Monday, October 29, 2012

Makan Angin di Pulau Seribu Pura




Tulisan dan Gambar: RASHIDAH IBRAHIM

                                                        Kuil dalam air, Tanah Lot

Sebaik menjejakkan kaki di  Lapangan Terbang Ngurah Rai, Denpasar, Bali, pada petang 28 Julai lalu (2012), terdetik di hati, `Bali… saya datang lagi,` sambil tidak sabar ingin melihat perubahan suasana pulau peranginan yang menjadi kesukaan pelancong antarabangsa itu.
   Sebelum pergi, seperti tidak percaya apabila kawan yang merancang percutian itu berkata, Bali sudah tidak seperti dulu. “Jalan sesak, I tak suka memandu di situ,” ujar Sam Raja Aziz sewaktu saya memberi cadangan menyewa kereta dan memandu sendiri, kononnya mahu berjimat.
   “Kalau larat, pandulah sendiri, I tak larat, jalan sesak!” Saya macam tidak percaya  menerima ayat sistem pesanan ringkas (sms) itu sewaktu kami sedang merancang.
    Keluar daripada tempat letak kereta di kawasan lapangan terbang sewaktu kunjungan kedua pada 2006, jalan utama lengang sahaja. Berbeza dengan kunjungan terbaru, kereta bertali arus.
    “Sekarang you tengoklah sendiri. Keadaan sudah tidak sama seperti dulu. Dalam masa setahun dua sahaja di Bali, boleh nampak banyak perubahan,” katanya. Mujurlah saya mengikut kata Sam.Walaupun sudah biasa tinggal di Bali, dia juga tidak berani menyewa kereta dengan orang perseorangan atau syarikat yang dia tidak biasa berurusan.
   Sejak sering berurusan di Bali katanya, timbul idea untuk memudahkan perjalanan kawan-kawan yang tidak biasa berjalan di Bali. Daripada situ, dia mula membantu melicinkan perjalanan kawan-kawan di sana. Dan untuk menjadikan perkhidmatannya lebih rasmi dia mendaftar dengan agen Tiki Wisata Tour and Travel (Tiki Wisata). Kini Sam semakin kerap menguruskan perjalanan kawan-kawan menyebabkan dia sentiasa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Bali.
   Diberi jolokan Pulau Seribu Pura, Bali amat popular di kalangan pelancong asing dari seluruh dunia maupun pelancong domestik di Indonesia.  Hanya sebesar 5,636.66 km persegi, pulau itu menawarkan keindahan alam semula jadi saperti pantai, gunung-ganang, sawah, desa dengan penduduk kaya dengan budaya unik.
                                                                 Bermain air

   “Sememangnya Pulau Bali bukan saperti 20 tahun dulu.  Kini ia pesat membangun dengan tempat percutian dan bangunan pelbagai konsep seperti moden, tradisional dan yang terkini retro klasik. Kita hanya perlu memilih percutian yang dirancang mengikut kesesuaian bajet atau cita rasa sendiri,” ujar Sam.

   Beribu pejabat di Jakarta, pada mulanya Tiki Wisata Tour & Travel menawarkan pakej harga VIP, namun saya menolak dengan alasan hanya orang biasa. Perbincangan semula membawa manfaat  dari segi bajet, ditambah bantuan daripada hotel Wina Holiday Villa dan Mentari Sanur.
   Percutian lima hari dari 28 Julai hingga 1 Ogos bermula dengan lawatan ke Tanah Lot pada pagi 29 Julai.  Saya pernah ke situ dalam kunjungan pertama ke Bali lebih 10 tahun lalu, menerusi program Promosi Tahun Melawat Indonesia. Lupa pula tahunnya. Apa yang saya ingat ketika itu, kuil berkenaan berada di dalam laut. Keadaan lengang, tiada pelancong lain selain kami bertiga - saya, jurugambar dan pemandu pelancong. Berbanding sekarang, bilangan pelancong tidak terkira. Masuk, melalui pintu gerbang besar dan kemasukan bertiket. Jika dulu, kami hanya melihat pura dari tepi jalan besar. Ketika itu ia berada di dalam laut. Sewaktu kami sampai baru-baru ini, air surut dan pura berada di darat. Pemandangan menarik berlatarkan lautan biru adalah faktor Pura Tanah Lot menjadi tarikan pengunjung.
   Disebabkan air ketika itu surut, pelancong boleh berjalan sampai ke kuil. Seram melihat tanda perkataan `ular putih` di pintu sebuah gua. Kami tidak berani masuk. Sebuah lagi gua kelihatan menjadi tumpuan penganut agama Hindu untuk berjumpa sami. Pelancong lain, sekadar menghabiskan masa menghayati keindahan pantai sambil bergambar di atas batu berlatarkan ombak besar yang membadai tebing. Kala datang ombak tinggi sehingga melepasi paras kepala, air laut membuak menenggelami batu dan kaki.
   “Jangan bergerak, berdiri tegak saja!” laung Sam. Saya diingatkan agak berdiri setempat, jika lari di atas batu-batu yang licin itu, bimbang tergelincir jatuh. Hampir separuh hari kami berada di situ, semata-mata untuk merakam aksi berdiri membelakangi ombak besar dan merakam pemandangan indah di situ.

