Sunday, December 30, 2012

Wajah Kembali Bersih dan Tegang!


Perihal Rumpai Laut @ ibu kolagen semula jadi yang Miracle!




Pertama kali teringin mencuba rumpai laut, bila kesihatan semakin merosot. Pabila doktor biasa merujuk kepada doktor pakar untuk pemeriksaan jantung, paniklah sekejap …nasib baik hasil pemeriksaan doktor pakar okey, cuma disuruh bersenam.. denyutan nadi slow sikit kerana faktor usia, doktor siap melawak, “barangan lama, biasalah!” - untuk menguatkan semula, "mesti rajin bersenam!" Pesan doktor.
Pada masa sama, terfikir juga macam mana nak pulihkan keadaan wajah yang selama ini tidak pernah berjaga, sebab takut nak guna krim.. Dah lanjut usia baru terfikir nak guna itu dan ini, terdetik di hati..  dah terlewat! Pergi ke mana-mana, pandang kiri kanan, rata-rata putih bersih saja wajah mereka. Timbul rasa menyesal, mengapalah tak rajin nak jaga muka sendiri. Mulalah terfikir-fikir, macam mana nak hilangkan kesan jeragat yang semakin ketara? Macam mana nak tegangkan wajah yang sudah semakin kendur, bila ketawa, pipi menggelebeh, ketara sangat dalam gambar. Mesti buat sesuatu ni. Ada kawan mencadangkan untuk suntik vitamin A dan kolagen.  “Suntik!!!???”  Bisik hati, eishh takut, takut, takut… tak berani, tak beranilah. Memang tak berani nak buat.
Tiba-tiba teringat posting seorang kawan yang asyik menulis pasal rumpai laut yang dia makan. Buka fb dia dan baca. Cari juga info di sana sini termasuk tengok rancangan TV mengenai rumpai laut di You Tube, baca keratan akhbar dan lain-lain, barulah percaya sikit dan teringin mencuba. Dah sebulan makan, bab mencantikkan kulit muka, bab menegangkan tu memang betul, lawas buang air, ringan badan tu semua betul (testimony sendiri).
Yang paling kagum adalah kesan penegangan payu dara. Umur melebihi 50 tahun, anak dan besar panjang, semakin lanjut usia - apa keadaannya kita terima sajalah..tak pernah terfikir boleh buat apa-apa lagi, takkanlah nak operate atau suntik bagai-bagai macam orang lain yang sangat taksub pada kecantikan tu. Jadi beranikan diri makan rumpai laut. Bila rasa ringan buat kerja tunggang terbalik, tanpa pakai bra.. eh barulah perasan, perubahannya. Miracle!
Berubah jauh lebih baik daripada sebelumnya, itu pun sudah cukup bersyukur! Setiap pagi bangun tidur, belek muka depan cermin, tengok perbezaan daripada sebelumnya, terutama tengok kesan jeragat yang beransur kurang dan bahagian kendur semakin tegang. Hu hu seronoknya! Alhamdullah.. tidak lupa bersyukur, semua kerana izin-NYA!

Ada lagi ulasan kesan positif dan kesan detox yang nak diulas, tetapi kemudianlah. Nak dahulukan dengan info lanjut mengenai rumpai laut@ibu kolagen.



INFO MENGENAI RUMPAI LAUT

Rumpai laut GRED AAA WARNA UNGU adalah ANTARA PILIHAN UTAMA MASYARAKAT CINA, TAIWAN, KOREA SEJAK DULU DALAM PENYEDIAAN JUADAH SEPERTI SUP.
MEMILIKI KANDUNGAN KHASIAT AMAT TINGGI BERBANDING RUMPAI LAUT GRED AA DAN A. TERLEBIH DAHULU DITERNAK DI NEGARA JEPUN SEBAGAI MAKANAN RUJI KAUM PENDUDUK DI SANA.
KHASIAT RUMPAI UNGU SETARAF ALGA SPIRULINA DAN CENDAWAN GANODERMA  serta MENGANDUNGI KHASIAT PERSIS PROTIN DAN KOLAGEN IKAN MARIN, BURUNG WALIT DAN SOYA. JUSTERU SETIAP KEPERLUAN TUBUH KITA BOLEH DIPENUHI OLEH TUMBUHAN AJAIB ANUGERAH ALLAH SWT INI.
KEPENTINGAN WARNA PADA TUMBUHAN.
* WARNA CERAH BERMAKSUD KUALITI DAN JUMLAH GIZI BERADA PADA TAHAP SEDERHANA SERTA TINGGI KANDUNGAN AIR
* WARNA GELAP SEPERTI UNGU MEMILIKI POTENSI TINGGI DALAM DUNIA PERUBATAN DAN KOSMETIK. MELANIN WARNANYA DISELAPUTI SEJUMLAH BESAR PROTIN, VITAMIN, ZAT GALIAN DAN KANDUNGAI AIR YANG TINGGI.
*   GRED AAA WARNA UNGU MEMILIKI KUASA ANTI PENUAAAN DAN ANTIOKSIDA TERTINGGI daripada smeua jenis sayuran berwarna ungu lain.
Beza jenis kolagen rumpai laut ini adalah pada grednya dan cara dia di proses,
* Gred A warna purple coklat kehijauan
*  Gred AA berwarna coklat muda
 * Gred AAA berwarna puple kerana di keringkan terus oleh pancaran matahari.. yang gred AA tu dikeringkan secara stim.. 
Kesemua rumpai laut ini boleh dimakan dan berkhasiat,  dari Semporna, Sabah.
Perbezaan di antara RUMPAI LAUT UNGU DAN RUMPAI LAUT WARNA LAIN adalah ANTIOKSIDA
Rumpai laut ungu didapati memiliki antoksida, terhasil daripada warna pigment ungu

APAKAH ANTIOKSIDA?

