Friday, June 17, 2011

Lara di Hati Bab 8

Sambungan Lara di Hati

Bab 8 -

Kilat dalam kilau kabus mengandungi hujan - Tutur kata dan tingkah laku seseorang mempunyai maksud yang tersembunyi di dalam hatinya.

Di tengah-tengah malam yang sunyi itu, tiba-tiba telefon bimbit Sharifah Ameera berbunyi, lantas dicapainya dan dituangkan ke corong telinganya.

“Helo sayang, dah tidurkah… malam masih muda tau?” Suara itu diikuti ketawa lembut.

Sharifah Ameera terkejut. Dia kenal benar dengan suara itu. Inspektor Azmi. Selepas mandi malam, Sharifah Ameera mengenakan baju tidur nipis. Dia baru sahaja ingin menghempaskan tubuhnya ke atas tilam empuk, tiba-tiba panggilan Inspektor Azmi pula mengganggu. Penat memandu mengambil Alia di asrama siang tadi, belum hilang.

“Helo, Azmi. Apa ni…. telefon malam-malam. Berani lagi telefon? Kalau dia tahu nanti macam mana?” Sharifah Ameera merujuk kepada isteri Inspektor Azmi sambil terbayangkan wajah garang wanita berpangkat ASP itu.

“Dia… sejak waktu maghrib tadi dah keluar, sampai sekarang belum balik-balik. Jangan bimbang, dia tak ada,” kata Inspektor Azmi. Lelaki berusia lingkungan 40-an itu sunyi ditinggalkan isteri pada malam itu.

“Kenapa tak keluar?” soal Sharifah Ameera.

“Taklah… sebab tak ada teman. Duduk seorang-seorang ni, saya terkenangkan Meera. Apa boleh buat.... nak jumpa, nanti suami Meera marah. Almaklumlah buah hati isteri orang!”

“Oh, isteri tak ada di rumah beranilah ya? Kalau di depan, pijak semut tak mati.” Bidas Sharifah Ameera.

“Heh, mana boleh, pijak semut mestilah mati! Tak percaya, bawakan semut ke sini, biar saja pijak, nak tengok mati tak?” InspektorAzmi berseloroh sambil ketawa mengekek, menghiburkan hati Sharifah Ameera yang sedang rawan. Sifat romantik dan mesra Inspektor Azmi membuatkan Sharifah Ameera terpaut. Sharifah Ameera teringat peristiwa yang tidak pernah diduga akan berlaku dalam hidupnya. Dia kasihan dan geli hati melihat Inspektor Azmi membuat pengakuan tidak akan mengulangi perbuatan miangnya di hadapan isterinya dan Syawal, suaminya.

Gara-gara cemburu terhadap isterinya yang diketahui pernah keluar dengan Inspektor Azmi, Syawal mengirim surat aduan kepada ASP Bahiyah. Apa lagi, mengamuklah isteri Inspektor Azmi sehingga mereka terpaksa mengadakan pertemuan empat mata untuk menyelesaikan masalah syak wasangka.

Bahkan Sharifah Ameera sendiri turut dipaksa membuat pengakuan serupa. Betapa dia berasa dirinya bodoh ketika itu. Saat mencemaskan sewaktu dia dan ASP Bahiyah kena bersalam dan bermaafan. Walaupun bibir Bahiyah mengukir senyuman, tetapi daripada air mukanya, jelas membayangkan dia masih marahkan Sharifah Ameera.

“Apa-apa pun, kami hanya berkawan biasa, saya anggap Inspektor Azmi tak lebih daripada seorang pelanggan, jangan risaulah, Sharifah Ameera sempat berbisik pada ASP Bahiyah, sebelum mereka berpisah selepas perundingan hari itu.

“Helo Meera… dengar tak, senyap saja?” Inspektor Azmi menyoal, apabila Sharifah Ameera lama terdiam.

“Helo, adalah ni, I dengar!” jawab Sharifah Ameera kaget.

“Hemm… sebenarnya I telefon nak tanya, Alia dah habis exam?”

“Dah, I baru balik ambil dia di asrama siang tadi.”

Pergi dengan siapa?”

“Seoranglah, dengan siapa lagi?”

“Oh, dah berani memandu seorang?”

“Terpaksalah. Memandu di luar KL bolehlah… bukannya banyak kereta di jalan macam di KL ni,” jawab Sharifah Ameera.

“ Hari itu minta I temankan memandu di sekitar KL. Ahad ini I free, Bahiyah pun tak ada, dia akan ke Singapura sampai Rabu depan,” ujar Inspektor Azmi

“Yakah? Kalau macam tu bolehlah Ahad ni. Tapi ingat, cuma teman tunjuk jalan, jangan nak ajak ke tempat lain pula. Nanti I ajak Alia sekali. Biar dia pun tahu jalan-jalan di KL,” jawab Sharifah Ameera.
“Hemm, okeylah. Good night,” kata Azmi, menamatkan perbualan.

