Bab 6
Kemelut Hati, Mengundang Misteri
“Mak, mana barang-barang Alia. Alia nak duduk bilik mana ni?” Alia merengus melihat salah satu bilik yang dimasukinya. Matanya melilalu melihat persekitaran tempat baru itu. Segalanya begitu asing baginya. Bilik yang panas tidak berpenghawa dingin. Pakaian yang masih bertimbun belum dilipat.
“Alaa… barang-barang Alia tak angkut ke mari lagi.. Eloklah Alia balik, bolehlah kemas barang-barang Alia, nanti lori ayah hantar. Barang-barang mak pun ada banyak lagi tak bawa,” suruh Sharifah Ameera.
Pening Alia mahu menyesuaikan dirinya dengan tempat baru itu. Alia masuk ke bilik ibunya di bahagian hadapan. Tidaklah seluas mana. Di situ juga bertimbun-timbun baju di atas katil. Belum bersusun. Satu almari pasti tidak muat.
“Alia solat dan rehat dulu di bilik mak,” pujuk Sharifah Ameera. Alia tidak menjawab. Dia melangkah pula ke bilik adik kecilnya, Shabudin. Bilik itu sudah siap dikemas. Peti TV tidak sah tidak ada. Bukan untuk tengok TV tetapi untuk bermain play station. Adik-adiknya tak boleh hidup kalau tak ada alat permainan itu.
Beralih pula ke bilik Ariana. Alia terpaksa membiasakan diri untuk duduk sebilik bersama adiknya. Di rumah lama mereka mempunyai bilik seorang satu. Nampaknya keadaan akan menjadi seperti dulu. Semasa kecil iaitu sebelum berpindah ke rumah besar ayahnya, mereka biasa tinggal berkongsi bilik.
Memandangkan kesemua adik beradiknya sudah berpindah ke rumah itu, Alia pun terpaksa mengikut. Walaupun bukan daripada satu ibu, mereka memang rapat sejak daripada kecil. Dengan seramai empat orang, tidak perlukan orang lain untuk berkawan. Bermain sesama mereka pun sudah cukup riuh. Bagi menghilangkan kebosanan, Alia berehat di bilik adiknya.
“Mak, nanti lepas makan hantarlah Alia ke rumah ayah. Alia nak kemas barang, bawa ke sini.”
“Betul ke? Alia dah okey?” Terkejut pula Sharifah Ameera mendengar kata-kata Alia. Sangkanya, Alia tak mahu pindah.
“Yalah , takkan Alia nak duduk seorang-seorang di rumah ayah. Boringlah. Tapi, kesianlah pada ayah. Nanti, tentu dia sunyi,” balas Alia, sambil mengenang ayahnya.
“Tak adanya… ayah ramai kawan. Dia tak pernah kisah itu semua. Kawan-kawan perniagaan dia ramai. Kalau sunyi, nanti dia mesti datang ambil Alia dan adik-adik bawa pergi jalan-jalan,” pintas Sharifah Ameera. Dia lega apabila Alia sudah dapat berinteraksi baik dengannya. Apa yang Sharifah Ameera bimbang ialah kalau-kalau Alia buat hal dan mogok tidak mahu bercakap langsung kerana tindakannya itu.
Sudah tiga hari Alia berada di rumah baru itu. Alia terpaksa menerima kehendak takdir. Walaupun ibunya memilih untuk keluar daripada rumah mereka menyebabkan dia dan adik-adik terpisah daripada ayahnya, Alia tidak mampu berkata apa-apa lagi. Dia tahu, ibunya sudah membuat kata putus. Mereka pun sudah terlanjur berpindah.
Sewaktu pergi ke rumah lama untuk mengambil barangannya semalam, Alia berasa lain macam. Sunyi saja. Kalau tidak, rumah itu paling ceria. Tambahan apabila semua ahli keluarga ada. Adik-adiknya bukannya boleh diam. Ada saja perangai yang membuatkan suasana riuh. Alia memerhati ke sekeliling. Banyak juga barang yang sudah tidak ada. Barang-barang kesayangan emaknya semua sudah dibawa pergi. Kebanyakan yang tinggal adalah barang-barang ayahnya dan barang-barang miliknya sendiri. Alia mengambil satu persatu barangannya dan memasukkan ke dalam beg.
“Alia pun nak pindah dari sini juga, nak tinggalkan ayah. Semua nak tinggalkan ayah? Kenapa? Apa yang ayah buat?” Soal Syawal. Alia diam. “Emak Alia tu saja cari masalah. Alia pujuklah, suruh mak balik,” Syawal cuba meraih simpati anak itu. Dia menahan sebak.
Alia serba salah. Dia tidak menganggap ayahnya salah. Tapi Alia pun bencikan neneknya. Alia tidak suka dia masuk campur dalam hal keluarga mereka. Dia tidak tahan melihat perlakuan nenek terhadap ibunya.
“Itulah ayah. Tak nak percaya. Kan Alia dah cakap, nenek tu teruk. Mak tak boleh dah nak berhadapan dengan nenek. Ayah tak faham. Nenek selalu berpura-pura baik di hadapan ayah.” Alia berharap benar agar ayahnya percaya kepada kata-katanya itu.
Syawal diam. Dia tidak suka mendengar kata-kata Alia itu. “Jangan anggap nenek begitu Alia. Tak baik. Jangan terpengaruh dengan kata-kata emak.” Bagi Syawal, ibu adalah segala-galanya kerana dia tahu sebagai anak lelaki, syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Walau apa sekali pun, dia tetap memihak ibunya. “Nenek tu kurang sihat. Dia bukan macam orang lain. Kita kena jaga hati dia,” balas Syawal. Itulah selalunya alasan Syawal untuk mempertahankan ibunya.
