Tuesday, December 24, 2013
Tajuk: Bagaimana Berjimat Menggunakan Pendingin Hawa? Sudah lama juga kita diberitakan mengenai fenomena penapisan ozon yang menyebabkan suhu persekitaran kian meningkat. Lantaran fenomena itu, perubahan cuaca bertukar menjadi tidak menentu. Panas terik memanjang dan hujan tidak bermusim. Pada musim panas, kita semua gelisah tidak tertahan. Berbahang, terkadang seperti terasa berada dekat dengan api. Ini menyebabkan ramai daripada kita tidak dapat tidur pada waktu malam. Perubahan cuaca yang sedang berlaku mendorong kepada galakan penggunaan alat pendingin hawa. Bagi yang tidak tahan menanggung kepanasan, sudah tentu akan menambahkan penggunaan alat berkenaan di rumah. Secara tidak langsung, bil elektrik bertambah. Dalam pada hendak berjimat, alat berkenaan tetap juga diguna. Bagaimanakah caranya untuk mengawal kenaikan bil elektrik daripada penggunaan alat pendingin itu? Anda mungkin ada cara tersendiri. Melalui majlis Bicara Anjung kali ini, kami berpeluang meninjau pendapat mereka yang hadir. 1. Pengasas produk kecantikan, Altheashine, Norizan Yaacob. “Saya memang guna alat pendingin hawa di rumah termasuk di ruang tamu dan bilik tidur. Sebolehnya saya kawal juga penggunaannya untuk meringankan bebanan pembayaran bil. Cara yang saya selalu amalkan ialah dengan memasangnya dalam tempoh tertentu sahaja. Misalnya dipasang sejam dan apabila suasana sudah sejuk, saya padamkan. Apabila terasa berbahang semula, saya pasang semula alat pendingin hawa berkenaan dan kemudian tutup, bergantung kepada keadaan suhu. Di rumah saya, hampir semua ruang ada alat pendingin hawa. Bil elektrik biasanya RM300 sebulan tetapi kalau musim ramai tetamu, lebih keraplah saya pasang dan bil akan meningkat sekali ganda, iaitu sekitar RM600 sebulan.” 2. Editor, Norazwa Mahat. “Saya tidak guna alat pendingin hawa di rumah. Saya hanya berpengalaman menggunakannya di pejabat. Di rumah, saya lebih suka menggunakan kipas. Pengalaman saya, bila keluar daripada pejabat yang berpendingin hawa, kita akan berasa ketara panas berhaba. Saya tidak suka dengan keadaan seperti itu. Sebaliknya, kalau kita kekal duduk dalam ruang yang bersuhu semula jadi di rumah, tidak terasa sangat perubahan apabila kita keluar rumah. Jadi saya lebih selesa dengan keadaan begitu.” 3. Pereka Grafik, Nor Rashidah Dijai. “Saya pun ada menggunakan alat pendingin hawa di rumah. Saya guna di ruang tamu dan dua bilik tidur. Sudah tentulah kami tidak pasang sepanjang hari. Saya pastikan anak-anak menggunakan alat itu pada waktu cuaca panas. Pada hari hujan, cukuplah menggunakan kipas sahaja. Di ruang tamu, saiz alat pendingin hawa lebih besar daripada di bilik tidur. Cara mengurangkan bil elektrik, adalah memasang pada waktu siang hari sahaja di ruang tamu tetapi di bilik tidur, hanya diguna pada waktu malam tetapi tidaklah sampai ke pagi. Pengalaman saya, alat pendingin hawa kecil lebih cepat rosak daripada yang besar. Kalau rosak yang kecil, tukang baiki mengesyurkan supaya beli baru, kerana tidak berbaloi untuk dibaiki disebabkan harga dah hampir sama dengan yang baru. Tapi kalau yang bersaiz besar, sesuailah untuk dibaiki, kerana ada jarak perbezaan jika dibandingkan harga baiki dengan harga baru. Bagi mengelakkan rosak, kenalah amalkan diselenggara sebelum rosak. Kalau alat itu sudah kurang sejuk, itu tanda ia perlu diservis. Penyelenggaraan mengikut waktu juga boleh mengelakkan pembaziran elektrik. Bil bulanan elektrik kami biasanya RM180 sebulan, tetapi pada musim keramaian atau ramai tetamu, meningkat pada RM300 sebulan.” 4. Ahli perniagaan, Azni Azeta Abdul Aziz. “Kami tinggal di rumah ibu bapa. Dan rumah itu sudah lama ada alat pendingin hawa tetapi kebanyakannya di bilik tidur sahaja. Seingat saya, sudah banyak kali juga diservis. Tidak juga kerap mengalami kerosakan. Saya memang selalu mengingatkan anak-anak supaya memasang pada waktu perlu sahaja. Selalunya dipasang pada waktu malam sewaktu hendak tidur. Cara mengawal ialah dengan menunjukkan nilai bil kepada mereka. Saya pernah diberitahu oleh rakan yang bekerja dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), satu alat pendingin hawa berkuasa kuda 1, penggunaan elektrik adalah sekitar RM5 sehari, tetapi kalau dipasang pada tahap tinggi dan lama mungkin mencecah RM8. Memang saya akui, alat pendingin hawa ini menggunakan banyak kuasa elektrik. Bahkan semua alat jenis bermotor menggunakan banyak kuasa elektrik.” 5. Pengusaha Kelas Memasak, Dina Ahmad: “Kami guna alat pendingin hawa sejak tahun 2003. Berpengalaman menggunakannya sewaktu ia dipasang di bilik ibu. Kalau pasal bil elektrik, tinggi jugalah iaitu sekitara RM500 sebulan. Ini bukan kerana alat pendingin hawa sahaja. Mahal, sebab kami kerap gun ketuhar, maklumlah kami suka memasak dan mengadakan kelas memasak di rumah. Lagi pun, kami guna peti sejuk besar dan juga ada peti sejuk beku tersendiri. Menurut nasihat ibu dalam hal untuk menjimatkan tenaga elektrik, sewaktu pasang pendingin hawa, kami tutup semua pintu. Katanya, memasang langsir tebal juga perlu untuk memerangkap kesejukan.” 6. Penulis Buku Masakan, Tara Ahmad: “Satu lagi, dari segi warna langsir, elok menggunaan warna gelap kerana ia juga memerangkap kesejukan, kata ibu. Namun apa yang saya tahu daripada maklumat pakar, alat pendingin hawa elok dipasang berterusan, jika dibuka tutup dengan kerap ia tidak membantu dari segi penjimatan elektrik. Ini kerana alat itu menggunakan banyak tenaga setiap kali dipasang semula. Satu lagi, kalau kita mengekalkan penggunaan suhu di tahap kurang sejuk, ia banyak membantu dari segi penjimatan bil. Saya juga pernah mendengar mengenai alat pendingin baru jenis inverter yang jimat elektrik, tetapi alat ini memerlukan pemasangan saluran paip lain, tidak boleh menggunakan jenis saluran paip lama. Walaupun penukaran kepada jenis inverter mahal, saya percaya pada suatu masa nanti kita tidak boleh lari daripada bertukar kepadanya apabila pendingin hawa jenis lama tidak akan lagi dikeluarkan.”
Subscribe to:
Posts (Atom)