Friday, November 6, 2009
Nostalgia di kampung halaman.
Nota: Dipaparkan lebihan gambar yang terbit dalam rencana Tamanku Kebunku, Anjung Seri November, 2009 bertemakan taman.
Gambar-gambar ini mengimbau nostalgia saya sewaktu zaman kecil di Kampung Pulau Mansuk, Jerantut, Pahang. Ini adalah rumah ayah saya tetapi kini didiami bapa saudara sebelah emak. Ayah sudah kira-kira 30 tahun tinggalkan rumah ini kerana berpindah ke Bandar Jengka untuk hidup berniaga.
Bangunan di sebelah kanan adalah rumah asal daripada kayu dan papan. Sebelah kiri ialah rumah batu yang dibina oleh Pok Su, kerana keadaan rumah kayu sudah reput dan tidak lagi sesuai dihuni. Atapnya daripada zink dan tentunya sudah bocor. Di rumah inilah Pok Su dan isterinya menjaga Che' (atuk lelaki sebelah mak) sehingga meninggal di usia lewat 90 (anggaran).
Persinggahan sewaktu dalam perjalanan pulang ke Bandar Jengka dari Kelantan di musim raya Aidilfitri lalu, mengimbau nostalgia sewaktu dibesarkan di kampung ini. Sewaktu belum bersekolah, di kebun inilah saya bersama Che dan Mok (Atuk dan Nenek) bercucuk tanam dan memetik buah-buahan. Selepas mereka tua dan uzur, kawasan tanah di belakang rumah ini dibiarkan begitu saja. Pok Su sibuk bekerja menjadi posmen. Isterinya yang kami panggil Mak Itam pula sibuk berniaga di kantin sekolah. Tinggallah kawasan ini bersemak samun. Namun apabila pulang baru-baru, ia sudah bertukar menjadi kebun. Kawasan tanah itu dikerjakan oleh Pok Su dan Mak Itam yang sama-sama sudah pencen kerja.
Iliyana dan Kamil memetik bunga jagung.
Melihat kawasan tanah yang sudah kembali menjadi kebun ini, membuatkan hati teruja. "Semasa kecil, di sinilah mama menghabiskan masa meneman arwah Che dan Mok berkebun," saya memberitahu anak-anak. Mereka dibesarkan di Kuala Lumpur tidak pernah mengalami pengalaman hidup di kampung. "Hah pergilah beraksi, konon-konon sedang bekerja kampung. Beginilah keadaan berkebun," kata saya sambil menghalakan lensa kamera kepada mereka.
Iliyana dan adiknya, Irfan Kamil belajar menyiram pokok sayur. Pokok-pokok bendi tumbuh subur, mendapat cukup baja dan siraman air.
Iliyana cuba menggunakan kereta tolak, manakala Kamil mencangkul tanah sambil tersengeh-sengeh lucu. "Orang zaman dulu kena menanam sendiri untuk makan sayur, bukan macam kita di zaman sekarang main beli sahaja," kata saya.
Paling terharu apabila melihat buah tembikai ini. Ingat lagi sewaktu seluruh kawasan ini ditanami pokok tembikai, yang diusahakan oleh Che dan Mok. Sewaktu saya masih budak. Terhegeh-hegeh menggendong buah tembikai besar yang sudah masak. Gemar menolong mereka memetik dan memunggah buah-buah berkenaan.
Sewaktu kamil menguis-nguis tanah dengan parang, tiba-tiba terkena putik tembikai in. Lalu terpotong dan terbelah dua. "Sayangnya, dah terpotong. Muda lagi ni, kenapa Kamil buat macam tu," saya menegur Kamil.
"Kamil tak sengaja."
"Tak apalah ambil, bawa balik buat sayur," kata saya.
Il
"Tengok apa dah jadi dengan buah ni," marah Iliyana kepada adiknya. Beginilah keadaan isi tembikai yang masih muda. Che dan Mok dahulu menggelar buah ini `timun cina.'
Iliyana teruja melihat kebun Pok Su, seronok benar dia beraksi mengambil gambar di dalam kawasan kebun itu. Sanggup pergi tukar baju dan pakai topi Cina sayur.
Pokok kelapa, betik dan dan durian di belakang rumah ditanam oleh arwah Che. Sewaktu segar, arwah tidak boleh duduk diam, setiap hari memegang cangkul dan bercucuk tanam. Ayah membeli tanah ini daripada salah seorang penduduk kampung yang baik hati menjual sebahagiannya daripada kawasan tanah yang didiaminya.
Subscribe to:
Posts (Atom)