Bahan antioksida adalah bahan kimia yang diperlukan tubuh untuk meneutralkan radikal bebas dan mencegah kerosakan yang ditimbulkan oleh radikal bebas terhadap sel normal, protein, dan lemak. 
Antikoksida  menstabilkan radikal bebas dengan melengkapkan kekurangan elektron yang dimiliki oleh radikal bebas itu, dan menghambat terjadinya reaksi berantai daripada pembentukan radikal bebas yang dapat menimbulkan tekanan oksidatif. Ada beberapa bentuk bahan antioksida antaranya vitamin, mineral dan fitokimia. Pelbagai jenis bahan antioksida ini berkerja sama dalam melindungi sel normal dan meneutralkan radikal bebas.

APA PENTINGNYA ANTIOKSIDA PADA TUBUH?
·   Kandungan agen anti virus, antibakteria, antifungus dan antiprotozoa yang dimiliki membuat TUBUH LEBIH TAHAN DARIPADA SERANGAN PENYAKIT 
·  MENDAPAT KEMBALI KEANJALAN, KELEMBUTAN KULIT kerana bahan antioksida mempercepat penggantian sel-sel kulit yang mati dengan sel yang baru, selain melindungi dari sinaran ultra violet.
·    PERTUMBUHAN RAMBUT LEBIH BAIK DAN KELEMUMUR AKAN HILANG kerana sel rambut mendapat tenaga dan zat yang mencukupi untuk pertumbuhan maksimum .
·  MENGATASI MASALAH PENYAKIT DEGENERATIF DAN MASALAH USIA UMUR LANJUT kerana antioksida semulajadi dalam rumpai laut menjadi agen penghambat pada pembentukan radikal bebas dan mempertingkat ketahanan sel badan.

PENGAMBILAN RUMPAI LAUT ADALAH KONSEP KEMBALI KE ALAM SEMULA JADI. Amalan pemakanan ini semakin popular bagi yang ingin memelihara kecantikan dan kesihatan secara semula jadi, tidak perlu cucuk, tidak perlu perhabis wang ringgit kerana harganya murah dan tidak rasa sakit.
Penggunaan bahan semula jadi dalam bentuk tumbuhan yang mengandungi antioksida untuk rawatan kecantikan semakin popular, bahkan ia banyak diguna dalam produk kecantikan hari ini.
Menyedari kepentingan antioksida, kebanyakan pengeluar produk berkaitan kecantikan sama ada pemakanan mahupun penjagaan kulit mendakwa produk dihasilkan mengandungi bahan anti oksida khususnya yang menggunakan tumbuh-tumbuhan semula jadi.
Antioksida sebenarnya bukanlah sejenis ‘bahan’, tetapi fungsi bahan tertentu yang bertindak secara khusus ke atas kulit.
Namun cara paling berkesan untuk menghalang kerosakan akibat radikal bebas adalah dengan memakan makanan mengandungi antioksida, salah satu daripadanya ialah rumpai laut, iaitu tumbuhan semula jadi, yang asli, tidak diproses, tidak bercampur dengan bahan kimia lain.

Setelah dihebahkan kepada kawan-kawan, ramai pula yang nak beli.. nak cuba sama.. diharap mereka juga mendapat kesan positif, sampaikan abang Jaafar Onn, artis popular zaman 80-90-an tu pun minta nak beli. Sehari beli, esok dia call ... nak beberapa bekas lagi, sebab katanya "ramai pula yang minat dengan product you ni!"  Silap tu abang Jaafar bukan produk I, I tak berniaga pun, cuma berkongsi info dengan kawan-kawan, tetapi entahlah, tiba-tiba je terjebak dengan aktiviti menjual benda baik ini...dia orang yang nak, sebab ada lebih kerana beli banyak, jadi juallah.

Sekian dulu..

Monday, October 29, 2012

Makan Angin di Pulau Seribu Pura




Tulisan dan Gambar: RASHIDAH IBRAHIM

                                                        Kuil dalam air, Tanah Lot

Sebaik menjejakkan kaki di  Lapangan Terbang Ngurah Rai, Denpasar, Bali, pada petang 28 Julai lalu (2012), terdetik di hati, `Bali… saya datang lagi,` sambil tidak sabar ingin melihat perubahan suasana pulau peranginan yang menjadi kesukaan pelancong antarabangsa itu.
   Sebelum pergi, seperti tidak percaya apabila kawan yang merancang percutian itu berkata, Bali sudah tidak seperti dulu. “Jalan sesak, I tak suka memandu di situ,” ujar Sam Raja Aziz sewaktu saya memberi cadangan menyewa kereta dan memandu sendiri, kononnya mahu berjimat.
   “Kalau larat, pandulah sendiri, I tak larat, jalan sesak!” Saya macam tidak percaya  menerima ayat sistem pesanan ringkas (sms) itu sewaktu kami sedang merancang.
    Keluar daripada tempat letak kereta di kawasan lapangan terbang sewaktu kunjungan kedua pada 2006, jalan utama lengang sahaja. Berbeza dengan kunjungan terbaru, kereta bertali arus.
    “Sekarang you tengoklah sendiri. Keadaan sudah tidak sama seperti dulu. Dalam masa setahun dua sahaja di Bali, boleh nampak banyak perubahan,” katanya. Mujurlah saya mengikut kata Sam.Walaupun sudah biasa tinggal di Bali, dia juga tidak berani menyewa kereta dengan orang perseorangan atau syarikat yang dia tidak biasa berurusan.
   Sejak sering berurusan di Bali katanya, timbul idea untuk memudahkan perjalanan kawan-kawan yang tidak biasa berjalan di Bali. Daripada situ, dia mula membantu melicinkan perjalanan kawan-kawan di sana. Dan untuk menjadikan perkhidmatannya lebih rasmi dia mendaftar dengan agen Tiki Wisata Tour and Travel (Tiki Wisata). Kini Sam semakin kerap menguruskan perjalanan kawan-kawan menyebabkan dia sentiasa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Bali.
   Diberi jolokan Pulau Seribu Pura, Bali amat popular di kalangan pelancong asing dari seluruh dunia maupun pelancong domestik di Indonesia.  Hanya sebesar 5,636.66 km persegi, pulau itu menawarkan keindahan alam semula jadi saperti pantai, gunung-ganang, sawah, desa dengan penduduk kaya dengan budaya unik.
                                                                 Bermain air

