Monday, November 23, 2009

Perihal Irfan Kamil...

Irfan Kamil bercita-cita nak masuk sekolah tahfiz sains.
"Kamil nak belajar quran dan nak juga belajar sains tekonologi macam abang. Kalau jadi doktor, nanti gelaran Kamil... Dr Irfan Kamil Al Hafiz, kalau jadi juruterbang... orang panggil Kamil, Kapten Irfan Kamil Al Hafiz." Saya tersenyum sendiri mendengar ayat angan-angan Kamil, sewaktu duduk mengadap komputer main game. Waktu kanak-kanak, suka-suka hati saja berangan, tak tahu bukan senang nak ke arah itu. Kalau asyik main game, macam mana? Bisik hati saya...



MINGGU lepas dan minggu ini sibuk sikit. Tension memikirkan ke mana nak hantar Irfan Kamil sambung pelajaran. Hantar permohonan ke sana sini. Baru nak naik tingkatan satu. Itu pun dah pening.

Hajat di hati nak masukkan dia ke sekolah agama tahfiz tetapi nakkan tahfiz sains. Biarlah kedua-dua ilmu ada. Masalahnya tak banyak sekolah agama tahfiz sains. Tapi saya lupa, tingkatan satu mana ada aliran sains , sastera, akaun dan sebagainya lagi. Baik sekolah sains, MRSM atau sekolah biasa, sewaktu tingkatan satu hingga tiga, belajar subjek hampir sama, melainkan sekolah agama penuh dan tahfiz.

Kenapa saya nak sangat pilih sekolah agama atau tahfiz, sebabnya dah tak percaya dengan sekolah menengah biasa dan sekolah berasrama penuh bukan agama. Terutama bagi budak lelaki. Anak yang baik di rumah, apabila masuk asrama mudah terpengaruh. Hisap rokok, panjat siling, lompat pagar, perkara lumrah. Ini berdasarkan cerita dan pengalaman si abang, Irfan Izzat (yang belajar di MRSM), sepupu dia dan beberapa lagi kisah pelajar lain yang pernah saya dengar. Sekolah agama sekali pun, silap-silap boleh juga terpengaruh dengan gejala ini.

Syukur dan seribu rahmat bagi yang berjaya mengelakkan diri daripada semua kegiatan tidak baik itu.

Atas alasan di atas, saya sebenarnya serik dah nak hantar anak ke sekolah berasrama penuh (bukan agama) dan MRSM.

Peri hal Irfan Kamil - walaupun sikit-sikit mengharap, sebenarnya tak agak pun dia boleh dapat 5A. Tak membaca, asyik main game. Sebelum exam (pada musim H1H1) , dia demam. Melepek tak makan hingga kurus kering, tinggal tulang. Hampir dua minggu tak pergi sekolah. Seminggu sebelum exam baru sembuh, dan dapat sambung tuisyen.

Paling senak perut, apabila di asyik beri tumpuan pada pelajaran sekolah agama. Waktu exam UPSR dan PSRA pula selang seminggu sahaja. Gila bisik hati saya.. macam mana nak bahagikan masa. Guru sekolah agama pula, lebih kuat mempengaruhi mindanya. Sewaktu tuisyen UPSR giat diadakan, tuisyen untuk PSRA juga sama kuatnya. Bila bertindih waktu, Kamil pilih tuisyen sekolah agama. Risau betul saya. Sedangkan UPSR pun penting. Saya bingung dan tawakkal saja bagi pihak Kamil.

Apabila keputusan keluar, Alhamdulillah kedua-duanya seimbang dan membolehkan dia memohon ke sekolah agama, aliran agama atau tahfiz kategori atas.

"Keputusan Kamil (4A 1B) ni tak ada masalah. PSRA nya baik. Ada budak dapat cemerlang PSRA tapi UPSR 2A saja. Susahlah sikit. Kamil seimbang, lagi pun dia lelaki.. peratus syarat untuk masuk lebih rendah daripada perempuan," ujar guru besar sekolah agamanya.

Mendengarkan kata-kata guru besar itu, lega sikit hati saya. Apa-apa pun saya tadah tangan, syukur dan memohon yang terbaik daripada yang Maha Esa.