Cuti hari ini, ambil peluang kunjungi Berita Harian, tempat kerja lama.
Sampai di pintu pagar, `nak kena ambil pas ke tak'. Kebetulan guard yang berkawal hari itu, orang lama. Dia masih cam saya, dan saya masih cam dia- tetapi tidak tahu nama. Selepas bertanya khabar... pak cik guard itu menyuruh saya masuk tanpa mengambil pas. Seronok jugalah, terasa masih dikenang sebagai bekas kakitangan di situ.
Tujuan ke BH pada hari itu, untuk berjumpa dengan bos besar yang juga bekas rakan sekuliah di UiTM (dulu ITM), Datuk Manja Ismail tetapi rupanya dia cuti. Cari seorang lagi bos, Mustaffa Omar juga tak ada. Saja pergi tak buat temu janji. Suasana pejabat sudah jauh berubah. Luaran dan dalaman berseri. Ada warna. Tidak macam dulu, putih di mana-mana. Ikut peredaran dunia hiasan dalaman, guna unsur warna untuk menceriakan suasana kerja.
Kalau tidak dibawa oleh seorang staff baru di situ, saya mungkin tak jumpa mencari pejabat BH sekarang. Maklumlah dah 10 tahun tinggalkan pejabat itu. Dulu kaunter penyambut tetamu hanya di aras bawah. Kini ada di setiap tingkat. Sampai di Editorial BH, tertinjau-tinjau mencari staff yang masih dikenali. Nasib baiklah ada Sal, Ketua Unit Sastera, juga bekas rakan sekuliah. Walaupun busy, Sal sempat melayan berbual, kemudian datang pula Intan dan beberapa staff lagi. Sebentar kemudian muncul pula Beni, bekas rakan sekerja di Anjung Seri. Berseri-seri muka Beni. Seronoklah di situ kut. Sikit-sikit ada juga rasa rindu dengan tempat kerja lama tu. Tapi apa nak buat, rasa lebih selesa bekerja dengan majalah.
Lunch time. Intan dan saya beredar ke kantin. Saja saya nak berlama-lama sikit di situ. Suasana kantin juga jauh berbeza daripada dulu. Dinding konkrit bertukar kaca lut sinar. Ada tempat makan di dalam dan di luar. Selama ini hanya menjenguk dari luar sewaktu berjalan menuju ke Koperasi NST. Bila lalu, cepat-cepat melangkah tidak mahu terserempak dengan sesiapa yang dikenali.
Sambil makan, bertukar-tukar perkembangan tempat kerja masing-masing. Semakin lanjut usia, semangat untuk bekerja tentu tidak sama seperti muda-muda dulu. Dalam kepala asyik nak berhenti, mahu buat kerja sendiri, SOHO (small office home office). Kerja secara santai, alangkah bestnya!
"Memanglah saya pun kalau, boleh macam tu juga, tetapi tak boleh ada komitment," kata Intan, news editor.
"Komitment apa?" tanya saya. Setahu saya, dia tidak ada tanggungan.
"Rumah, kereta..." jawabnya.
"Hemm... yalah, saya pun begitu juga... saya anak-anak masih belajar, tunggu mereka kahwin.."
"Mengapa nak berhenti sangat?" tanya Intan.
"Tempat kerja saya... dari segi kerja, memanglah best. Tapi.... dah jemu kut."
"Kata dulu buat bisnes pengantin?" Soal Intan lagi.
"Memang... tetapi sekarang dah berhenti...badan tak larat! Nantilah, kalau berhenti kerja... rasa nak buat balik," jawab saya.
Kemudian datang seorang staff lain datang duduk di meja kami.
Intan semakin rancak berbual. Dulu Intan bukanlah `gu' saya. Saya seriau dengan mulut dia kalau bercakap. Tetapi kali ini kami dapat berbual panjang.
Seronok pula mendengar cerita politik di NST dan BH. Ketika itu hot dengan kisah peralihan tampuk pimpinan ekoran perlantikan Perdana Menteri baru. Datuk Ahmad Talib diumum menjadi orang penting Media Prima. Terkenang pengalaman bersama beliau mengikut rombongan Sukarelawan Yayasan Salam ke Kemboja. Saya suka dengan personalitinya yang bersahaja, tidak nampak garang, ego atau meninggi diri. Khabarnya dia sedang giat mengumpul maklumat untuk memantapkan lagi pengurusan Kumpulan Media Prima. Dan khabarnya NST dan BH akan berada di bawah Media Prima...
Kembali mencelah fasal saya bosan kerja.
"Nak datang sini balikkah?" tanya Intan.
"Ingat nak jadi sub di sini... " saya bergurau, "tetapi sebenarnya saya cari kerja yang gajinya boleh tahan tetapi kerjanya ringan... kerja main-main, siapa yang nak bagi kerja macam tu?" saya menambah.
"Heeiih kerja di sini... jangan haraplah. Waktu kerja saya dari jam 9 pagi sampai 9 malam," kata Intan.
Memanglah, dari dulu lagi saya sudah tahu...bekerja di akhbar, lagi tinggi jawatan, lagi lama waktu bekerja dan lagi berat bebanan tugas. Saya bukan orang macam tu. Lebih baik jadi staff bawah - wartawan -, paling tinggi balik jam 7.30 petang. Kerja dengan majalah, lagi untung. Waktu datang dan pulang tidaklah diambil kira sangat, asalkan kerja siap mengikut dateline.
"