Kala malam menjelang, kala itulah saya ada masa untuk berblog. Siang hari waktu kerja, nak jenguk pun tak sempat, apa lagi nak baca tulisan orang. Tengah buat kerja lain, mana boleh fokus nak tulis. Di rumah pun, menulis hanya waktu semua kerja sudah selesai. Menulis memang mencuri masa kita, apa lagi upload gambar. Saya tidak tahulah macam mana orang boleh tulis blog sewaktu orang ramai di sekeliling. Sebabnya bagi saya, selain menulis perihal kegiatan seharian, menulis blog adalah untuk meluahkan perasaan yang terpendam, mencurahkan segala yang terkilan, tetapi bukan untuk berdendam.
Orang kata, untuk meredakan segala kekusutan dan kesedihan, legakan hati dengan mencurahkan kemarahan menerusi tulisan. Begitulah nasihat pakar motivasi. Banyak kali saya cuba, rupa-rupanya betul. Setelah mengumpul tenaga, memerah minda untuk membalas kata, dan setelah selesai apa yang hendak diucapkan serta berhenti di titik noktah... Dengan sendirinya kemarahan kita itu akan berlalu begitu sahaja. Apa yang kita tulis, bagaikan sudah sampai ke sasarannya walaupun sebenarnya tidak pun.
Kalau dulu, semua kata-kata luahan tersimpan dalam file document microsoft word dan menjadi catatan rahsia peribadi. Tetapi bila dah ada blog, maka di situlah menjadi tempat mencurahkan kata. Saya percaya, bukan saya seorang begitu. Malangnya sifat blog adalah terbuka, sesiapa sahaja boleh baca. Kalau tak suka, tak payah baca. Zaman ini semua orang pun ada blog. Nak buat macam mana, kalau tak ada... ketinggalan zamanlah pula, terasa seperti katak di bawah tempurung. Macam dungu, tak pandai IT. Ini pun kiranya, baru nak belajar. Biasalah orang baru belajar, sering terperangkap dengan kesilapan.
Dulu ingatkan orang tulis blog kena tulis nama penuh seperti berita di surat khabar... (terbawa-bawa kerjaya, sebagai seorang wartawan). Rupa-rupanya dalam blog, tidak boleh tulis terang-terang... nama pun perlu dirahsiakan. Dulu saya tersasar juga, apabila diingatkan oleh kawan-kawan, saya pun membetulkan kesilapan. Terima kasih kepada kawan-kawan yang menunjuk ajar.
Rupa-rupanya teguran demi teguran yang diberikan oleh kawan-kawan, bersebab. Sebabnya blog ini amat berbahaya. Kalau dulu orang kata mata pena itu setajam mata pedang, begitu jugalah tulisan-tulisan di blog... Biasalah dalam kita mempertahankan diri dan menjelaskan sesuatu, tidak semestinya diterima oleh orang lain... Akhir kata, mohon kemaafaan di atas segala keterlanjuran bicara...