijamu makan dan diberikan kamar selesa.
Macam honey moon!

Sepanjang lawatan itu, kami disediakan sebuah kereta dan pemandu untuk melawat ke destinasi-destinasi menarik mengikut jadual. Di Jakarta, kami diiringi pemandu pelancong, Bambang, masih muda. Kurus dan kecil sahaja orangnya tetapi ligat serta peramah. Di Bandung kami melawat ke pusat peranginan Bukit Tinggi dan meninjau Gunung Berapi Tangkuban Perahu, di Yogyakarta antaranya melawat sebuah istana lama dan Chandi Borubudur. Di Bali, diberikan pemandu pelancong yang agak berusia, beragama Hindu. 'Slow and steady' lagaknya, membawa kami melawat satu temple ke satu temple terkemuka. Saya sebenar takut untuk mendekati temple, namun pemandangan sekitarnya sungguh syahdu terutama yang terletak di tepian tasik. Kami pulang dengan stock cerita dan gambar yang banyak, sehingga diperli seorang rakan sekerja, `eih, tak habis-habis tulis fasal cerita di Indonesia!'


Zurin berubah !

Apabila Anjung Seri diletakkan di bawah Berita Publishing (BP), cara kerja kami berubah. Perubahan lebih ketara apabila BP berpindah ke Jalan Klang Lama. Di situ, Zurin bukan lagi milik Anjung Seri, dia kena berkhidmat untuk semua majalah di bawah BP termasuk Jelita, Her World, i-remaja. Sehari demi sehari saya perasan, sikapnya tidak lagi seperti dulu. Mungkin dipengaruhi jurugambar asal BP. Ketika itu hanya Zurin seorang jurugambar Berita Harian yang berpindah ke BP.

Ibarat `masuk ke kandang kambing, kena mengembik' begitulah kami, kena mengikuti aturan kerja baru. Bukan sahaja Zurin, bahkan kami penulis AS yang begitu terasa, sukarnya untuk menyesuaikan diri dengan aturan kerja baru di BP. Apa yang saya sedari aturan itu bukan menambahkan produktiviti, tetapi makin mengurangkan! Semua assignment yang memerlukan penggunaan jurugamar, perlu melalui kelulusan ketua jurugambar... dan sampai ke hari ini, saya masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan aturan dan sikap pemimpin di unit foto.

Perihal Zurin, rupanya dia juga kurang selesa di tempat baru tu. Mungkin banyak benda yang dia tidak puas hati. Kalau tidak masakan dia mengambil keputusan berhenti selepas beberapa tahun BP di Jalan Klang. Sejak itu tiada lagi assignment bersama Zurin. Kali terakhir assingment jauh bersamanya ialah di Shanghai.

Zurin mengambil keputusan tepat berhenti kerja. Kini dia menjalani kehidupan lebih baik sebagai jurugambar bebas sepenuh masa. "Jika diberi peluang, saya tak akan kembali bekerja dengan orang," katanya. Lebih terserlah cahaya kehidupannya kini. Mampu mengubahsuai rumah dan bertukar ganti kereta. Akrabnya kami, membeli rumah kedua, jenis teres bersama-sama, dalam satu barisan, selang beberapa unit - dan tidak lama kemudian beli sebuah lagi rumah, jenis apartment, bersetentang pintu.

Kini Zurin bukan sahaja menawarkan khidmat mengambil gambar, bahkan turut menerima job membuat buku-buku projek khas.
Syabas untuk Zurin!