Saya percaya apa yang terdetik di hati bukan hanya satu harapan, bahkan doa. Saya baru sahaja berangan-angan untuk pergi ke destinasi jauh sedikit untuk merehatkan minda dan menambahkan pengalaman, tiba-tiba sahaja dipelawa untuk menyertai satu tugasan mengikut program FAMA bersama media di Kedah. Kalau saya terima bermakna saya akan pergi nun ke utara Semenanjung. Berapa hari trip itu? Soal saya kepada yang memberi tawaran. Enam hari - Khamis sehingga Selasa, jawabnya. Oh lama juga! Mengambil sebahagian daripada cuti sekolah. Tidak mengapalah! Disebabkan anak sudah besar, saya terima tugasan itu. Mengetahui yang penganjurnya adalah FAMA, saya sudah dapat mengagak bahawa trip kali ini mungkin berlainan sedikit. Agaknya masuk kampung keluar kampung melawat kebun? Rupa-rupanya memang betul, rombongan media seramai 10 orang itu dibawa meninjau kegiatan penduduk yang terbabit dengan pertanian dan industri kecil yang mendapat bantuan pemasaran FAMA.
Apa yang hendak saya sampaikan ialah, harapan dan doa saya untuk pergi berjalan-jalan, Alhamdulillah termakbul dengan tajaan. Terima kasih kepada FAMA sebagai penaja.
10 Mac
Sewaktu berjalan di atas jeti menuju ke feri, sempat juga snap.... jeti berlatarkan pemandangan laut dan langit biru.
Ila, penulis majalah Jelita, posing di tepi tingkap feri. Di sebelahnya ialah saya, sorry gambar saya sudah dicrop sebab muka letih dah tak semenggah.
10 Mac
Kami bertolak daripada pekarangan ibu pejabat FAMA di Selayang kira-kira jam 10 pagi secara konvoi dengan tiga keenderaan. Saya dan tiga lagi menaiki van. Agak lega. Keterujaan bermula, dengan persinggahan di sebuah gerai ikan bakar untuk makan tengah hari di Tapah, Perak. Gerai itu menawarkan puluhan jenis makanan selera kampung. Rambang mata untuk memilihnya. Biasalah, saya memilih ikan gulai tempoyak ikan patin dan ulaman. Sekitar jam tiga petang kami sampai ke pekan Kuala Kedah. Terpaksa menunggu lama kira-kira empat jam, kerana jadual menaiki feri ialah 7 petang. Melangkan ke jeti disapa hembusan bayu laut diiringi haruman lemak masin ikan kering. Tidak tahu dari mana, mungkin ada yang menjemur ikan atau memang bauan semula jadi di situ? Kami beratur panjang. Feri yang dinaiki agak sesak. Dalam perjalanan hampir dua jam dihiburkan oleh tayangan wayang bisu, Khurafat arahan anak pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam. Malangnya, kami hanya menonton aksi pelakon di layar TV tanpa suara. Ini membuatkan saya mengantuk, cuba menyeka mata untuk terus menonton, dalam keadaan pejam celik. Tahu-tahu sahaja tayangan sudah tamat, bermakna perjalanan sudah lebih sejam. Terkilan juga kerana terlepas melihat aksi akhir cerita itu. Berapa lama lagi harus berada di tengah laut?
Gelagat jurugambar dan wartawan Sinar Harian. Bertudung biru di belakang ialah Kak Na, staff FAMA yang bertugas menguruskan program lawatan kami.... di sebelah ialah suaminya... untung juga dapat kerja satu tempat, pergi out station pun satu tempat. Suami Kak Na juga banyak membantu melicinkan pengembaraan rombongan media ini...
Tidak sabar untk sampai. Sebelum itu, dari tingkap feri, sempat juga melihat saat senja melabuhkan tirainya. Langit biru bertukar jingga yang kemudian disapu awan kelam. Kami tiba di destinasi, jeti Kuah menjelang Isyak dan terus dibawa menikmati hidangan makan malam di sebuah gerai sebelum dihantar ke tempat penginapan bernama sangat istimewa, My Hotel!
Jumaat 11 Mac.
Selepas sarapan, kami diba ke Kota Tani, di mana kami akan menghadiri majlis perasmian Karnival Kota Tani Langkawi, esoknya. Pagi itu sempat meninjau kegiatan pameran dan melawat bangunan Agro Bazar. Di situ berpusatnya kedai pelbagai jenis barangan berasaskan tani. Bangunan yang turut menempatkan ibu pejabat FAMA Langkawi itu menyediakan ruang kedai membabitkan 42 peserta.