Hari ini terpanggil untuk menyertai kursus penulisan novel, kelolaan penulis novel prolifik, Kusyi Hirdan. Beliau yang juga bekas rakan sepejabat saya dengan humblenya mendedahkan teknik penulisan novel cara Kusyi Hirdan. Kursus sehari itu disertai lima orang, termasuk dua editor perolehan dari syarikat penerbitan terkemuka, PTS.
"Saya tak tahu cara orang lain, tetapi yang akan saya terangkan ini adalah cara saya. Lain orang, lain caranya... saya kalau tulis novel, mesti ikut jadual," katanya yang begitu mementingkan disiplin dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang penulis.
"Kalau kita nak jadi penulis novel, kita kenalah bermula dengan menulis. Kalau asyik sebut di mulut saja nak tulis novel tetapi tidak memulakannya, sampai bila-bila pun novel yang kita angan-angankan tu tak akan menjadi." Begitulah lebih kurang kata-kata Kusyi sewaktu memulakan kuliahnya. Kusyi mengakui di peringkat awal dulu, beliau mengikuti banyak kursus penulisan novel.
"Kalau kita belum menulis novel dan tidak tahu bagaimana caranya, kenalah belajar... ikutilah seberapa banyak kursus, lebih banyak lebih baik," katanya sambil memberitahu beliau pernah mengikut kursus yang dihadiri oleh penulis yang hebat-hebat.
"Mereka yang hebat itu pun masih lagi menyertai kursus, apatah lagi kita yang baru nak belajar," katanya. Banyak tips yang diberi, paling menarik tips untuk menyelesaikan penulisan novel dalam masa hanya dua minggu!
Walaupun Kusyi jauh lebih muda, tetapi saya tidak pula berasa janggal untuk menimba ilmu daripadanya, apatah lagi sudah banyak judul bukunya diterima dan dibeli oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).