Sharifah Ameera seronok dihubungi Inspektor Azmi. Terasa masih ada orang yang prihatin terhadap nasibnya. Dipandang ke sekeliling bilik. Masih hambar dan asing. Kini ia bukan lagi bilik yang selama ini dihuni bersama Syawal. Keadaan rumah sewanya itu jauh berbeza dengan rumah lamanya. Dinding usang yang sudah dicat baru kosong tanpa sebarang hiasan. Dia teringat bilik di rumah lama. Pada dinding, berhias gambarnya bersama Syawal. Gambar itu mempamerkan mereka berdakapan dalam pakaian pengantin yang menghangatkan perasaannya setiap kali ditatap. Namun bagi Syawal, gambar itu hanyalah sekeping kertas yang tiada membawa apa-apa makna. Semakin hari, semakin hilang nafsu batinnya. Sharifah Ameera cuak. Cuak dengan perubahan suaminya.

Apa pun, perasaan cintanya terhadap Syawal masih berbaki, tetapi dia cuba melupakan lelaki yang pernah bertakhta di hatinya itu. Gambar kenangan mereka bersama, disimpan dalam kotak di bawa katil. Sebolehnya dia tidak mahu lagi melihat unsur-unsur yang mengembalikan ingatannya terhadap Syawal.

Sharifah Ameera menguap panjang. Malam sudah semakin larut. Dia cuba memejam matanya rapat-rapat. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berlagu. His, apa lagilah Si Azmi ni, Meera merungut di dalam hatinya. Di sangkanya itulah adalah Inspektor Azmi.

“Helo…apa lagi?”

“Helo, dah tidur ke?”

Terkejut Sharifah Ameera, nasib baik aku tidak sempat menyebut nama Azmi, bisik hatinya. Rupa-rupanya, panggilan daripada Syawal.

“Oh abang… la, buat apa ganggu malam-malam ni. Orang nak tidur laa…”

“Eh, lama abang cuba call tadi. Kenapa asyik, asyik engggaged? Cakap dengan siapa lama sangat. Dengan dia lagi?”

“Ah abang ni, suka hati Meeralah. Nak jealous lagi ke? Kan abang dah bagi kebenaran kepada Meera untuk keluar rumah.”

“Eh eh…eh.. bukan abang ya, Meera yang nak keluar sangat. Hemm… Meera masih berhubung dengan setan tu ya? Haa… ingat, Meera masih isteri abang. Abang cuma bagi kebenaran untuk duduk berasingan…bukan bermakna Meera sudah bebas. Kita masih ada peluang untuk hidup bersama!”

Sharifah Ameera diam membisu seribu bahasa. Hilang kata-kata.

“Helo. Helo Meera.”

“Helo.”

“Dengar tak apa yang abang kata ni?” Syawal bertegas.

“Dengar.” Sharifah Ameera menjawab dalam nada tenggelam.

“Ingat, abang tak pernah buang Meera. Meera yang sampai hati bawa semua anak-anak pergi. Nak suruh abang duduk di sini dengan hantu?” Suara Syawal berubah lembut. Dia cuba menagih simpati. Syawal bukanlah seorang yang suka bercakap meninggikan suara. Setiap masa, tenang sahaja tutur katanya tetapi sayang, dia tidak berapa pandai memujuk dan mengambil hati.

Sharifah Ameera terpempan mendengar ungkitan Syawal, si buah hati pengarang jantungnya selama 10 tahun yang lalu. Suara itulah yang menghiburkan hatinya selama ini tetapi sekarang tidak lagi. Kini dia rimas, setiap kali mendengar nama atau melihat wajah Syawal, akan menjelma wajah ibu mertuanya yang garang. Sharifah Ameera tidak suka dengan keadaan begitu. Ini gara-gara ibu kesayangan Syawal semakin kuat menyucuk jarum berbisa, mengganggu kehidupan mereka, asyik menuang minyak ke dalam api. Kemarahan Sharifah Ameera sudah sampai ke tahap maksiumum.

“Helo abang… Tolonglah faham. Meera tahu, tapi abang memang… memang tak akan dapat memahami perasaan Meera, tapi cubalah…” Meera kehilangan kata-kata.

“Alaah… tak payah cakap banyak-banyak lagi. Meera baliklah. Bawa semua anak-anak kita balik.” Syawal cuba melembutkan hati isterinya.

“Tak mau. Abang tak faham hati Meera!”

“Meera, keselamatan Meera dan anak-anak di bawah tanggung jawab abang, baliklah,” Syawal mendesak.

Sharifah Ameera tertekan. Sebolehnya dia tidak mahu mengikut kata-kata Syawal.

“Abang datang ya?”

“Jangan!” Kalau abang kerap datang, nanti mak tahu pula di mana Meera tinggal. Dahlah abang, jangan kacau Meera lagi!”

“Percayalah, abang tak akan beritahu mak.”

“Meera tak percaya, nanti silap-silap abang yang bawa dia ke sini.” Balas Sharifah Ameera. Tanpa belas kasihan, dia menamatkan perbualan telefon bersama Syawal.