   “Sememangnya Pulau Bali bukan saperti 20 tahun dulu.  Kini ia pesat membangun dengan tempat percutian dan bangunan pelbagai konsep seperti moden, tradisional dan yang terkini retro klasik. Kita hanya perlu memilih percutian yang dirancang mengikut kesesuaian bajet atau cita rasa sendiri,” ujar Sam.

   Beribu pejabat di Jakarta, pada mulanya Tiki Wisata Tour & Travel menawarkan pakej harga VIP, namun saya menolak dengan alasan hanya orang biasa. Perbincangan semula membawa manfaat  dari segi bajet, ditambah bantuan daripada hotel Wina Holiday Villa dan Mentari Sanur.
   Percutian lima hari dari 28 Julai hingga 1 Ogos bermula dengan lawatan ke Tanah Lot pada pagi 29 Julai.  Saya pernah ke situ dalam kunjungan pertama ke Bali lebih 10 tahun lalu, menerusi program Promosi Tahun Melawat Indonesia. Lupa pula tahunnya. Apa yang saya ingat ketika itu, kuil berkenaan berada di dalam laut. Keadaan lengang, tiada pelancong lain selain kami bertiga - saya, jurugambar dan pemandu pelancong. Berbanding sekarang, bilangan pelancong tidak terkira. Masuk, melalui pintu gerbang besar dan kemasukan bertiket. Jika dulu, kami hanya melihat pura dari tepi jalan besar. Ketika itu ia berada di dalam laut. Sewaktu kami sampai baru-baru ini, air surut dan pura berada di darat. Pemandangan menarik berlatarkan lautan biru adalah faktor Pura Tanah Lot menjadi tarikan pengunjung.
   Disebabkan air ketika itu surut, pelancong boleh berjalan sampai ke kuil. Seram melihat tanda perkataan `ular putih` di pintu sebuah gua. Kami tidak berani masuk. Sebuah lagi gua kelihatan menjadi tumpuan penganut agama Hindu untuk berjumpa sami. Pelancong lain, sekadar menghabiskan masa menghayati keindahan pantai sambil bergambar di atas batu berlatarkan ombak besar yang membadai tebing. Kala datang ombak tinggi sehingga melepasi paras kepala, air laut membuak menenggelami batu dan kaki.
   “Jangan bergerak, berdiri tegak saja!” laung Sam. Saya diingatkan agak berdiri setempat, jika lari di atas batu-batu yang licin itu, bimbang tergelincir jatuh. Hampir separuh hari kami berada di situ, semata-mata untuk merakam aksi berdiri membelakangi ombak besar dan merakam pemandangan indah di situ.

                                                                    Pura Tirta Empul

   Sepintas lalu mengenai Tanah Lot, ia adalah tebing tinggi menganjur ke laut. Di atasnya terdapat kuil Hindu, bernama Pura Tanah Lot. Terletak di Tabanan, tebing tinggi itu terbentuk akibat hakisan pasang surut air laut selama berjuta tahun. Difahamkan Kuil di atas batu karang itu dibina pada abad ke-15 oleh sami bernama Nirartha yang singgah berehat di situ . Ramai nelayan datang berjumpanya memberi hadiah. Dia meminta mereka membina sebuah makam sebagai tempat suci. Kuil Tanah Lot adalah salah satu daripada tujuh kuil laut sekitar pantai Bali. Masyarakat Hindu di situ percaya kewujudannya membantu mengawal roh jahat dan penceroboh. Menurut cerita masyarakat setempat, ada seekor ular besar dicipta daripada cindai Nirartha sebagai pelindung pulau itu. 

