Bergaduh dan berbaik semula.
Itulah uniknya hati manusia.
Ada orang berkata, "saya kalau dah sakit hati dan bergaduh dengan seseorang, akan ingat sampai bila-bila. Sampai mati saya tak akan tegur dan tak akan percaya kepada dia lagi.."
Bukan nak mengata fasal orang lain, ini saya bercakap fasal diri sendiri. Saya pun pernah meluahkan kata-kata begitu. Anehnya, pada suatu masa berbaik semula seperti tiada apa yang pernah berlaku, walaupun ada kes tidak bertegur sapa makan bertahun. Kira-kira dengan jari, sepanjang hidup ini... adalah juga tiga empat kes pernah dialami. Namun percayalah, walaupun mengaggap kawan itu bersalah, selama tidak bertegur sapa, jauh di sudut hati sentiasa terkilan dan menyesal sangat (ini kerana saya tahu sebagai muslim, berdosa besar kalau memutuskan persahabatan selama tiga hari dan sebenarnya saya tidak mahu perkara itu berlaku).
Sesungguhnya untuk meluahkan kata-kata maaf atau minta maaf itu sangat sukar. Tidak tahu kenapa. Mungkin kerana kita berasa diri kita sahaja yang betul atau sangat ego, maka kita akan berkata - buat apa mengalah. Tapi ada orang, senang sahaja meluahkan kata-kata mohon maaf dan memberi maaf. Dan perkara yang paling membahagiakan saya ialah apabila dapat bertegur sapa dan menghubung semula silatulrahim.
Bagaimanapun, bab untuk berbaik semula - untuk melupakan segala sengketa dan menerima semula seseorang dengan ikhlas, tengok juga kepada keadaan kawan itu... Melihat gerak-geri dan tutur kata saja, kita boleh dapat mengagak sama ada kita boleh menerimanya semula tanpa sebarang syak wasangka, atau kita perlu berwaspada. Kerana kita sedia maklum di pentas sandiwara dunia ini, ada orang yang menunjuk baik di depan mata, tetapi memijak dan menikam kita di belakang... kerana itulah kita harus berjaga-jaga... jangan sampai diri kita menjadi mangsa dianiaya.
Ingatlah, sekali kita ditindas dengan cara licik dan dilemparkan segala buruk sangka, memang susah untuk melepaskan daripada sumpahan berbisa orang atau pihak yang percaya kepada taburan fitnah orang itu.
Apa pun yang berlaku, kesabaran itu adalah penawarnya. Jika kita bersabar tanpa melakukan sesuatu tindakan, percayalah Yang Berkuasa akan mengutuskan seseorang untuk menjernihkan suasana. Atau Dia akan menurunkan sesuatu kepada pihak yang menzalimi kita dalam apa jua cara atau keadaan yang kadang-kadang tidak nampak pada mata kasar kita.
Itulah lumrah hidup manusia....
Nota: Yang perlu kita ingat (malangnya selalu juga kita/saya alpa) bahawasanya dalam kehidupan kita, Dia sentiasa memerhati setiap gerak-geri kita dari atas sana...