Monday, July 12, 2010

Mek Mulong VS Mak Yong

Permaisuri (tengah), puteri dan putera raja di dalam Mak Yong. Selendang jaring menutupi bahu dan dada serta hiasan di kepala seperti ini juga menjadi trademark penari Mak Yong.


Penari Mek Mulong sekadar berkebaya labuh dan berselendang.

Tarian pembukaan Mek Mulong

Putera Cahaya Bulan dan Puteri Nang Mara

Aksi tiga watak pelawak ini menggeletek hati penonton.

Gergasi dan salah seorang pesuruhnya sedang berusaha untuk menculik Puteri Nang Mara.

Tamat persembahan, pelakon memperkenalkan jurulatih Mek Mulong kepada penonton.

Selepas teruja menonton teater Mak Yong yang turut disertai Iliyana, saya terpanggil pula untuk menonton satu lagi persembahan teater, Mek Mulong yang dikatakan mempunyai persamaan dengan Mak Yong.

Didorong oleh rasa ingin tahu mengenai perbezaannya, saya berazam untuk tidak ketinggalan menonton teater Mek Mulong. Terdengar sahaja daripada mulut Iliyana yang teater itu akan dipentaskan di Aswara, saya awal-awal lagi memberitahunya nak ikut menonton.

Si Dia, apabila diajak awal-awal lagi menggelengkan kepala, tak minat bab kegiatan seni persembahan. “Tak nak pergi tak apa, tinggallah awak kat rumah. Saya ikut budak-budak pergi,” bisik hati saya.

Bagi saya rugi kalau tak pergi melihat, bila lagi nak tonton dan mengenali seni persembahan tradisional kita. Kerana itu tahun terakhir Iliyana di Asrawa, saya mesti ambil peluang menonton. Sekurang-kurang kalau orang sebut Mek Mulong, tahulah saya apa dia.

Pementasan malam itu, membabitkan pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Aswara untuk projek penilaian akhir. Setelah menonton, saya dapati memang benar ada persamaaan dari segi gaya persembahan Mak Yong dengan Mek Mulung iaitu masing-masing menggabungkan persembahan tarian dan lakonan. Perbezaan ketara ialah dari segi;

· Mak Yong dipersembahkan dalam loghat negeri Cik Siti Wang Kembang (Kelantan) manakala Mek Mulong mirip loghat, Kedah.

· Penari Mak Yong memakai pakaian tarian di istana, indah bergemerlapan dengan hiasan di atas kepala manakala penari Mek Mulung sekadar memakai baju kebaya pelbagai warna dan berselendang.

· Tarian Mak Yong lebih santun dan lemah gemalai, manakala tarian Mek Mulung agak keras dan kasar.

· Tarian Mak Yong mengasyikkan manakala tarian Mek Mulong agak lama dan berulang-ulang gerak langkahnya.

Secara peribadi, saya lebih selesa dengan penceritaan dalam loghat Kelantan Makyong berbanding loghat Kedah Mek Mulong. Kerana tarian pembukaan Mek Mulong terlalu lama, timbul rasa sedikit bosan untuk menunggu bab lakonan. Babak awal dalam Mek Mulong agak menjemukan tetapi apabila di peringkat pertenghahan dan akhir, persembahan laju dan menghiburkan. Terutama sewaktu muncul watak pelawak.

Memetik risalah tidak bertarikh mengenai asal-usul persembahan, pada zaman dahulu ada satu keluarga miskin yang menjadikan bidang hiburan sebagai sumber hidup. Si ayah yang bernama Pak Mohor, membuat sejenis alat muzim bernama `geduk’ dan memalunya dengan gaya menora, si ibu pula membuat `gendang’ dan memalunya menurut cara Mak Yong, sementara anak mereka, Mek Julung membuat sejenis alat muzik diberi nama `semborong’ dan memalunya sekeliling kampung.

Pada suatu hari, dalam keghairahan memalu semborongnya, Mek Julung sampai ke tengah hutan dan bertemu seorang anak raja bernama Cahaya Bulan. Baginda dibuang negeri lantaran hasutan seorang ahli nujum yang meramalkan bahawa dia akan menimbulkan mala petaka di dalam negeri Cahaya Bulan.