 
                                   Panorama ombak membadai tebing di kawasan Pura Tanah Lot

   Pada sebelah petang kami meneruskan perjalanan ke Pantai Seminyak untuk melihat pemandangan matahari terbenam. Kelihatan ramai pelancong asing sedang bersantai di bawah payung besar berwarna-warni. Selesai merakam panorama senjakala, kami mencari restoran halal untuk mengisi perut dan menamatkan lawatan hari itu.
   Bangun pagi esoknya,  kami ke pantai Sanur untuk melihat kegiatan di tepi pantai sebelum meneruskan jadual lawatan ke Pura Tirta Empul, yang terletak bersebelahan Istana Presiden di Desa Manukaya, Tampak Siring, Gianyar. Tirta Empul adalah kuil atau pura yang mempunyai tarikan tersendiri. Di situ terdapat kolam pemandian yang dianggap suci oleh masyarakat Hindu. Terciptanya Tirta Empul beribu tahun dulu, diceritakan ada kaitan dengan nama kampung, Tampak Siring. Menurut lagenda dewata, kejadian it berlaku ketika Batara Indra diutus dari langit untuk menghancurkan raja Mayadenawa kerana menyalahgunakan kesaktiannya.
   Sewaktu melarikan diri ke hutan, Mayadenawa berjalan dengan memiringkan telapak kakinya. Di kawasan itulah terhasil nama desa, Tampak Siring bermaksud telapak miring. Sebelum Mayadenawa dapat ditangkap oleh Batara Indra, dengan sisa kesaktiannya, dia mengeluarkan mata air beracun. Banyak kematian memabitkan mereka yang meminum air itu namun Batara Indra berjaya mengeluarkan mata air penawar, diberi nama Tirta Empul yang dapat menghidupkan kembali mereka yang meninggal terminum racun.              Kemudian dibina kolam dengan deretan batu pancuran bagi kemudahan mandi penyucian diri.
   Selesai mendengar kisah lagenda itu, kami berjalan keluar melalui kawasan gerai kraftangan.  Lawatan seterusnya adalah ke daerah Tegallalang. Peminat hiasan dalaman tidak harus melepaskan peluang berkunjung ke situ kerana terdapat banyak kedai hiasan rumah di sepanjang jalan. Persinggahan terakhir kami hari itu adalah Restoran Hu`u, menampilkan gaya hiasan santai dan unik dengan tempat makan dalam bangunan dan khemah bertirai putih. Senja itu kami berbuka puasa di situ dalam remang cahaya dian.         Menawarkan makanan barat dan Asia, restoran Hu’u tampil unik dengan penyediaan tempat duduk menyerupai sangkar burung. Selesai makan, kami terus ke Hotel Wina Holiday Villa, Kuta untuk menginap.
  Bangun pagi keesokannya, saya terus mencapai kamera untuk merakam gambar hotel sebelum bersedia menunggu pihak pengurusan untuk bersembang. Dalam pertemuan itu,  kami diberitahu mengenai kelebihan hotel itu yang popular di kalangan pelancong Islam kerana menyediakan makanan halal. Mengekalkan reka bentuk bangunan batu warna jingga, hotel tampil berseni dan unik dengan imej Bali, membuatkan ia kekal diingati.
                                                               Di kolam Tirta Empul

   Selesai menghayati keindahan hotel Wina Holiday Villa, kami menuju ke pusat beli-belah, Bali Collection. Di situ terdapat banyak kedai barangan berjenama. Tidak berhasrat membeli-belah, kami sekadar window shopping dari pagi sehingga lewat tengah hari. Selepas itu, meneruskan pula perjalanan ke Kafe Pari-Pari untuk berbuka puasa. Perjalanan lebih sejam, mengharungi kesesakan lalu lintas, amat meletihkan. Sebaik sampai, terkejut mengetahui ia terletak di kawasan sawah padi, namun kami menikmati hidangan dengan penuh berselera kerana baru berjumpa dengan masakan negara sendiri.
   Menurut Sam, bagi yang ingin ke Pulau Bali, percutian 4 hari 3 malam adalah paling minimun. Itu pun tidak cukup untuk menjelajah ke semua destinasi pelancongan. Mereka dinasihati  menentukan jenis lawatan mengikut minat supaya mudah membuat pemilihan. Tiki Wisata menawarkan pakej percutian yang unik seperti Pakej Kecantikan dan lawatan (Beauty and Tour) yang memberi tumpuan kepada kegiatan penjagaan kecantikan, kesihatan dan pemakanan organik sambil melawat; Pakej Belajar Menari dan Bersiar (Dance and Tour) yang diisi dengan kegiatan belajar menari dan bersiar; di samping Pakej Percutian Biasa atau Santai serta Pakej Keluarga dan Melawat (Family and Tour).

                                          Pelancong melepak di pantai Seminyak

Sunday, June 17, 2012

Ulat oh ulat!

Sebulan tak balik kampung, apa jadi dengan pokok yang kami tanam hari tu? Adakah ia tumbuh segar atau mati? Selepas kerja petang Jumaat lepas, kami terus balik ke kampung. Sesampai di rumah saya terus ke belakang untuk melihat pokok yang ditanam.Pokok-pokok dalam plastik hitam, hidup macam biasa, tetapi alangkah terkejutnya melihat pokok keladi, habis rompong dimakan ulat.


Air terjun yang dipasang sendiri.

 Tengok, habis rompong pokok keladi.


Ulat inilah yang makan daun.

Pokok kiambang, semakin banyak membiak.





 Banyak sangat ulat ni,ada berpuluh, geramnya.....sedap-sedap ia makan pokok. Sekali tengok tak nampak sama saja dengan warna pokok.


Monday, June 11, 2012

Rumah percutian di Janda Baik.

Bawah rumah disimen render dan diletakkan set kerusi taman sebagai tempat duduk bersantai.

Sebuah kerusi rotan ditempatkan di muka tangga beranda berpengadang kekisi kayu lurus tegak. Bendul pembahagi lantai beranda dan lantai balai di atas rumah dipasangkan pengadang kekisi kayu berukir.

Sudut ruang tamu di atas balai yang bersuasana lapang dan terbuka di bangunan bahagian belakang.

Satu lagi ruang tamu berkeluasan terhad menyediakan dua set kerusi berlainan jenis, juga di bangunan bahagian belakang.

Gambar atas dan bawah: Ruang tamu utama di bangunan depan dilengkapi kerusi kayu berkusyen fabrik warna kemerahan. Sudut dinding dihiasi tempayan besar berisi keratan bunga heliconia.


\Binaan penghubung di antara dua bangunan (depan dan belakang) berlantai kayu dan berpengadang kekisi berukir. Laluan ini diteduhi bumbung yang mendedahkan kayu alang.