                                                                    Pura Tirta Empul

   Sepintas lalu mengenai Tanah Lot, ia adalah tebing tinggi menganjur ke laut. Di atasnya terdapat kuil Hindu, bernama Pura Tanah Lot. Terletak di Tabanan, tebing tinggi itu terbentuk akibat hakisan pasang surut air laut selama berjuta tahun. Difahamkan Kuil di atas batu karang itu dibina pada abad ke-15 oleh sami bernama Nirartha yang singgah berehat di situ . Ramai nelayan datang berjumpanya memberi hadiah. Dia meminta mereka membina sebuah makam sebagai tempat suci. Kuil Tanah Lot adalah salah satu daripada tujuh kuil laut sekitar pantai Bali. Masyarakat Hindu di situ percaya kewujudannya membantu mengawal roh jahat dan penceroboh. Menurut cerita masyarakat setempat, ada seekor ular besar dicipta daripada cindai Nirartha sebagai pelindung pulau itu. 

 
                                   Panorama ombak membadai tebing di kawasan Pura Tanah Lot

   Pada sebelah petang kami meneruskan perjalanan ke Pantai Seminyak untuk melihat pemandangan matahari terbenam. Kelihatan ramai pelancong asing sedang bersantai di bawah payung besar berwarna-warni. Selesai merakam panorama senjakala, kami mencari restoran halal untuk mengisi perut dan menamatkan lawatan hari itu.
   Bangun pagi esoknya,  kami ke pantai Sanur untuk melihat kegiatan di tepi pantai sebelum meneruskan jadual lawatan ke Pura Tirta Empul, yang terletak bersebelahan Istana Presiden di Desa Manukaya, Tampak Siring, Gianyar. Tirta Empul adalah kuil atau pura yang mempunyai tarikan tersendiri. Di situ terdapat kolam pemandian yang dianggap suci oleh masyarakat Hindu. Terciptanya Tirta Empul beribu tahun dulu, diceritakan ada kaitan dengan nama kampung, Tampak Siring. Menurut lagenda dewata, kejadian it berlaku ketika Batara Indra diutus dari langit untuk menghancurkan raja Mayadenawa kerana menyalahgunakan kesaktiannya.
   Sewaktu melarikan diri ke hutan, Mayadenawa berjalan dengan memiringkan telapak kakinya. Di kawasan itulah terhasil nama desa, Tampak Siring bermaksud telapak miring. Sebelum Mayadenawa dapat ditangkap oleh Batara Indra, dengan sisa kesaktiannya, dia mengeluarkan mata air beracun. Banyak kematian memabitkan mereka yang meminum air itu namun Batara Indra berjaya mengeluarkan mata air penawar, diberi nama Tirta Empul yang dapat menghidupkan kembali mereka yang meninggal terminum racun.              Kemudian dibina kolam dengan deretan batu pancuran bagi kemudahan mandi penyucian diri.
   Selesai mendengar kisah lagenda itu, kami berjalan keluar melalui kawasan gerai kraftangan.  Lawatan seterusnya adalah ke daerah Tegallalang. Peminat hiasan dalaman tidak harus melepaskan peluang berkunjung ke situ kerana terdapat banyak kedai hiasan rumah di sepanjang jalan. Persinggahan terakhir kami hari itu adalah Restoran Hu`u, menampilkan gaya hiasan santai dan unik dengan tempat makan dalam bangunan dan khemah bertirai putih. Senja itu kami berbuka puasa di situ dalam remang cahaya dian.         Menawarkan makanan barat dan Asia, restoran Hu’u tampil unik dengan penyediaan tempat duduk menyerupai sangkar burung. Selesai makan, kami terus ke Hotel Wina Holiday Villa, Kuta untuk menginap.
  Bangun pagi keesokannya, saya terus mencapai kamera untuk merakam gambar hotel sebelum bersedia menunggu pihak pengurusan untuk bersembang. Dalam pertemuan itu,  kami diberitahu mengenai kelebihan hotel itu yang popular di kalangan pelancong Islam kerana menyediakan makanan halal. Mengekalkan reka bentuk bangunan batu warna jingga, hotel tampil berseni dan unik dengan imej Bali, membuatkan ia kekal diingati.
                                                               Di kolam Tirta Empul

   Selesai menghayati keindahan hotel Wina Holiday Villa, kami menuju ke pusat beli-belah, Bali Collection. Di situ terdapat banyak kedai barangan berjenama. Tidak berhasrat membeli-belah, kami sekadar window shopping dari pagi sehingga lewat tengah hari. Selepas itu, meneruskan pula perjalanan ke Kafe Pari-Pari untuk berbuka puasa. Perjalanan lebih sejam, mengharungi kesesakan lalu lintas, amat meletihkan. Sebaik sampai, terkejut mengetahui ia terletak di kawasan sawah padi, namun kami menikmati hidangan dengan penuh berselera kerana baru berjumpa dengan masakan negara sendiri.
   Menurut Sam, bagi yang ingin ke Pulau Bali, percutian 4 hari 3 malam adalah paling minimun. Itu pun tidak cukup untuk menjelajah ke semua destinasi pelancongan. Mereka dinasihati  menentukan jenis lawatan mengikut minat supaya mudah membuat pemilihan. Tiki Wisata menawarkan pakej percutian yang unik seperti Pakej Kecantikan dan lawatan (Beauty and Tour) yang memberi tumpuan kepada kegiatan penjagaan kecantikan, kesihatan dan pemakanan organik sambil melawat; Pakej Belajar Menari dan Bersiar (Dance and Tour) yang diisi dengan kegiatan belajar menari dan bersiar; di samping Pakej Percutian Biasa atau Santai serta Pakej Keluarga dan Melawat (Family and Tour).

                                          Pelancong melepak di pantai Seminyak