Monday, August 15, 2011

Percutian di Krabi, Thailand.


Indahnya alam....Pemandangan di antara dua gua, warna biru kehijauan ini sentiasa tersemat di ingatan. Gambar ini diambil ketika lawatan ke pulau Phi Phi pada hari kedua.


Sebaik tiba di stesen bas Transnasional di Hatnyai, kami menaiki tut tut untuk ke stesen bas utama di mana kami seterusnya menaiki van untuk ke Ao Nang, Krabi.



.




"Krabi? Kat mana tu?"

Demikian reaksi saya pertama kali mendengar nama itu yang sedang diperkatakan oleh rakan-rakan sepejabat. Mereka sedang memilih tempat untuk pergi bercuti dengan membuat tempahan perjalanan bersama pesawat AirAsia yang sedang mengadakan tawaran tambang murah.
"Kat Thailand ke?" Saya meneka mengikut gerak hati dan mereka mengangguk. Betul pula tekaan saya itu.

Lucunya, saya memang agak ketinggalan dalam hal tempat-tempat melancong. Selama ini memang tidak berminat untuk menghabiskan wang dengan cara itu. Walaupun teringin, hati saya kuat menyatakan kalau pergi dengan wang sendiri, `tak payahlah... membazir saja!' Selama ini, saya hanya menunggu peluang untuk pergi secara percuma, atas urusan pejabat. Selama ini pun banyak jugat tempat di negara Asia yang saya sudah sampai melalui perjalanan yang ditaja.

Entah kenapa pada hari itu, hati saya menggeletek untuk ke luar negara dengan wang sendiri tetapi bila mengambil kira perbelanjaan untuk pergi bersama seorang anak dengan pesawat AirAsia, saya bersungut `banyak juga habis duitnya.' Akhirnya saya tak jadi membuat tempahan. Namun nasib berpihak kepada saya, apabila kawan baik saya, Zurin mengajak pergi.

"Kak, saya dah tengok (gambar kat internent).... Krabi, cantiiiikkkkk kak... saya nak pergilah! Akak nak ikut?" Zurin, kaki bag packer menyoal.
"Dengan AirAsia?" Saya menyoal.
"Tak nak dengan Air Asia, lambat sangat... saya nak pergi dalam masa terdekat," ujar Zurin.
"Bila?" Saya menyoal lagi.
"Bulan depan. Saya nak naik bas, murah saja," jawab Zurin lagi.
"Bulan depan? Cepatnya!" Saya terkejut. "Berapa?"
"Untuk seorang perjalanan pergi balik, seratus lebih saja.. hotel kita tempat yang harga patut," tambahnya.

Dipendekkan cerita rancangan kami akhirnya menjadi kenyataan. Rancangan untuk pergi bertiga akhirnya menjadi bertujuh. Semuanya berminat untuk pergi di saat akhir, kerana percaya kepada Zurin selaku ketua.

Percutian selama lima hari bermula Selasa malam. Bertolak dengan bas Transnasional dari Puduraya ke Hatnyai, sekitar jam 10 malam. Sampai di stesen bas Hatnyai jam 6 pagi.
Perjalanan dengan van dari stesen bas Hatnyai ke Ao Nang, mengambil masa kira-kira tiga jam. Van bekenaan menurunkan kami di satu pejabat yang menyediakan kaunter tempahan kegiatan island hopping. Pandai betul, dia sengaja meninggalkan kami di situ - kira-kira 30 minit lagi perjalanan ke kawasan pantai - supaya berpeluang bertanya mengenai tempahan kegiatan melawat pulau.

Sudah tentulah kami bertanya mengenai harga dan sebagainya di situ dan akhirnya mengambil keputusan membayar keseluruhan wang untuk tempahan perjalanan melawat pulau untuk dua hari. Hari pertama kegiatan island hopping dan kedua, lawatan ke pulau Phi phi. Setiap seorang perlu membayar lebih RM100 untuk dua hari lawatan di pulau dengan menaiki bot laju. Pelanggan boleh memilih sama ada ingin menaiki bot laju atau bot ekor panjang (long tail boat). Sejurus selesai tawar menawar dan membayar, van tadi muncul semula dan datang mengambil kami untuk menghantar ke kawasan pantai, destinasi sebenar kami.


Destinasi kegiatan melawat pulau (island hopping) yang pertama di Tup island. Laut biru kehijauan luas terbentang, pasir halus memutih....

Di Tup island kami terperangkap sejam dalam hujan, ketika inilah kebimbangan melanda ... berdiri dalam sebuah pondok kecil beramai-ramai sambil menunggu hujan berhenti, teringat peristiwa Tsunami... "Bagaimana kalau ombak besar melanda dan menenggelamkan kami di pulau yang amat kecil ini? Oh Tuhan selamatkanlah kami! Apakah yang saya buat di sini," bisik hati kecil saya. Ketika itu, saya pasrah. Mujurlah kira-kira 30 minit kemudian hujan berhenti dan kami sambung dengan sesi bergambar.

My dotter ni, dia saja asyik nak bergambar... bagi chanlah kepada dia....

Yana, di tepian pantai, di sebelah long tail boat.

Di Phranang. Saya suka bangat dengan pemandangan di sisi gua dalam laut ini.... huuhhh!

Cuba nak ambil gambar ombak membelah pantai....

Zurin, saya dan Dila dengan gelagat masing-masing... keletihan...

Yana lagi berposing di celah akar berserayut di tepi gua... tempat ini sesuai dijadikan lokasi penggambaran cerita seram.

Yana bergambar dekat papan kenyataan di tepi gua pulau Phranang..

Itulah nama-nama tempat yang kami lawati, pada papan tanda arah tu...

Di depan chalet, di Phranang beach.


Yana dengan Mad, pemandu pelancong kami selama dua hari - island hopping di pantai Ao Nang, Krabi. Mad ni sangat nakal ... dia menggelar saya `amak' (emak) ! "Call me Mad," katanya yang mengakui beragama Islam, memang pun dia Islam ... nama penuh dia, Mohamad.

Dalam bot, bersiap sedia dengan jaket keselamatan untuk pergi snorkeling...

Ini trip keesokan harinya.... ke Phi Phi island.. perjalanan bot melalui celah gua, pemandangannya waduhh.. sungguh mengasyikkan! Rujuk gambar paling atas..

Ketua bag packer kami, Zurin.. kelihatan tegas orangnya tetapi bila terlambung-lambung dalam bot laju yang meredah badai, tiba-tiba dia berbisik, "Kak.... saya takut!!!"


Hmmm akhirnya sampailah ke destinasi, snorkeling... Yana ni yang paling terer... pergi ke tengah laut, yang lain bermain di tepi bot saja.. Yana siap bawa roti dalam botol berair, untuk dituang dalam laut, bagi menarik perhatian ikan-ikan...

Ini hanya sebahagian kecil gambar dari album `Sepanjang Jalan Kenangan' saya di Ao Nang, Krabi... kalau ada masa sambung lagi cerita...