Kawasan halaman tampil kemas dengan kemasan batu turap dan susunan batu petak. Halaman luas membolehkan dibina sebuah pondok cenderamata dan ditempatkan set kerusi taman diteduhi payung hijau.

Gambar atas dan bawah: Rumah tradisional Melayu berbumbung V terbalik dan bertebar layar. Dinding kayu dirawat dengan cat minyak warna kehitaman. Tingkap yang terbuka luas dari lantai dilindungi kekisi kayu berukir berhias langsir putih manakala halaman dihiasi landskap kampung.

Gambar bawah: Satu lagi bangunan dibina dua tingkat, menampilkan beranda rendah di kanan dan beranda tinggi di kiri. Di bawah beranda tinggi disediakan jalan kecil diiringi pelbagai jenis tumbuhan taman.

Saturday, June 9, 2012

Mengira tapak pasar malam








Apa buat hari ini? Seharian duduk membantu Si IK membuat kerja kursus PMRnya untuk subjek Geografi. Dia pilih tajuk Perniagaan Runcit Pasar Malam di Taman Seri Gombak. Hari ni 2nd last cuti pertengahan tahun, nak kena siapkan sebelum dia balik ke asrama.

 


Sewaktu orang sibuk memasang gerai, kami pun datang mengambil gambar dan mengira tapak. Rupa-rupanya banyak juga, adalah dalam 600. Tapi yang berniaga mengambil tiga hingga empat tapak sekali gus. Satu petak kena bayar sewa hanya RM3, kalau empat petak, baru RM12. Murahnya kan. Banyaklah untungnya kan. Rasa nak berniaga di pasar malam jugalah, boleh?






Friday, June 8, 2012

Betulkah Kellie's Castle Berhantu?




Tulisan dan gambar: RASHIDAH IBRAHIM

Assalamualaikum rakan maya semua, bertemu lagi dalam entri terbaru saya, kali ini mengenai sebuah bangunan usang yang penuh misteri di Perak, dibina 102 tahun lalu. Ini adalah kunjungan kali ketiga saya ke situ. Disebabkan majalah tempat saya bekerja menolak cerita ini dengan alasan pernah disiarkan, hmm saya paparkanlah di sini... Selamat membaca, kalau suka tinggalkanlah jejak (komen)...  Terima kasih.

Kunjungan ke Istana Kota Kellies (Kellie’s Castle) di Batu Gajah sewaktu menyertai program Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia (KCC1M), Jom Terokai Perak awal Mei lalu (2012), mengimbau kenangan saya sewaktu berkunjung ke situ lebih 20 tahun lalu. Biarpun orang kata bangunan itu berhantu,  tidak menghalang orang ramai daripada berkunjung.


 Merakam gambar daripada seberang sungai.

Terletak di seberang sana sungai Kinta, pengunjung perlu menaiki jambatan untuk sampai ke bangunan itu. Dalam masa beberapa minit berjalan, kami sudah pun berada di sebelah sana sungai.
Bangunan itu kelihatan tersergam di atas bukit, tidak jauh daripada tebing sungai yang memisahkan bangunan itu dengan jalan besar. Sementara peserta lain ghairah melihat reka bentuknya, pandangan saya tertumpu pada jambatan yang menghubungkan kedua-dua tebing. Selain memudahkan perjalanan ke bangunan berkenaan, kehadiran jambatan berkenaan  menyumbang kepada pembentukan lanskap yang menarik.

Penyertaan dalam program KCC1M Jom Terokai Perak anjuran Tourism Malaysia Perak dengan kerjasama Gaya Travel Magazine, membawa saya ke situ buat kali ketiga. Sewaktu kunjungan pertama dan kedua pada tahun 80-an,  Istana Kota Kellie belum menjadi destinasi utama pelancongan. Suasana persekitaran, tidak sama seperti sekarang. Bukan sahaja bangunannya kelihatan sangat usang kerana terlalu lama ditinggalkan, bahkan jambatan pun belum ada.

Pada masa itu, pengunjung menaiki sampan untuk sampai ke Istana Kota Kellie dan perjalanannya sedikit mencabar. Lokasinya suram dan sunyi. Kini, dalam keadaan ramai sekali pun terasa kesiknya berikutan bangunan itu menyimpan pelbagai cerita misteri.

Istana Kota Kellie yang juga dikenali Rumah Kellas dilaporkan dibina pada 1910. Bangunan itu kini dipulihara dan dijaga persekitarannya berikutan lokasi itu sudah dimajukan sebagai pusat pelancongan. Dinding daripada batu-bata tanah liat diselenggara sehingga terserlah serinya. Bangunan tiga tingkat itu dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India; manakala tukangnya dibawa khas dari Madras.


 Di atas bumbung..

Menurut catatan sejarah, Istana Kota Kellis dibina oleh seorang peladang getah terkemuka British, bernama William Kellie Smith yang berasal dari sebuah desa di Scotlandia, dikenali Kellas. Beliau datang sebelum Tanah Melayu membangun iaitu pada 1890, ketika berusia 20 tahun.  Smith bertemu dengan seorang pemilik tanah bernama Alma Baker yang telah memenangi konsesi daripada pemerintah negara untuk membersihkan 360 hektar hutan di Perak. Dengan keuntungan besar daripada perniagaan bersama Alma Baker, Smith mula menanam getah dan menyertai industri perlombongan timah di samping memiliki Perumahan Kinta Kellas dan Kinta Kellas Tin Dredging Company.

