Alamak dah terlalu lama pula tak upload sambungan novel,... Ini bab yang kesembilan. Bagi mereka yang nak tahu cerita sebelum ini, semak menggunakan tajuk sementara:
Lara Di Hati...(mengikut nombor bab). Tak ada mood pula nak letak sambungan, sebab ada pihak memberitahu bahawa masyarakat pembaca novel sekarang, tidak gemar pada cerita kehidupan serius membabitkan orang yang sudah berumur. Kononnya kalau nak diterima oleh penerbit buatlah cerita cinta cintun, orang muda. Hamm... macam mana ya nak tukar, sebab cerita ini berdasarkan kisah benar yang berlaku pada seorang insan..
Lara Di Hati...(mengikut nombor bab). Tak ada mood pula nak letak sambungan, sebab ada pihak memberitahu bahawa masyarakat pembaca novel sekarang, tidak gemar pada cerita kehidupan serius membabitkan orang yang sudah berumur. Kononnya kalau nak diterima oleh penerbit buatlah cerita cinta cintun, orang muda. Hamm... macam mana ya nak tukar, sebab cerita ini berdasarkan kisah benar yang berlaku pada seorang insan..
Bab 9 Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa
Manusia hanya boleh berharap dan berikhtiar tetapi Tuhan jua yang maha berkuasa dan menentukan segala-galanya.
Cuti
hujung minggu Alia, Shariman, Ariana dan Shabudin melonjak kegembiraan
dapat berkumpul bersama-sama. Mereka baru sahaja selesai mengemas bilik
masing- masing. Selepas makan malam, seisi keluarga menonton TV
bersama-sama di ruang tamu. Di luar, kedengaran petir diiringi tiupan
angin kencang, tanda hari akan hujan.
“Budin,
Ana, dah tutup tingkap bilik? Hari nak hujan bila-bila masa saja tu,”
laung Sharifah Ameera daripada biliknya. Tangannya memegang pen, sibuk
mencatat sesuatu untuk mengemas kini jadual perbelanjaan. Belum sempat
menghabiskan pengiraan, hujan turun dengan lebatnya. Bunyi air hujan
menimpa bumbung membingitkan telinga. Sudah sejam lebih, tidak juga
berhenti.
“Mak! Air tiris… kena katil ni.” Budin menjerit.
“Bilik Ana pun sama. Apa ni mak?”
Sharifah Ameera bergegas ke bilik mereka dan dilihatnya air semakin mencurah-curah turun daripada siling.
“Pergi
duduk di bilik mak, cepat ambil benda-benda penting. Beg sekolah tu,
ambil cepat, nanti kena air!” Sharifah Ameera memberi arahan. Sepantas
kilat Budin dan Ana berlari ke bilik ibunya. Terkejut mereka melihat
sebahagian siling roboh kerana tidak dapat menampung air yang berladung
di atasnya.
“Mak.. siling roboh!!! Nasib baik tak kena,” jerit Shabudin.
Sharifah Ameera terpempan. Dia mengucap panjang. Apa dah jadi? Belum
seminggu siling baru dipasang. Ini mesti pasang tak kuat, bisik hati
Sharifah Ameera.
Bagai
mahu tercabut nyawanya apabila dilanda musibah itu. Perkiraan Sharifah
Ameera memilih rumah sewa murah sebagai persediaan berjimat untuk hidup
sendiri, rupa-rupanya mengundang kesusahan. Kerosakan-kerosakan itu
tentunya perlu diperbaiki lagi. Dan pastinya banyak wang perlu
dikeluarkan.
“Bibi, ambil plastik kanvas di belakang, tutup tilam dan gulung karpet tu!” Sharifah Ameera memberi arahan kepada pembantunya sambil mengangkat apa sahaja barangan yang sempat dicapainya.
Dengan
segera Sameah meluru ke bahagian belakang dapur, mencari kanvas. “Di
mana pula letaknya?” Sameah menajamkan matanya. Kelihatan terselit di
celah kertas surat khabar, lalu dicapainya dan dia terus berlari ke
depan.
“Cepat-cepat
bentang di atas katil,” arah Sharifah Ameera. Budin yang masih kecil
itu cuba menolong, sehingga akhirnya kanvas itu terbentang elok
melindungi tilam. Sameah segera berlari ke ruang tamu, cuba menggulung
permaidani yang dipasang dari dinding ke dinding.
“Ibu, karpet ini nggak bisa dicabut?” Jerit Sameah.
“Yalah… tak boleh cabut, sudah digam. Biarkan. Pergi tengok Alia dalam bilik. Gerak kalau dia dah tidur!”
