Saturday, April 25, 2015

MENINJAU LADANG GAHARU



Pengalaman Cemas  Lawat Ladang


         
                                                                   Ladang rakyat 

GUA MUSANG, 19 April 2-15 -  

Menaiki kereta Hilux mendaki laluan bercerun dengan permukaan tanah senget benget, menghayun kuat tubuh ke kiri dan kanan. Itu pun sudah cukup membuat hati berdebar dup dap dup dup!

Sedang mendaki bukit tinggi hampir 45 darjah, kereta pacuan empat roda terhenti. Pedal ditekan kuat, enjin mengaum tetapi kereta tidak lepas juga untuk naik ke atas bukit. Sebelah kanan, lembah curam. Pemandu beberapa kali berusaha untuk menggerakkan kereta ke depan, tiba-tiba enjin mati. Oh ini lebih mencemaskan.




                                                   Biar dia orang yang selesaikan.

“Jom turun, turun.. takut takut takut!!!” Lantas saya mengajak dua lagi penumpang keluar, enggan mengambil risiko. Dalam kereta pacuan empat roda itu ada tiga penumpang dan seorang pemandu. Sebelum itu kereta mengundur dan kemudian mengambil lajak untuk mendaki jalan bertebing curam itu. Namun masih tersangkut , tidak lepas ke atas. Buatnya kereta tergolek, lembah di kanan ibarat mulut sedang menganga menanti mangsa. Bimbang pemandu tidak dapat mengawal imbangan. Lebih baik turun, sekurangnya kereta akan jadi lebih ringan. Kata hati. Setelah kami turun, sebuah lagi Hilux yang sedang menunggu di depan, datang mengundur ke tempat kami untuk memberi bantuan.


                                    
                                                      Persediaan untuk menarik dengan tali.

Bagaikan sudah berpengalaman, pegawai dari kereta satu lagi turun untuk melakukan misi membantu menarik kereta yang tersangkut. Tali dikeluarkan, diikat pada kereta di belakang dan depan. Beberapa kali berusaha menarik, dengan enjin mengaum kuat, akhirnya Hilux yang kami naiki berjaya juga naik ke atas bukit setelah ditarik oleh kereta di depan. Kepala asyik teringat rancangan ekspedisi land rover di televisyen. Begitulah aksi yang kami alami dan tonton pada tengah hari itu.

Saya dan si dia sedang melawat sebuah ladang rakyat di Gua Musang. Tiga petugas ladang membawa kami untuk melihat lot ladang kepunyaan pembeli. Menurut pegawai berkenaan, asalnya tanah itu berhutan tetapi sudah dibersihkan sebelum ditanami pokok buah-buahan dan gaharu. Pernah dengan gaharu? Tumbuhan serba guna, yang dikatakan sangat mahal harganya hingga mencecah ribuan ringgit sepokok. Minyak gaharu yang terhasil daripadanya, ada berharga tiga ribu ringgit sebotol kecil dan berpuluh ribu satu botol minuman! Seperti pokok kelapa, semua bahagian daripada pokok berkenaan boleh mendatangkan hasil produk.

Mengenai ladang
 

                              
                                            Berbincang...................inilah ladangnya!

Dipendekkan cerita akhirnya kami sampai ke kawasan lot tanah yang dituju. Dalam lot itu terdapat pokok duku, pauh dan durian serta tidak ketinggalan pokok gaharu yang dikatakan berusia sekitar lima tahun. Tanah ladang itu milik anak syarikat negeri Kelantan, yang mengusahakan kawasan berkenaan untuk dijual kepada rakyat negeri berkenaan, bersekali pokok buah-buahan dan pokok gaharu.


                                               
                                                 Daun gaharu dikeringkan, boleh dibuat teh.

Setiap lot berukuran 2 ekar, agak luas juga, setiap satu ekar dikatakan boleh ditanami 400 hingga 1,000 batang pokok gaharu. Namun pada setiap ekar, hanya ditanam 100 batang pokok gaharu, yang mana tidak semua hidup. Selebihnya tuan tanah boleh tanam dan mengurus sendiri ladang atau mengupah syarikat berkenaan setelah serahan hak milik dilakukan.



                                                           
                                                          Pokok gaharu berusia 5 tahun

“Inilah pokoknya. Sudah agak besar. Semua bahagian daripada pokok ini boleh mendatangkan hasil. Daunnya boleh dibuat teh, petik biarkan sampai kering kemudian kisar halus sehingga menjadi seperti serbuk teh,” ujar pegawai yang memandu kereta kami naiki sebentar tadi.



                                                                    petugas ladang

Saya juga pernah dengar bahawa gaharu juga boleh menghasilkan bahan untuk dibuat produk kecantikan. Hasilan utamanya tentulah minyak wangi. Pewangi daripada gaharu ini, menjadi kesukaan masyarakat di negara Arab. Diketahui oleh saudagar Arab, mereka tentunya akan menawarkan untuk membeli atau memajak seluruh kawasan berkenaan untuk ditanami gaharu. Nasib baik pihak pengurusan tidak menjual kepada mereka. Difahamkan ada juga seorang rakyat tempatan yang tinggal di Arab membeli sebahagian lot tanah di situ. Bangsa Cina, juga mengidamkan tanah berkenaan, tetapi ia hanya dijual kepada orang Melayu tempatan. Namanya lagi ialah ladang rakyat! Rakyat tempatan.

               

                                 Pokok limau dan ciku antara ditanam bersama gaharu.




Idarashida@blogspot.com