Thursday, February 17, 2011

Lara Di Hati Bab 1

Assalamualaiku, kawan-kawan maya semua,
Saya teringin nak tulis novel... Dah selesai pun tulisnya... tetapi rasa macam hampeh... Di bawah ni Bab 1. Tajuk tu tentative je... Komenlah sikit.. dengan ikhlas ya ... dah tahu dah... antara komen yang akan diberi 1. kaku, 2. tak kreatif, 3. apa ni? ayat laporan saja! Nak buat macam mana, dah dipengaruhi oleh kerjaya kewartawanan... Apa-apa pun, kalau nak layan, layan sajelah.. Zaasssss.....


Bab 1 Keluarlah menjeruk hati, bermula dengan rajuk di hati
“Apa?” Terkejut Rita Nadia mendengar hasrat Sharifah Ameera. Pengakuan rakannya itu membuatkan dia benar-benar kaget. “Cuba ulang sekali lagi?”
“Ya, memang itulah yang aku fikirkan sekarang ini. Kenapa, tidak percaya?” Soal Sharifah Ameera. Dia cuba meyakinkan rakannya, Rita Nadia mengenai hasrat hatinya itu.
“Betulkah apa yang aku dengar ini? Jangan main-main Meera!” Rita Nadia tidak percaya pada kata-kata Sharifah Ameera. Lantas mencapai alat kawalan jauh yang terletak di atas meja kopi. Ditekannya punat untuk memperlahankan bunyi tv. Rita Nadia ingin memberi tumpuan kepada perbualannya dengan Sharifah Ameera di ruang tamu rumahnya pada pagi itu.
“Betullah! Ingat aku main-main?” Pantas Sharifah Ameera membalas reaksi terkejut Rita Nadia, kawan rapatnya itu.
Setiap kali berhadapan dengan masalah, pasti Rita Nadia dicari Sharifah Ameera untuk berkongsi kedukaan dan melepaskan perasaannya yang remuk redam. Sekian lama duduk menjeruk perasaan. Selepas diluahkan, hati Sharifah Ameera berasa lega.
Rita Nadia pula tidak pernah jemu mendengar luahan hati Sharifah Ameera. Kadang-kadang sehingga naik bingung memikirkan masalah rakannya yang seorang itu. Tidak habis-habis dilanda masalah.
“Datang nak bagi tahu fasal ini saja? Kalau mahu tanya pendapat aku, rasanya baik fikir sekali lagi. Tak payahlah teruskan rancangan bodoh ini Meera.” Rita Nadia cuba menasihati. Dia membetulkan duduknya. Memandang tepat ke muka kawannya itu. “Aku bimbang, menyesal nanti.”
Siaran tv pada petang itu sudah tidak diendahkan oleh mereka berdua. Rita Nadia mengalihkan kedudukannnya mengadap tepat ke arah Sharifah Ameera.
“Ah kali ini, aku dah nekad. Dah nekad!” Ikrar Sharifah Ameera.
Kata-kata Sharifah Ameera itu mencemaskan Rita Nadia. Selama ini Rita Nadia amat menyanjungi Sharifah Ameera. Tidak payah belajar tinggi ke Menara Gading, dia dan suaminya, Syawal Sanusi berjaya dalam hidup. Dapat memiliki syarikat sendiri dalam usia yang masih muda.
Ketika Rita Nadia, lulusan sebuah universiti masih terkial-kial memulakan perniagaan secara sambilan di samping bekerja makan gaji, Sharifah Ameera sudah pun kaya raya. Walaupun tidak bergelar datuk atau datin, mereka berdua berada di darjat tinggi dari segi tahap pendapatan. Bayaran gaji pekerja dan perbelanjaan syarikat mereka mencecah ratusan ribu ringgit sebulan, sedangkan gaji bulanan Rita Nadia tidak sampai RM4,000 sebulan, walaupun sudah hampir 10 tahun bekerja. Dicampur dengan gaji suami yang juga tidak seberapa, masih belum cukup untuk memberikan kemewahan kepada keluarga Rita Nadia. `Bertuah sungguh Meera, tetapi mengapa pula dia sanggup mahu tinggalkan suaminya? Tinggalkan syarikatnya?’ Rita Nadia bermonolog.
Setahu Rita Nadia, kesenangan yang Sharifah Ameera perolehi adalah hasil kegigihan dia dan suami menguruskan perniagaan serta berkat rezeki anak seramai empat orang. Dua daripadanya adalah anak sendiri dan dua lagi anak angkat. Mereka percaya bahawa anak-anak adalah pembawa rezeki.
