Ruangan: Sembang Santai…
Tajuk: Cara Betul
Mewujudkan Gaya Inggeris Kedesaan.
Tulisan: RASHIDAH IBRAHIM
Bertitik tolak daripada keinginan untuk bertemu dengan
pembaca dan beramah mesra dengan klien serta pencinta dunia hiasan dalaman,
seni bina dan landskap, maka majalah Anjung Seri menganjurkan satu program
baru, Perbincangan di Meja Bulat iaitu lebih kepada kegiatan sembang
santai yang berkisar mengenai topik berkaitan
tiga bidang berkenaan.
Program pertama berlangsung dengan lancar di Laman Kampung,
Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 8 Mei lalu. Perbincangan membabitkan 10 peserta, termasuk
Elyza Yong iaitu pengasas syarikat pengeluar fabrik untuk hiasan tingkap dan
upholsteri, Elyza’s Home. Kehadiran beliau memeriahkan majlis perbincangan yang
diadakan selama kira-kira sejam sebelum, makan tengah hari.
Dalam ulasannya Elyza berkata, rahsia untuk mewujudkan gaya
kedesaan Inggeris yang kemas dan menawan adalah dengan memilih kemasan dan
barang sesuai dengan tema berkenaan. Menurutnya, beliau amat berhati-hati dalam
menentukan pilihan fabrik dan perabot untuk digandingan secara suai padan, bagi
mengelakkan suasana berserabut.
Menjawab soalan Penolong Pengarang, Onlia Mohd Dom mengenai
kebanyakan penataan yang dilihat tidak sama dengan ruang contoh rekaan Elyza,
beliau menjawab; itu disebabkan mereka cenderung mencampur-adukkan unsur hiasan
yang tidak selari dengan tema berkenaan.
“Sesetengah mereka hanya menonjolkan langsir bergaya
Inggeris tetapi pemilihan perabot dan perhiasan lain tidak seiring. Perabot
jenis kayu yang sesuai ialah berwarna putih. Warna ini adalah selamat dan
serasi untuk semua jenis corak fabrik. Secara peribadi, saya akan memilih
perabot berwarna putih. Pilihan corak pula adalah pelbagai, namun jika corak
berbunga sarat tidak seharusnya ditonjolkan terlalu banyak, cukup pada langsir
atau pada fabrik upholsteri sahaja. Selebihnya digandingkan dengan corak ringan
seperti jalur, dam atau polos,” ujarnya sambil menunjukkan contoh gambar pada
katalog langsir keluaran Elyza’s Home.
Era penataan gaya Inggeris sekarang kata Elyza adalah tidak
terlalu sarat, kerana kebanyakan pengguna kini sudah beralih selera kepada gaya
yang lebih ringkas, tidak terlalu banyak ropolan dan corak. Maka itu, Elyza’s
Home turut mengeluarkan fabrik bercorak ringan yang sesuai juga dengan gaya
lain seperti urban dan sebagainya.
Peserta daripada rakan Facebook (FB) English Style
Decoration Group (ESDG), Intan Kamariah berkata, beliau mengenali beberapa
peminat fanatik gaya Inggeris yang menghias rumah dengan terlalu banyak
perhiasan.
“Misalnya sewaktu berkunjung ke Singapura, ada tiga rumah
yang menampilkan gaya sedemikian. Mereka menghias begitu daripada luar sehingga
ke dalam bilik tidur dan bilik air. Peliknya, rumah apartmen di sana tidak
berhabuk seperti di sini,” ujar Kamariah yang juga peminat gaya Inggeris.
Menurut Intan Kamariah, sebenarnya dia hanya menyukainya
sejak muda lagi tanpa mengetahui apakah
jenis gaya itu. Setelah menyertai kumpulan FB ESDG, barulah dia terdedah kepada
gaya penataan berkenaan, dan mendapati ramai yang sudah terkedepan dalam
penggayaan itu.
Ikuti lanjutan rencana ini dalam Anjunf Seri keluaran Jun 2012
Salah seorang peserta, Sam Raja Aziz bergambar bersama pengasas Elyza's Home, Elyza Yong.