Friday, January 15, 2010
Kisah Kamil - 3
Termenung memikirkan masa depan, atau tak sabar nak balik nak main game?
Jumaat 14 . 1. 10
Setelah dua minggu menjadi warga asrama, hari ini Kamil dibenarkan pulang bercuti. Jumaat, semua pelajar asrama wajib ke masjid menaiki bas untuk solat Jumaat. Namun Kamil diambil papanya lebih awal dengan alasan mahu balik ke kampung.
Pengawal keselamatan membenarkan papa Kamil masuk sampai ke asrama. Ketika itu Kamil sedang makan di dewan. Hari Jumaat, pelajar kelas agama memakai baju Melayu putih dan bersampin corak belang hijau-putih. Mama suka lihat Kamil berpakaian begitu. Dalam perjalanan pulang Kamil duduk termenung di tempat duduk belakang.
Dalam kereta, diam saja.... kalau tak tanya, tak nak cerita apa-apa..
"Kenapa diam, takkan tak ada cerita," tegur mamanya.
"Cerita apa?" Jawab Kamil.
"Ceritalah, apa kegiatan di sekolah dan di asrama. Dah dapat keputusan temuduga Kelas Kemahiran Quran (KKQ)?" Soal mama Kamil. Dia amat berharap agar Kamil terpilih. Tak masuk sekolah tahfiz dan agama, mama mahu Kamil timba ilmu agama dan belajar Quran menerusi KKQ.
Kamil memasuki Kelas Aliran Agama (KAA) rancangan khas di sekolahnya. Selain mempunyai subjek bahasa Arab, KAA menawarkan pengajian KKQ menerusi program kokurikulum. Itu sahaja kelebihan yang bagi mama, amat penting disertai setiap pelajar KAA.
"Kamil terpilih tak?" Soal mamanya lagi sambil berpaling memandang Kamil yang duduk di kerusi belakang.
Kamil sengaja lambat-lambat jawab soalan mamanya. Dia mula menjawab dengan bercerita. Sukar ditelah dari raut muka Kamil. Gembira tidak, kecewa pun tidak. Selamba sahaja mukanya.
"Dah temuduga dah," jawab Kamil ringkas.
"Macam mana, terpilih tak?" Mama Kamil tidak sabar ingin tahu.
"Semasa uztaz TV9 tu umumkan nama yang terpilih, mula-mula nama Kamil tak disebut.... tapi kali kedua semasa dibuat pertukaran kelas, ada pula nama Kamil. Uztaz terlepas pandang nama Kamil," ceritanya.
'Alhamdulillah' bisik hati mama Kamil. Gembira benar mendengar berita itu. Mama memang berdoa agar Kamil terpilih. Mulanya dia tidak tahu apa itu KKQ. Setelah diselidik, didapati ia singkatan kepada perkataan Kelas Kemahiran Agama. KKQ bukan subjek pengajian tetapi salah satu kegiatan ko kurikulum khusus untuk pelajar KAA. Dalam KKQ, antara lain mereka diajar ilmu tajwid dan bertaranum atau membaca sambil berlagu.
Nama Kamil Uztaz terlupa sebut..... nasib baik dapat masuk KKQ (Kelas Kemahiran Quran)
"Apa yang uztaz suruh Kamil buat semasa temuduga tu?" Soal mama Kamil lagi.
"Uztaz Nik, suruh Kamil baca dua surah Quran... dan azan. Kamil baca dua tiga ayat saja pada satu-satu surah, uztaz kata okey.... okey... . Giliran Kamil sekejap saja," jawab Kamil.
"Mungkin, dia puas hati dengan kemampuan Kamil... baguslah begitu," ulas mamanya. Hakikanya dia tidak berapa yakin Kamil akan terpilih. Kalau bercakap, terputus-putus. Berfikir dahulu sebelum hendak bercerita. Ikut sifat akulah tu. Bisik hati mamanya. Inilah yang menyebabkan dia tidak yakin dengan kebolehan Kamil. Kerana itu dia gembira sangat apabila Kamil dapat masuk KKQ.
"Dah dapat tu, jangan main-main.... belajar betul-betul dengan uztaz. Kalau uztaz tanya soalan, cepat-cepat angkat tangan, jawab. Biar uztaz nampak Kamil aktif," pesan mamanya. Kamil diam sahaja.
Papa Kamil memandu menghala ke surau. Mereka perlu singgah di situ untuk solat Jumaat. Selepas solat, mereka tergesa-gesa pulang untuk melihat siaran ulangan rancangan Apa Kata Wanita di TV1. Kamil terlepas menonton rancangan temu bual bersama kakak, mama dan papanya Sabtu lepas. Kamil terkilan tidak dapat melihat rancangan itu.
"Mama, esok Kamil boleh balik, ambil Kamil awal sikit sebab nak tengok kakak di TV. Mama kata, ada siaran ulangan hari esok," pesan Irfan Kamil kepada mamanya menerusi telefon sehari sebelum itu. Rupa-rupanya Kami masil ingat perkara itu.
Selesai solat Jumat, Kamil dan papanya segera pulang. Kamil tidak sabar tunggu kakaknya muncul di TV. Sambil itu, sempat juga bermain game di komputer.
"Haa.... itu dia, Kamil cepat datang tengok dekat TV ni," laung papanya. Kakaknya duduk berlunjur di sofa, berdebar-debar juga menunggu. Tidak tahu macam mana rupa dia di kaca TV. Begitu juga papanya.
Bila kakak dan papanya muncul sambil berbicara, Kamil menonton dengan perasaan teruja. Secara spontan, dia berkata: "Kenapa tak ajak Kamil pergi studio. Kenapa tak bawa Kamil? Kamil boleh masuk kan?"
"Boleh, ada seorang budak masuk... tulah Kamil lambat bangun hari tu," ujar papanya.
"Kita semua nak cepat hari itu, kalau tunggu Kamil nanti tak sempat," ujar kakaknya.
bersambung...
Subscribe to:
Posts (Atom)