Thursday, March 25, 2010

Kisah anak -anak muda sekarang.



Macam nilah dia tunjuk muka kalau dia buat sesuatu yang emak dia tak suka...




Jat main suka-suka je... sementara belum kerja... kata dia... tetapi sesekali pula dia berangan... "Mama... Jatt nak buka studio jamminglah. Sambil kerja sambil buat bisnes sewa studio," katanya.



Minggu lepas, turut bersedih di atas pemergian ke rahmatullah anak bongsu bekas kawan sepejabat dan sekuliah, Datuk Manja. Arwah dilapor terkorban dalam satu kemalangan sewaktu pulang daripada bermain futsal, lepas jam 12 malam. Tak tahu apa berlaku menyebabkan dia tercampak keluar daripada kereta sewaktu memandu di kawasan perumahan. Saya dapat bayangkan perasaan ibu bapa yang kehilangan anak dalam usia muda. Ketika itu arwah baru sahaja dapat keputusan SPM.

Beberapa tahun lalu, anak salah seorang saudara suami, juga terkorban dalam nahas jalan raya di Melawati. Dari dua, kini tinggal seorang sahaja anak mereka. Menurut ibunya, sebelum kejadian berlaku sedikit pertengkaran apabila dia menghalang anaknya keluar malam. Apabila ibu dan bapa dah tidur, anak itu mengambil kunci kereta lalu keluar diam-diam. Mereka dikejutkan oleh panggilan telefon yang memaklumkan mengenai kemalangan anak berkenaan. Dalam lingkungan usia sama.

Teringat pula ketika mendapat berita kemalangan anak lelaki sulung lebih lima tahun lalu. Saya dan suami dalam perjalanan pulang dari menghadiri majlis rumah terbuka. Izzat pada hari itu sepatutnya dalam perjalanan pulang dari kampusnya di Perak. Saya terusnya menghubunginya. Dah sampai ke mana agaknya dia.

"Hello..."

"Hello" Jawab satu suara.. bukan Izzat. Belum sempat terfikir apa-apa suara itu memberitahu: "Izzat kemalangan jalan raya." Saya blurr tetapi tenang. Namun di dalam hati macam-macam yang saya fikirkan.

Sehelai pinggang, kami terus ke Perak.... sebentar kemudian, dapat pula panggilan telefon daripada Hospital Slim River memberitahu Izzat sudah dibawah ke hospital Ipoh. Khabarnya dia sudah sampai ke Rawang sewaktu kemalangan berlaku. Mereka menaiki motor secara konvoi. Itulah kali pertama Izzat tunggang motor jarak jauh. Motor baru saja dibeli. Sebelum itu, kami mempelawa untuk mengambilnya tetapi dia menolak. Nak cuba naik motornya, katanya. Sungguht terkilan. Dia dirempu lori tangki minyak!

Sudah sampai di Rawang tetapi kenapa dibawa ke Ipoh? Rupa-rupanya, sewaktu kemalangan - apabila kawan-kawan dia tahan kereta untuk minta bantuan tak ada kereta menghala ke KL berhenti. Sebaliknya kereta di sebelah sana jalan, yang menghala ke utara pula berhenti.

Seminggu dia terlantar di hospital, tidak dapat bangun. Motosikal yang dirempuh jadi seperti huruf V. Tetapi Izzat tak dapat satu luka luaran pun. Terpaksa dibawa ke Hospital Besar Ipoh untuk periksa kecederaan dalaman.

"Anak encik bernasib baik.. kecederaan tidak sampai ke saraf tulang belakang yang boleh menyebabkan dia lumpuh," kata doktor yang memeriksanya di ICU. Alhamdulillah. bisik hati saya.

Hari kedua di hospital, dalam keadaan terbaring tak dapat bangun, Izzat bersuara. Bukan saja buat saya terkejut tetapi marah.. dan ucu pun ada. Mula-mula dia kutuk orang yang melanggarnya dan kemudian berkata: "Mama... belikan Izzat motor besar... Kalau motor Izzat besar, tak mungkin jadi macam ni... orang tak berani langgar..."

Adui ingatkan dia serik, rupa-rupanya nak yang lagi besar... Kalau dah namanya budak...budak jugaklah. Saya tarik muka masam.

"Tak payah dah nak bermotor-motor!" Kata saya sambil berazam untuk mengharamkannya naik motor. Selepas kejadian itu, kami membelikannya kereta 2nd hand untuk dia berulang alik ke kampus.

Mengenang kemalangan itu, memang teruk jugalah. Tetapi umur Izzat panjang. Sewaktu di mahkamah, seorang polis menyifatkan Izzat `budak mati hidup semula'. Maksudnya - melihatkan keadaan kemalangan, orang tak kata dia boleh hidup.

Dalam keadaan sihat tubuh badan, Izzat masih berperangai seperti budak-budak muda lain.. suka keluar malam. Pantang hujung minggu, pulang semata-mata nak pergi jamming dengan kawan-kawan di KL. Pada malam kemalangan menimpa anak Datuk Manja, Izzat juga ditimpa nasib tidak baik. Lepas jamming di Wangsa Maju dia dan kawannya ke KLCC untuk berjumpa bekas kawan2 sekuliah yang turun dari Penang. Mereka masuk ke satu restoran, ketika itulah keretanya dipecah orang. Habis semua barang-barang gitar dan gajetnya dicuri. Dengan barang-barang kawannya sekali hilang.

Pagi-pagi sewaktu saya masuk ke bilik air, saya terdengar suara dia memanggil.... ngok-ngek, ngok-ngek bercakap kat luar.

"Apa ni... mama tak dengarlah," marah saya sebaik keluar dari bilik air. Dia pun berceritalah dalam keadaan muka yang hampa. Terdiam saya mendengarnya.. tak tahu nak marah atau suka... nak juga kata dalam hati... padanlah muka tak dengar mama cakap, jangan keluar malam, jangan keluar malam. Ke hulu ke hilir bawa barang2 yang dekat berpuluh ribu ringgit... orang mengintai dan mark kereta..."

"Dua bulan lagi nak exam...tahun ni tahun akhir.. dah tak payah main-main gitar lagi," kata saya. Tambah berang dan tak terkata apa... bila dia jawab... Eissh mana boleh, nanti Izzat nak beli yang lain.. Izzat nak juga... Izzat tak kira.."