Berkahwin di negara asal dengan gadis Scotland, Agnes; Smith kemudian membawa isteri tercintanya ke Tanah Melayu pada 1903. Mereka dikurniakan anak perempuaan, Helen tahun berikutnya. Smith mengharapkan seorang anak lelaki sebagai waris untuk mengambil alih perniagaannya. Nasib menyebelahi mereka apabila Agnes melahirkan anak lelaki bernama Anthony pada1915, dan selepas itu mereka dikurniakan rezeki melimpah. Bagi merayakan kelahiran Anthony, Smith berusaha membesarkan kediaman itu dan merancang pembinaan istana besar, digelar Rumah Kellas (Kellas House) sempena rumahnya di Scotland, nama di kalangan penduduk tempatan, lebih dikenali Kellie`s Castle.

Bangunan itu dirancang untuk menampung 14 bilik, dengan satu bilik bawah tanah membawa ke terowong rahsia. Namun yang dapat dilihat adalah kesan bilik tuan rumah dan bilik dua anaknya di bangunan baru, kesan ruang dapur serta ruang makan di bangunan yang dibina terawal. Dua kepala patung yang tertera pada dinding depan di bahagian luar bangunan, dikatakan melambangkan diri Smith dan anak lelakinya.
Atas bumbung rata, mungkin ini dicadangkan sebagai padang tenis.
Sementara tingkat dua, mahu dijadikan padang tenis. Oleh kerana terlalu taksub dengan agama Hindu dan budaya India, Smith merancang pembinaan mirip seni bina rumah di Madras dengan semua batu bata dan seramik diimport dari India. Dia turut membawa sejumlah besar pekerja buruh India dalam impiannya untuk membina Rumah Kellas menurut seni bina India asli.
Dilihat sekali imbas, reka bentuknya mirip Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. 

Persamaan ketara dari segi susunan batu-bata merah dan bentuk gerbang di sepanjang sisi bangunan. Dalam banyak hal, yang istimewa mengenai Istana Kota Kellie, ia dilaporkan sebagai bangunan pertama yang mempunyai lif di Malaya. Terdapat laluan menghubungkan sayap kanan sampai ke lantai atas selain mempunyai dua terowong yang menganjur di bawah sungai berdekatan. Salah satu terowong menghubungkannya dengan beberapa candi Hindu tidak jauh dari rumah utama. Di tingkat dua, Smith merancang  pembinaan sebuah lapangan tenis dalaman. Pada salah satu lantai, dirancang halaman untuk bersantai kerana kediaman itu mahu dijadikan pusat berhibur bagi pemilik ladang koloni kaya yang telah menetap di Malaya.

Berita mengenai bangunan itu pernah disiarkan dalam akhbar London Financer pada 15 September 1911,  yang mendakwa Rumah Kellas adalah bangunan paling unik di Timur Jauh, sama ada dari segi bentuk ataupun besarnya. Namun bangunan itu tidak sempat disempurnakan apabila Kellie Smith meninggal di Pelabuhan Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926. Bangunan separuh siap itu kini menjadi tarikan pengunjung ke Batu Gajah kerana keunikannya.

Antara cerita misteri yang tidak terungkai mengenai Istana Kota Kellies adalah bangunan itu dikatakan berhantu, berikutan ada orang pernah ternampak bayangan ahli keluarga berkenaan muncul di dalam bangunan itu. Ini menimbulkan tanda tanya sedangkan hakikatnya tidak ada seorang pun daripada ahli keluarga berkenaan yang meninggal di situ. Agnes dikatakan menjual tanah berkenaan kepada orang lain dan meninggalkan kediaman itu setelah pemergian suaminya, membawa bersama kedua-dua anak mereka. 

Setelah dijadikan pusat pelancongan, lokasi itu kini semakin terurus. Sebuah kedai makan, kedai cenderamata serta tapak letak kereta telah dibina oleh Majlis Daerah Kinta Barat pada 1990. Kini Istana Kota Kellie sering menjadi lokasi penggambaran drama  dan filem.

Teori lain kenapa bangunan itu dikatakan berhantu, menurut laporan terdapat kejadian bunuh di dalam bangunan itu. Sewaktu menjadi bangunan terbiar, menurut ceritanya ia pernah menjadi tempat perlindungan kumpulan gangster. Dalam satu pergaduhan di antara kumpulan gangster, ada yang terbunuh di situ.

Satu lagi cerita, keluarga Smith dikatakan amat dihormati oleh penduduk sekitar. Dia disanjungi oleh pekerja ladangnya yang beragama Hindu, sehingga mereka membuat sebuah patung dan diletakkan di dalam bangunan kuil mereka, tidak jauh daripada bangunan situ. Patung itu disembah, ibarat Tuhan mereka.

"Bagi kaum Cina, adalah pantang membina patung orang yang masih hidup dan disembah. Perbuatan itu adalah satu taboo, mungkin itu yang menyebabkan Smith mati tidak lama selepas itu," kata Rosalind, pemandu pelancong kami. Bahkan dikatakan ada terowong yang menhubungkan bangunan itu dengan kawasan kuil berkenaan.



Mulut terowong ditutup dengan jaring untuk keselamatan
 
Kalau sudah seseorang itu disembah dengan upacara-upacara keagamaan, itulah agaknya menyebabkan bangunan ini berhantu, fikir saya. Selain itu terdapat juga cerita, ada orang gaji di situ dipotong tangan oleh majikannya disebabkan sesuatu kesalahan. Namun sejauh kebenarannya cerita-cerita ini, tidaklah diketahui.

Yang pasti, peserta media masing-masing teruja berpeluang melawat bangunan berkenaan. Biarpun usang, mereka tertarik dengan seni bina bangunan berkenaan yang menampilkan susunan batu-bata tanah liat warna terracotta. Dan ada pula yang berkata, terbau sesuatu sewaktu menaiki tangga...pada tidak ada benda di dalam bangunan berkenaan.



