Peristiwa: Sewaktu membuat liputan kes bunuh di mahkamah tinggi
Waktu: Akhir 80-an atau awal 90-an ( kurang ingat tarikhnya).
Terima kasih tuan! demikian kata seorang anak muda, Satwan Singh apabila dijatuhkan hukuman mati oleh hakim selepas didapati bersalah membunuh kawannya dalam satu perbicaraan kes bunuh.
Satwan Singh memang seorang yang pelik. Di saat-saat akhir perbicaraan dia memberitahu seorang anggota polis, `kalau saya dijatuhkan hukuman mati, saya nak ucapkan terima kasih kepada hakim.'
Ditakdirkan Satwan Singh didapati bersalah dan sebaik sahaja selepas hakim membacakan hukuman, memang benar dia mengucapkan terima kasih. Lebih menarik lagi, perbicaraannya berlangsung dua kali. Kali pertama, hakim mendapati berlaku kesilapan dalam perbicaraan, lalu diarah diadakan ulang bicara. Sementara itu, Satwan Singh resah menunggu keputusan. Dia terpaksa berulang alik ke mahkamah sekali lagi untuk menghadapi perbicaraan.
Kes Satwan Singh memang pelik. Cinta tiga segi membabitkan tiga anak muda lelaki termasuk Satwan Singh membawa kepada satu pembunuhan. Menurut perbicaraan, perasaan cemburu menyebabkan Satwan mengambil keputusan menghapuskan riwayat mangsa dengan memotong kepala. Kepala mangsa dimasukkan ke dalam beg dan dibawa untuk ditunjukkan kepada seorang lagi rakan. Sewaktu kejadian, Satwan juga terbabit dengan kegiatan `menurun' dan dia juga mendakwa jiwanya sering diganggu oleh sesuatu kuasa misteri.
Satwan memang menunggu-nunggu keputusan bersalah. Walaupun usianya masih muda, belum sampai 30 tahun, dia seakan tidak ingin hidup lagi. Dia mendakwa dirinya sentiasa dalam keadaan tertekan dan sakit disebabkan oleh satu kuasa asing. Dan dia juga seorang garang. Pernah suatu hari, dia menjerit ke arah sama ada peguam atau pendakwa yang meninggikan suara terhadap bapanya ketika perbicaraan. Kami yang duduk di meja wartawan, berdebar juga apabila Satwan hampir melompat daripandang kandang kerana marah. Perbicaraan mendapati dia melakukan kesalahan membunuh dalam keadaan sedar dan keputusan bersalah mengakhiri kesnya.