Namun Rita Nadia berpendirian sebaliknya. Walaupun berkelulusan ijazah dan bekerja di sebuah syarikat swasta yang kukuh, dia tidak yakin untuk mempunyai anak yang ramai. Rita Nadia sudah menetapkan awal-awal lagi, setakat dua cukuplah. Tidak sanggup melawan mabuk di peringkat awal mengandung juga antara sebab Rita Nadia mengehadkan bilangan anaknya.
Sangat rugi jika Sharifah Ameera meninggalkan istana bahagia yang dibinanya selama hampir 10 tahun, fikir Rita Nadia.
“ Kalau berundur, bererti membiarkan hak engkau diambil orang Meera. Tidak sayang? Tidak ingat betapa sukar kau berdua membina empayar perniagaan itu dulu?” Rita Nadia terus mengajukan soalan kepada Sharifah Ameera. Sekali lagi dia memandang tepat ke arah muka kawannya itu. Namun kata-kata Rita Nadia tidak membawa apa-apa makna kepada Sharifah Ameera.
“Tidak guna Rita. Tidak guna mempertahankannya. Hati aku sakit. Ramai sangat berangan-angan hendakkan bahagian aku. Bukan seorang dua. Adik-beradiknya, emaknya dan rakan kongsinya pun semacam ingin merampas syarikat itu daripada aku. Aku tidak sukakan perebutan. Aku sudah lemas dengan tekanan seperti ini.
“Kalau aku dihina hanya kerana usaha gigih sendiri, kerana usaha aku untuk menaikkan syarikat dan memberi gaji kepada mereka semua, biarlah. Lebih baiklah aku lepaskan. Tengoklah apa jadi kepada mereka bila aku tiada nanti,” luah Sharifah Ameera. Hanya satu yang difikirkannya ketika itu, iaitu ingin bebas daripada belenggu hidup bersama keluarga suaminya, Syawal Sanusi.
Biarpun kasih saying Sharifah Ameera terhadap suami sendiri masih menebal, tetapi demi harga dirinya dia rela pergi. Dia tidak sanggup lagi diperli, dicaci, dicerca menumpang di rumah sendiri, dianggap seperti orang asing dalam syarikat sendiri.
“Perempuan tamak itu mana? Biar aku cilikan dia…tak sedar diri!”
Sharifah Ameera tidak boleh lupa kejadian sewaktu ibu mertuanya datang menyerang di pejabat. Dia disumpah seranah di hadapan semua pekerja. Dan kebanyakan yang bekerja di situ adalah ipar-duainya. Naik lemak mereka mendengar sokongan daripada ibu sendiri sementara Sharifah Ameera selaku majikan, berasa amat terhina.
Ketika itu Sharifah Ameera sudah dapat mengagak, tentu ada yang mengadu sesuatu kepada emak. Memanglah, di pejabat ini aku tegas. Kalau tak buat begitu, pekerja pijak kepala. Mereka sering kerja berlengah dan banyak buat kesilapan. Yang rugi adalah syarikat. Itu kata hati Sharifah Ameera.
`Salahkah aku memantau mereka?’ Sharifah Ameera tidak faham mengapa ada di kalangan adik iparnya suka mengadu. Mengadu kepada ibu mereka iaitu ibu mertuanya.
Kejadian diserang itu bukan pertama kali berlaku. Mula-mula sekadar cemuhan di bibir. Lama-kelamaan lebih teruk. Kemudian berani pula menuding-nuding jari, semacam tidak waras, menghina Sharifah Ameera sesuka hati. `Kali ini aku tidak boleh berdiam diri. Aku mesti berbuat sesuatu.’ Desak hati Sharifah Ameera. Kenangan terhadap peristiwa-peristiwa seperti itu membuatkan hatinya terus membengkak.
“Habis, kalau dah tinggalkan suami, tinggalkan syarikat itu, apa kamu nak buat nanti?” Soal Rita Nadia pula. Dia benar-benar tidak bersetuju dengan rancangan Sharifah Ameera.