Syawal perasan, perangai ibunya berubah selepas melahirkan adik bungsunya. Orang kampung kata, sakit meroyan tetapi Syawal tidak percaya sangat. Syawal terima apa sahaja perubahan ibunya. Syawal tetap bersabar dengan perangai ibunya, walaupun dia melakukan sesuatu perbuatan di luar batasan. Sebaliknya Sharifah Ameera menganggap ibu mentuanya saja menyakitkan hatinya. Bagi Sharifah Ameera, ibu mentuanya memang tidak sukakan dia. Daripada mula-mula kahwin lagi, dia sudah dapat mengesan sikap sebenar ibu Syawal. Tidak pernah menunjukkan perasaan sayang kepadanya sebagai anak menantu. Bahkan dia sering diherdik dan dihina. Itulah yang memaksa Sharifah Ameera pergi. Pergi membawa hatinya yang lara setelah sekian lama cuba mempertahankan rumah tangganya. Hatinya hancur dirobek-robek oleh ibu mentuanya. Syawal pula tidak pernah melawan ibunya. Tidak pernah pun. Bagi Syawal, walau macam mana sekali pun sikap wanita itu, dia tetap ibunya di dunia dan akhirat. Justeru Syawal tidak dapat menghalang Sharifah Ameera daripada pergi apabila ibunya dijadikan punca permasaalahan. Walaupun berat hati, Syawal terpaksa membiarkan anak-anaknya mengikut ibu mereka. Dia faham, Sharifah Ameera juga tidak boleh berenggang dengan anak-anaknya.
Bagi Sharifah Ameera, anak-anak adalah segala-galanya. Penat mengandungkan mereka, perit melahirkan masih terasa. Masakan dia rela berpisah?
Syawal dapat memahami semua itu. Dia tidak berupaya lagi untuk menghalang kehendak isterinya, sehingga terpaksa mengikut saja apa keputusan wanita yang amat dicintainya sejak dulu, kini dan selamanya. Kerana tidak kuasa bergaduh, Syawal membiarkan Sharifah Ameera pergi. Biarlah dia melepaskan geramnya, kalau susah nanti, pasti dia akan kembali juga kepadaku. Doa Syawal. Dia juga berdoa agar dapat bersatu semula dengan anak-anaknya.
“Ayah tolong hantar Alia balik ke rumah mak,” Pinta Alia.
“Mahu ayah hantar, tak marahkah mak nanti. Dia dah pesan pada ayah jangan pergi ke rumah dia,” jawab Syawal.
“Alaa… tak apalah. Ayah hantar, tak payah masuk rumahlah,” Alia memberi jalan dan Syawal bersetuju.
“Bolehlah, tapi dengan satu syarat, Alia cuba pujuk emak supaya balik ke rumah kita ya?” Pinta Syawal sambil membantu Alia mengangkat sebahagian daripada barang-barang anaknya untuk dimasukkan ke dalam kereta.
Empat hari di rumah baru ibunya, Alia cuba menghilangkan kesugulan di hati. Dia menelefon rakannya, Mohd Amin untuk memberitahu perkembangan terbaru mengenai keluarganya.
“Bertenanglah Alia. Ayah dan emak kamu, bukan pergi ke mana-mana. Mereka masih ada walaupun duduk berasingan. Saya ni lagilah, emak dah meninggal. Duduk pula dengan emak tiri. Dapat pun menerima segala takdir. Mula-mula memanglah rasa sedih,” ujar Mohd Amin yang tinggal tidak jauh daripada rumah lama mereka.
“Masalahnya, saya tak faham mengapa ayah tidak menghalang emak daripada pergi,” balas Alia.
“Mungkin dia ada sebab tersendiri. Apa-apa pun bersabarlah. Masalah Alia ni kecil saja berbanding sesetengah orang lain yang hilang terus tempat bergantung.” Macam-macam nasihat Mohd Amin kepada Alia. Dia berusaha memberikan kata-kata semangat kepada rakan baiknya itu.
Setelah fikiran yang berserabut reda, Alia mengambil keputusan untuk pulang ke asrama pada hari Ahad. Dia cuba melupakan segala masalah yang sedang berlaku. Selama dua minggu hatinya tenang sedikit. Namun pada satu malam, menjelang jam 12, tubuhnya seram sejuk. Lama juga dia cuba mengawal dirinya. Alia duduk di atas katil tingkat bawah, memandang dinding di kepala katil. Ada sesuatu pelik pada dinding konkrit itu. Keluar bintik-bintik merah seperti cecair darah, tembus keluar daripada permukaan dinding.
Apa benda ni, bisik hati Alia yang masih boleh berfikir.
“Alia apa yang kamu renung tu? Alia!” Panggilan Shila yang duduk di katil sebelah. Namun tidak didengari Alia. Apa yang direnungnya? Pelik betul muka dia. Shila berkata-kata di dalam hati.
“Alia… awak tengok apa tu?” Sapaan Shila tidak dipedulikan Alia.
Mata Alia masih terpaku pada dinding itu. Dia nampak titisan cecair merah tadi semakin mengembang, saling bercantum. Alia panik melihat cecair merah likat itu, perlahan-lahan mengalir membasahi dinding. Darah! Darah! Tiba-tiba pandangannya berpinar. Dunia menjadi gelap dan serentak itu dia rebah di sisi katilnya.
Sekali lagi satu bilik Seroja terkejut. Semua mengalih tumpuan kepada Alia dan sebentar kemudian warden dan ustaz tergesa-gesa datang untuk memulihkan keadaan Alia.