Monday, June 4, 2012

Pencarian Gadis JELITA!


 Sabtu 2 hb Jun:  Nak berkongsi cerita sewaktu menghadiri majlis gilang gemilang, Pencarian Gadis JELITA (PGJ) 2012 yang berlangsung di Grand Ballroom Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Hari itu hati berbelah-bahagi antara hendak pergi ataupun tidak. Malas nak naik teksi, mujurlah anak sulung mahu menghantar.

(Sorry gambar tak ikut turutan...)

Top five..









                                                             Bergambar di luar

Majlis bermula jam 3.30 petang, saya sampai sewaktu hadirin semua sudah berada di dalam dewan. Tak kisahlah datang lewat pun, bukan saya bertugas. Hadir hanya untuk memberi sokongan kepada kawan baik, Pn Liza yang bertungkus lumus menguruskan majlis bersama rakan seunitnya, Suriani.


                                                        Tiga pemenang utama

Sesampai, saya terus duduk di meja pendaftaran menemani Liza menerima kunjungan saki baki tetamu. Sebentar kemudian kami masuk, duduk di meja media. Selepas dihiburkan dengan dua  lagu oleh artis jemputan, peserta PGJ muncul di atas pentas, memperaga pakaian songket dari Kraftangan Malaysia. Seronok juga melihat  mereka beraksi cat walk mengikut irama muzik lama. Sewaktu peserta rancak bergaya, Liza dan saya galak mengambil gambar sendiri. Tidak puas hati merakam suasana mjlis dari jarak jauh di belakang, kami  berjalan ke depan untuk menyibuk sama.... mengambil gambar peserta dan tidak ketinggalan gambar sendiri!

                                             Enter frame...

   Pn Liza, janganlah termenung dan bermuram... makanan sudah di hadapan mata

Barisan peserta,,,,


Liza kanan dan rakan setugas


 Terkejut dengan letupan sewaktu pengumuman pemenang.


Liza dan saya ketawa mengekek, lucu dengan gelagat sendiri, motif... mahu mengambil gambar kenangan berlatarkan kegemilangan majlis yang bertemakan warna memukau. Dipendekkan cerita, saya kagum dengan fesyen yang diperaga. Warna songket tenunan mengerlip dipantul cahaya.

Siapakah pemenangnya? Kisah lanjut, kenalah bac majalah JELITA keluaran Julai 2012.
Di sini dipaparkan gambar aksi kami.





Sunday, May 20, 2012

Lara di Hati Bab 9


Alamak dah terlalu lama pula tak upload sambungan novel,... Ini bab yang kesembilan.  Bagi mereka yang nak tahu cerita sebelum ini, semak menggunakan tajuk sementara: 
Lara Di Hati...(mengikut nombor bab).  Tak ada mood pula nak letak sambungan, sebab ada pihak memberitahu bahawa masyarakat pembaca novel sekarang, tidak gemar pada cerita kehidupan serius membabitkan orang yang sudah berumur. Kononnya kalau nak diterima oleh penerbit  buatlah cerita cinta cintun, orang muda. Hamm... macam mana ya nak tukar, sebab cerita ini berdasarkan kisah benar yang berlaku  pada seorang insan..