Tertarik dengan permainan Mek Julung, lalu baginda dan pengikut pengikut-pengikutnya turut bermain dengan menambahkan lagi jenis alat muzik sehingga akhirnya kumpulan itu dinamakan Mek Mulong.

Permainan Mek Mulong dikatakan berasal dari sempadan Legor, Siam kemudian diperkenalkan di Kedah ketika berlaku persengketaan antara Kedah – Siam. Tempat mula-mula Mek Mulong diperkenalkan ialah di Kampung Perit Mukim Kurung Itam, jajahan Kuala Nereng. Seterusnya peremainan itu berkembang ke kampung Belukar Mulung, Kampung paya Keladi dan akhir sekali Kampung Yang Tepus Jitra, Kedah.

(Kalau ada silap ejaan nama tempat dll, harap diperbetulkan kerana maklumat (tulisan) dalam risalah kurang jelas).

Berikut pula Sinopis Cahaya Bulan.

Cahaya Bulan yang dipersembahkan pada malam itu mengisahkan seorang anak raja dikenali Putera Cahaya Bulan dan permaisurinya, Puteri Nang Mara. Putera itu berperasaan permaisurinya yang rupawan dan mempunyai kesaktian akan dilarikan Raja Gergasi yang memerintah benua Pak Kin. Raja Gergasi berpendapat dengan menawan Puteri Nang Mara, dia juga berjaya meluaskan kuasa pemerintahannya tanpa saingan, kerana selama ini Puteri itu adalah penghalang utama kejayaannya.

Putera Cahaya Bulan meminta agar rakyat berjaga tujuh hari tujuh malam bagi menggagalkan niat jahat Raja Gergasi. Bersama pengikutnya, baginda berjaya memasuki pintu kota Negeri Selindungan Bulan. Apabila semua rakyat tertidur hasil permainan sakti raja gergasi, mimpi Putera Cahaya Bulan menjadi kenyataan. Baginda dibunuh oleh panah pesuruh Raja Gergasi. Sena dan Amat berjaya memujuk Puteri Nang Mara untuk ke Benua Pak Kian. Manakala Putera Cahaya Bulan dihanyutkan dalam sungai, tetapi dijumpai penduduk kampung, Epong dan Edeng yang merawat baginda dengan air mawar hingga pulih.

Di Benua Pak Kian, Puteri Nang Mara diseksa kerana enggan menerima lamaran untuk berkahwin dengan Raja Gergasi. Sebaik pulih, dengan berani Putera Cahaya Bulan berangkat ke Benua Pak Kian untuk menyelamatkan permaisurinya.

Jurulatih

Saad bin Taib, lebih dikenali Pak Saad adalah tenaga pengajar subjek Mek Mulung bagi pelajar ijazah sarjana muda tahun satu semester satu Asrawa. Belia dilahirkan di Kampung Ijang Tepus, Jitra, Kedah pada 14 julai 1947. Pak Saad bergiat dalam bidang Mek Mulung sejak berumur 16 tahun sehingga sekarang. Bermula dengan mengikut arwah bapanya, sehingga sekarang terbabit dalam bidang ini. Beliau juga adalah tenaga pengajar di Taman Budaya Makam Mahsuri di Langkawai dan berpengalman dalam bermain dalam muzik gendang.

Pada 2002 belia bersama rakan Mek Mulungnya, telah mengadakan persembahan Mek Mulung diadakan di Menara KLCC Petronas yang merupakan persembahan pertama pernah diadakan. Kumpulan Mek Mulong sememangnya paling tua, berasal dari Ijang Tepus, iaitu tempat terawal Mek Mulung.

Rakan tenaga pengajar, Kamarusdin bin Debak, lebih mesra Pak Din, lahir pada 5 Me 1955 di kampung Lembah Arang, mukin Wang Tepus, Jitra. Bergiat sejak 18 tahun dengan bermain alat muzim serunai dan gendang selain turut berbakat di bidang lakonan dan nyanyian. Seperti Pak Saad, beliau turut menjadi tenga pengajar di Taman Budaya Negeri Kedah.