“Kenapa, ingat aku tidak berani hidup berdikari? Banyaklah benda yang aku boleh buat. Aku ingin buka perniagaan sendiri. Tidak payah bergantung kepada sesiapa lagi. Aku akan buktikan yang aku juga mampu berusaha sendiri,” tekad Sharifah Ameera. Pada raut wajahnya menunjukkan kebencian tetapi di dalam hati menahan pilu. Tiba-tiba sahaja perasaan Sharifah Ameera diregut sendu. Pilu dengan keputusan yang bakal dibuatnya sendiri. Dia mengejangkan kelopak matanya sambil menahan butiran air mata daripada menitis. Pantas mengingati semula peristiwa-peristiwa pahit pernah dilalui sewaktu dikelilingi ahli keluarga sebelah suaminya. Dalam menahan kesedihan, terbit kata-kata semangat di dalam dirinya.
“Ya, aku tak akan berganjak dengan keputusan aku ini!”Ikrar Sharifah Ameera lagi. “Kenapa kau pula yang susah hati?” Soal Sharifah Ameera kepada Rita Nadia.
“Yalah, kamu ada empat anak. Macam mana hendak urus sendiri? Sabar sahajalah. Bukankah sabar itu separuh daripada iman? Sudah bertahun-tahun hidup bersama Syawal, tak sayangkah? Akan ada jalan penyelesaiannya nanti,” pujuk Rita Nadia. Dia tidak sampai hati melihat Sharifah Ameera susah di kemudian hari.
Rita Nadia dan Sharifah Ameera, adalah kawan baik. Kedua-dua mereka sedang meniti peringkat kehidupan yang matang. Ini adalah detik-detik penting bagi mereka untuk menentukan kejayaan dalam kehidupan. Berundur dan meninggalkan kesenangan bermakna usaha mereka selama ini disia-siakan. Itulah jalan yang dipilih oleh Sharifah Ameera. Jalan yang tidak tentu akan membawa ke arah kemajuan, apa lagi kesenangan.
“Berundur bukan bererti kalah. Tetapi berundur aku kerana merancang strategi baru. Aku ada empat anak. Walaupun dua daripadanya adalah anak angkat, aku pasti mereka akan membantu aku sewaktu usiaku tua kelak. Dua anak aku, dua lagi anak saudaraku sendiri. Aku akan membawa kesemua mereka bersama-samaku. Itulah harta aku yang sebenarnya,” kata Sharifah Ameera, berfalsafah.
“Kalau suami enggan lepaskan semua anak kepada engkau, macam mana?” Soal Rita Nadia, dengan harapan rakannya itu akan berfikir panjang dan menarik balik rancangannya itu.
“Dia mesti bagi. Bukannya dia tahu bagi makan anak-anak. Selama ini pun akulah yang memasak, sediakan makan minum untuk mereka. Dia bukan suka makan di kedai pun. Kalau aku tidak ada, tahulah dia nanti macam mana susahnya,” balas Sharifah Ameera. Hatinya sudah tidak dapat diubah lagi.
“Aku tidak fahamlah dengan sikap kamu ni. Degil betul! Tak sangka, kamu sekeras ini!” Ujar Rita Nadia lagi.
“Kamu buat tidak faham pula. Bukankah dah banyak episod derita yang telah aku ceritakan? Aku dah tak larat, tak larat!” Sharifah Ameera kecewa, luahan hatinya tidak mendapat tempat di hati kawannya itu. “Kalau kamu tidak mahu sokong aku, tidak mengapa, aku balik dululah.” Sharifah Aneera bangun daripada tempat duduk, mencapai beg tangannya untuk pergi.
“Alahai, merajuk pula. Duduklah dulu. Aku tahulah semua, tetapi tidak bolehkah bersabar? Pasti ada hikmah di sebaliknya. Kalau diteruskan juga, aku rasa menyesal nanti.” Rita Nadia meluahkan kebimbangannya sambil mengangkat jari telunjuk dan menggerakkan tangan ke belakang ke depan seperti seorang cikgu memberi amaran kepada anak muridnya supaya tidak berbuat kesalahan. Rita Nadia geram dengan pendirian kawannya itu. Langsung tidak mahu mendengar nasihatnya.
Daripada pemerhatian Rita Nadia, Sharifah Ameera dan suaminya, Syawal Sanusi memang serasi. Dia ingat lagi, sewaktu mereka berada di jenjang pelamin. Kedua-duanya sama cantik, sama padan bagai pinang di belah dua.
“Wah, awalnya Meera kamu berkahwin, aku baru nak sambung belajar,” Rita Nadia menegur Sharifah Ameera sewaktu menemaninya di bilik pengantin. Usia mereka ketika itu baru 19 tahun.