 Bab 9   Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa 
Manusia hanya boleh berharap dan berikhtiar tetapi Tuhan jua yang maha berkuasa dan menentukan segala-galanya. 
   Cuti hujung minggu Alia, Shariman, Ariana dan Shabudin melonjak kegembiraan dapat berkumpul bersama-sama. Mereka baru sahaja selesai mengemas bilik masing- masing. Selepas makan malam, seisi keluarga menonton TV bersama-sama di ruang tamu. Di luar, kedengaran petir diiringi tiupan angin kencang, tanda hari akan hujan.
      “Budin, Ana, dah tutup tingkap bilik? Hari nak hujan bila-bila masa saja tu,” laung Sharifah Ameera daripada biliknya. Tangannya memegang pen, sibuk mencatat sesuatu untuk mengemas kini jadual perbelanjaan. Belum sempat menghabiskan pengiraan, hujan turun dengan lebatnya. Bunyi air hujan menimpa bumbung membingitkan telinga. Sudah sejam lebih, tidak juga berhenti.
  “Mak! Air tiris… kena katil ni.” Budin menjerit.
      “Bilik Ana pun sama. Apa ni mak?”
Sharifah Ameera bergegas ke bilik mereka dan dilihatnya air semakin mencurah-curah turun daripada siling.
      “Pergi duduk di bilik mak, cepat ambil benda-benda penting. Beg sekolah tu, ambil cepat, nanti kena air!” Sharifah Ameera memberi arahan. Sepantas kilat Budin dan Ana berlari ke bilik ibunya. Terkejut mereka melihat sebahagian siling roboh kerana tidak dapat menampung air yang berladung di atasnya.
        “Mak.. siling roboh!!! Nasib baik tak kena,” jerit Shabudin.
    Sharifah Ameera terpempan. Dia mengucap panjang. Apa dah jadi? Belum seminggu siling baru dipasang. Ini mesti pasang tak kuat, bisik hati Sharifah Ameera.
Bagai mahu tercabut nyawanya apabila dilanda musibah itu. Perkiraan Sharifah Ameera memilih rumah sewa murah sebagai persediaan berjimat untuk hidup sendiri, rupa-rupanya mengundang kesusahan. Kerosakan-kerosakan itu tentunya perlu diperbaiki lagi. Dan pastinya banyak wang perlu dikeluarkan.
  “Bibi, ambil plastik kanvas di belakang, tutup tilam dan gulung karpet tu!”  Sharifah Ameera memberi arahan kepada pembantunya sambil mengangkat apa sahaja barangan yang sempat dicapainya.
      Dengan segera Sameah meluru ke bahagian belakang dapur, mencari kanvas. “Di mana pula letaknya?” Sameah menajamkan matanya. Kelihatan terselit di celah kertas surat khabar, lalu dicapainya dan dia terus berlari ke depan. 
      “Cepat-cepat bentang di atas katil,” arah Sharifah Ameera. Budin yang masih kecil itu cuba menolong, sehingga akhirnya kanvas itu terbentang elok melindungi tilam. Sameah segera berlari ke ruang tamu, cuba menggulung permaidani yang dipasang dari dinding ke dinding.
   “Ibu, karpet ini nggak bisa dicabut?” Jerit Sameah.
      “Yalah… tak boleh cabut, sudah digam. Biarkan. Pergi tengok Alia dalam bilik. Gerak kalau dia dah tidur!”
      “Baik bu!” Bibi Sameah akur, lalu terus meluru ke bilik Alia yang sedang tidur lena.
      “Alia bangun-bangun, atap depan dan bilik tengah bocor. Tolong selamatkan apa  yang patut.” Sameah melihat bilik Alia selamat daripada bocor. “Ibu, bilik Alia tidak bocor. Bawa barang penting ke sini!” Laungnya sambil kemudian berlari ke belakang untuk mengambil baldi bagi menadah air hujan. 
      “Shariman, tolong Bibik… ambil kain ni, buat macam Bibik.
       Shariman meniru perbuatan Sameah, menekap air dengan kain di atas permaidani dan memerahkannya ke dalam baldi. 
      “Kalau air dibiarkan bertakung, nanti rosak karpet ni,” ujar Sameah.
      Sharifah Ameera pula ke hulu ke hilir memainkan peranannya menyelamatkan barangan pentingnya.
      Sebentar kemudian hujan reda, tetapi masih ada air yang menitis daripada siling. Semua bergotong-royong membuat kerja mengeringkan permaidani.
      “Hem bagus, anak-anak mak…. Shariman dan Budin pun tolong keringkan air…,” tegur Sharifah Ameera.
      “Itulah mak, nak sangat duduk di rumah ni. Kalau duduk di rumah kita, tak mungkin jadi macam ni,” rungut Shariman.
      “Shh!!!” Sharifah Ameera memberi isyarat supaya anaknya diam. Tangannya memegang telefon bimbit sambil menekan nombor telefon bimbit Syawal.
      “Hello abang, tolong datang, bumbung rumah bocorlah. Rumah kedai di Taman Desa Mewah. Depan bengkel kereta Ang Eng. Habis semua basah ni, macam mana nak buat ni, datanglah cepat!!!”
      Tidak sempat Syawal bertanya lebih lanjut, Sharifah Ameera yang panik sudah meletakkan telefon. Syawal segera keluar daripada rumah menuju ke keretanya lalu memandu ke arah kawasan yang diberitahu isterinya sebentar tadi. 
      Hampir jam 11.00 malam, Syawal tiba di rumah Sharifah Ameera. Dia terkejut melihat keadaan rumah itu. Apa yang boleh dibuat pada  malam-malam buta ni, aku bukannya tukang, fikir Syawal.
      “Rumah macam ni Meera sewa? Tak macam rumah.” Terpacul ulasan itu sebaik naik ke unit kediaman berkenaan.
      “Eh, Meera panggil abang bukan suruh komen fasal rumah ni. Tolonglah apa yang patut. Apa nak buat ni?” Jawab Sharifah Ameera.
      “Hari dah lewat malam. Nak cari siapa betulkan bumbung malam-malam ni,” balas Syawal. Dia sekadar dapat membantu mengeringkan air bersama-sama anak-anaknya sehingga ke jam 4.00 pagi. Berikutan kejadian itu, Syawal berpeluang tidur bersama anak-anaknya dalam keadaan yang tidak menentu. 
Pagi esoknya.
Sharifah Ameera hampir menitiskan air mata melihat keadaan rumah barunya. Kayu perabot diresapi air. Syawal menggeleng-gelengkan kepalanya. Itulah degil sangat, tak ada penyakit, cari penyakit! Namun dia hanya berani berkata-kata begitu di dalam hatinya. Syawal tidak sampai hati hendak mengguriskan perasaan Sharifah Ameera lagi. Mahu saja dia membawa isteri dan anak-anaknya balik, tetapi dia pasti Sharifah Ameera enggan mengikut.
   “Abang rasa, lebih baik Meera panggil tukang yang sama, suruh dia betulkan semula apa yang rosak ni,” Syawal mencadangkan kepada isterinya.
      “Yalah, saya pun berfikiran begitu juga,” jawab Sharifah Ameera.
      “Minta nombor telefon dia, biar abang pergi cari.”
  “Ya, baik juga abang pergi, bawa dia ke sini segera. Kalau tak ambil, nanti lambat pula atau mungkin dia tak datang terus,” jawab Sharifah Ameera sambil memberi nombor telefon tukang berkenaan kepada Syawal.
  “Siapa nak ikut ayah.” Syawal mempelawa.
   Semua diam. Tak berani tinggalkan emak mereka yang dalam kesusahan.
    “Baiklah, ayah pergi dulu,” kata Syawal sambil berlalu pergi. Dia datang semula sebelum tengah hari bersama tukang.  Kerja membaiki bumbung dan memasang semula siling mengambil masa tiga hari. Hasil pemantauan Syawal, banyak yang diperbaiki sehingga kediaman berkenaan kelihatan lebih sempurna daripada sebelumnya.