Seorang kawan berkata, tidak ada perkataan pencen dalam kamus hidup. Mungkin dimaksudkan kepada bukan kaki tangan kerajaan. Pesara kakitangan kerajaan sekalipun, katanya kena bekerja sehingga ke akhir hayat. Kalau tidak ditambah, simpanan yang ada akan habis jika dimakan sedikit demi sedikit. "Macam sebuah gunung, kalau ditarah sikit-sikit, akan habis juga kan? Macam mana kalau umur kita panjang sampai 70 - 80 tahun. Kalau nak makan duit pencen, berapa banyaklah sangat." Saya termenung, mungkin ada betul juga kata dia - siapa lagi, kalau tidak `uztaz' Nasir Roli tu. Kalau pergi assingment naik kereta dia, tidak sah kalau tidak dengar ceramahnya. Saya suka buka topik... kemudian dengar dia berceramah panjang. Fikir-fikir lagi kenyataannya itu, mungkin betul dan mungkin tidak. Kalau orang bergaji besar, tentu duit pencen cukup untuk dimakan sehingga akhir hayat.
Pendapat saya, andai kita tidak mahu lagi bekerja menjelang usia 50 tahun, kenalah bersiap sedia dari muda, mengumpul wang untuk hari tua. Harta beku penting. Harta yang boleh meningkat harga kalau disimpan seperti rumah dan saham amanah. Saya tidak tahu, mungkin saya terlewat untuk hidup selesa. Cukupkah apa yang ada untuk menampung kehidupan di hari tua? Saya ini `teruk' sedikit. Sepatutnya fikirkan mengenai, cukupkah amal ibadat saya untuk bekalan hari mati? Atau fikirkan mengenai keadaan semasa. Tidak usahlah fikir menjangkau masa yang tidak tentu, kita masih hidup atau tidak lagi ketika itu.
Itu maknanya saya diserang penyakit. Ada saja bisikan-bisikan yang tidak diingini, sentiasa menghasut supaya sentiasa memikirkan mengenai wang ringgit. Benci betul saya. Dari dulu lagi begitu. Sedangkan hal-hal ini, patutnya difikirkan oleh orang lelaki - suami. Tapi dia diam-diam saja, mungkin dia tidak beritahu rancangannya. Dia dengan rancangan dia dan saya dengan rancangan saya.
Saya terbaca kisah selebirit Linda Onn di Kosmo Online. Wah dia mampu memiliki sebuah lagi banglo berharga juta-juta. Belum kahwin lagi minah tu. Mungkinkah bisnes jual nasi ayam My Mom's Chiecken Ricenya meletup-letup? Betullah agaknya. Kalau tidak, masakan dia merancang membuka dua lagi cawangan di tempat lain. Bertuahlah dia mendapat keluarga yang menyokong menguruskan perniagaan berkenaan. Katanya, resipi nasi ayam itu resipi ibunya. Rasanya ibu dan adik-beradiknya yang bertungkus lumus menguruskan periniagaan itu. Bekerja di radio, adakah dia masa untuk itu?
Bercakap fasal berniaga, dengan umur ini dah tak sesuai lagi berhempas pulas di kedai, melayani kerenah pekerja, pelanggan dan sebagainya. Alangkah bagusnya kalau dapat duduk di rumah melakukan apa sahaja kerjaya yang saya suka. Orang kata, bukalah perniagaan melalui internet. Malangnya tak berapa arif dan belum lagi mula.
Mengapa saya mengarut fasal hal ini pagi-pagi hari ini? Sebabnya, saya sudah kerugian, terlepas peluang untuk membuat permohonan refinance rumah sewaktu interest/blr rendah 3.9 peratus. Semalam saya terdengar blr sudah dinaikkan. hu hu... saya sedih. mengutuk diri sendiri, lambat bertindak. Ini gara-gara bank lambat keluarkan permohonan untuk dapatkan penyata akaun gaji dari enam bulan lepas. Maknanya saya sudah kerugian besar. Kalau saya uruskan awal-awal, tentu dapat rebet banyak.
Apa pun, tidak kiralah, hari ini saya kenalah pergi juga ke bank. Sebelum blr naik lebih tinggi, saya mesti pergi berbincang dengan bank, rumah mana yang patut saya buat refinance. Rumah mana yang boleh dilangsaikan bayarannya. Semalam, anak saudara yang bercadang membeli salah satu rumah saya pula memberitahu dia tidak jadi beli. Alasannya permohonan beli rumah berharga sekitar RM300,000 itu sudahpun diluluskan. Baguslah untuk diri dia dan keluarganya. Dapatlah rumah yang besar sedikit dan dekat pula dengan tempat tinggal asalnya. Rumah saya kecil-kecil saja. Macam mana kalau anak nak kahwin nanti? Sempat ke nak renovate, sempat ke nak beli rumah lain yang lebih luas? Banyak yang bercelaru dalam fikiran saya ini... malaslah dah nak cerita... Mengucaplah Rashidah....