“Jodoh dah sampai, kamu bila pula?” Soal Sharifah Ameera kepada Rita Nadia. “Aku belajar, setakat tingkatan lima sahaja cukuplah. Dah ada yang berkenan, baiklah terima saja,” tambahnya.
“Kalau tanya aku, tidak tahu bila lagi. Eh, tak mahulah aku kahwin muda-muda macam ini. Belajar di universiti pun belum setahun,” jawab Rita Nadia. Sewaktu mengipas kawannya itu di atas pelamin, Rita Nadia berkata-kata sendiri, `aku tak mungkin ikut jejak Meera, berkahwin dalam usia yang sangat muda.’ Mereka baru lepas STPM. Rita Nadia berazam untuk belajar di universiti sehingga tamat. `Biarlah Sharifah Ameera bertemu jodoh lebih awal’, bisik hati Rita Nadia. Namun sekarang, apa yang terjadi? Mahligai cinta yang dibina oleh kawannya itu sudah hampir roboh.
Prihatin terhadap nasib kawannya itu, Rita Nadia tidak putus asa cuba menasihati Sharifah Ameera agar tidak berpisah dengan suaminya. Anak-anak mereka akan menerima kesannya kalau mereka bercerai.
“Sudah fikir betul-betulkah?” Berulang kali Rita Nadia mengajukan soalan ini kepada kawannya itu.
“Memanglah kalau difikirkan, aku memang masih sayangkan dia, tapi….”
“Tapi apa…Kalau dah sayang, kenapa sanggup hendak tinggalkan dia?” Rita Nadia benar-benar tidak faham dengan prinsip Sharifah Ameera.
“Kan aku dah cakap banyak kali, aku tidak suka orang campur tangan dalam urusan hidupku… aku dah hilang kesabaran.” Balas Sharifah Ameera. Raut wajahnya membayangkan kekecewaan.
“Apa pun, emak dia macam emak kau sendiri juga. Apa pun yang dia buat pada kamu, janganlah ambil hati.” Rita Nadia terus memberi nasihat.
“Pandailah nak mengubah keputusan aku. Cuba terkena pada batang hidung sendiri, baru tahu!” Getus Sharifah Ameera.
“Tetapi mengapa pula sampai hendak berpisah? Aku nampak Syawal baik saja. Pernahkah dia pukul kau?” Soal Rita Nadia lagi.
“Syawal hendak pukul aku? Dia tak pernah jentik aku sekali pun! Dia memang baik tetapi…”
“Ha, tengok… kamu sendiri mengaku dia baik,” Rita Nadia mencelah. “Tapi apa lagi? Kalau kau sendiri mengaku begitu, mengapa nak teruskan dengan keputusan bodoh ini?” Rita Nadia betul-betul tidak faham dengan kehendak kawannya yang seorang itu.
“Susahlah nak cerita. Dah macam-macam berlaku? Macam-macam tau… dengan penyakit misteri aku yang tidak baik-baik! Anak aku pun kena… aku seriklah,” balas Sharifah Ameera. Baginya, sekali dia membuat keputusan, tidak akan ada siapa yang dapat mengubahnya lagi.
“Itu aku tahu… bukankah kau tengah berubat, sabarlah. Tuhan sedang menduga.” Rita Nadia bukan tidak tahu penderitaan yang dialami oleh Sharifah Ameera sejak akhir-akhir itu. Malah dia sendiri pun tidak sampai hati melihat malang yang menimpa kawannya itu.
Kedatangan ke rumah Rita Nadia pada hari itu tidak langsung melegakan hati Sharifah Ameera. Tujuan memberitahu hasrat hatinya itu adalah untuk mendapat sokongan daripada kawan sendiri. Namun Rita Nadia tidak dapat menerimanya, malah Sharifah Ameera dituduh degil! Sharifah Ameera pulang ke rumahnya dengan rasa terbuku di hati.
Rita Nadia pula asyik terkenangkan nasib kawannya itu. Baginya, biarlah Sharifah Ameera terus bersama Syawal. Dia tidak sanggup melihat kawannya itu sengasara di kemudian hari. Bukan Sharifah Ameera seorang yang akan menanggung deritakalau dia teruskan dengan rancangannya itu. Anak-anaknya juga terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan hidup baru. Sampai seminggu Rita Nadia memikirkan masalah Syarifah Ameera.
BERSAMBUNG...