“Baik bu!” Bibi Sameah akur, lalu terus meluru ke bilik Alia yang sedang tidur lena.
“Alia bangun-bangun, atap depan dan bilik tengah bocor. Tolong selamatkan apa
yang patut.” Sameah melihat bilik Alia selamat daripada bocor. “Ibu,
bilik Alia tidak bocor. Bawa barang penting ke sini!” Laungnya sambil
kemudian berlari ke belakang untuk mengambil baldi bagi menadah air
hujan.
“Shariman, tolong Bibik… ambil kain ni, buat macam Bibik.
Shariman meniru perbuatan Sameah, menekap air dengan kain di atas permaidani dan memerahkannya ke dalam baldi.
“Kalau air dibiarkan bertakung, nanti rosak karpet ni,” ujar Sameah.
Sharifah Ameera pula ke hulu ke hilir memainkan peranannya menyelamatkan barangan pentingnya.
Sebentar
kemudian hujan reda, tetapi masih ada air yang menitis daripada siling.
Semua bergotong-royong membuat kerja mengeringkan permaidani.
“Hem bagus, anak-anak mak…. Shariman dan Budin pun tolong keringkan air…,” tegur Sharifah Ameera.
“Itulah mak, nak sangat duduk di rumah ni. Kalau duduk di rumah kita, tak mungkin jadi macam ni,” rungut Shariman.
“Shh!!!”
Sharifah Ameera memberi isyarat supaya anaknya diam. Tangannya memegang
telefon bimbit sambil menekan nombor telefon bimbit Syawal.
“Hello
abang, tolong datang, bumbung rumah bocorlah. Rumah kedai di Taman Desa
Mewah. Depan bengkel kereta Ang Eng. Habis semua basah ni, macam mana
nak buat ni, datanglah cepat!!!”
Tidak
sempat Syawal bertanya lebih lanjut, Sharifah Ameera yang panik sudah
meletakkan telefon. Syawal segera keluar daripada rumah menuju ke
keretanya lalu memandu ke arah kawasan yang diberitahu isterinya
sebentar tadi.
Hampir jam 11.00 malam, Syawal tiba di rumah Sharifah Ameera. Dia terkejut melihat keadaan rumah itu. Apa yang boleh dibuat pada malam-malam buta ni, aku bukannya tukang, fikir Syawal.
“Rumah macam ni Meera sewa? Tak macam rumah.” Terpacul ulasan itu sebaik naik ke unit kediaman berkenaan.
“Eh, Meera panggil abang bukan suruh komen fasal rumah ni. Tolonglah apa yang patut. Apa nak buat ni?” Jawab Sharifah Ameera.
“Hari
dah lewat malam. Nak cari siapa betulkan bumbung malam-malam ni,” balas
Syawal. Dia sekadar dapat membantu mengeringkan air bersama-sama
anak-anaknya sehingga ke jam 4.00 pagi. Berikutan kejadian itu, Syawal
berpeluang tidur bersama anak-anaknya dalam keadaan yang tidak menentu.
Pagi esoknya.
Sharifah
Ameera hampir menitiskan air mata melihat keadaan rumah barunya. Kayu
perabot diresapi air. Syawal menggeleng-gelengkan kepalanya. Itulah
degil sangat, tak ada penyakit, cari penyakit! Namun dia hanya berani
berkata-kata begitu di dalam hatinya. Syawal tidak sampai hati hendak
mengguriskan perasaan Sharifah Ameera lagi. Mahu saja dia membawa isteri
dan anak-anaknya balik, tetapi dia pasti Sharifah Ameera enggan
mengikut.
“Abang
rasa, lebih baik Meera panggil tukang yang sama, suruh dia betulkan
semula apa yang rosak ni,” Syawal mencadangkan kepada isterinya.
“Yalah, saya pun berfikiran begitu juga,” jawab Sharifah Ameera.
“Minta nombor telefon dia, biar abang pergi cari.”
“Ya,
baik juga abang pergi, bawa dia ke sini segera. Kalau tak ambil, nanti
lambat pula atau mungkin dia tak datang terus,” jawab Sharifah Ameera
sambil memberi nombor telefon tukang berkenaan kepada Syawal.
“Siapa nak ikut ayah.” Syawal mempelawa.
Semua diam. Tak berani tinggalkan emak mereka yang dalam kesusahan.
“Baiklah, ayah pergi dulu,” kata Syawal sambil berlalu pergi. Dia datang semula sebelum tengah hari bersama tukang.
Kerja membaiki bumbung dan memasang semula siling mengambil masa tiga
hari. Hasil pemantauan Syawal, banyak yang diperbaiki sehingga kediaman
berkenaan kelihatan lebih sempurna daripada sebelumnya.