Disebabkan ini laman blog peribadi, jadi apa yang nak saya tulis tentulah berkisar mengenai kegiatan harian. Semenjak dua menjak ini, asyik berada di rumah kerana melayani kerenah tubuh badan yang mendambakan layanan manja.
Maksud saya, kena jaga makan minum.... mengikut jadual waktu yang ketat. Tersilap waktu makan nanti perut masuk angin, tiba-tiba lapar macam sebulan tak makan. Kalau dah jadi macam tu nanti parah pula nak kembali kepada keadaan asal.
Bila direnung-renung rasa rasa sangat bersyukur, kerana penyakit ini hanya dirasai di peringkat lewat usia, bayangkan mereka yang mengalami sejak zaman kanak-kanak. Tidak tahu bagaimana mereka yang terbabit boleh bertahan. Baru sahaja saya mengenali penyakit ini. Dalam proses untuk menyesuaikan diri dan mengatur jadual waktu makanan.
Ramai kawan-kawan memberikan tip, rupa-rupanya mereka semua mendapat penyakit ini lebih awal. Seribu satu tip dah yang dikumpul, senarai makanan yang pantang dimakan berjela, apabila dibaca di search di internet, seolah semuanya tidak boleh dimakan.
Namun yang peliknya, menurut doktor pakar yang saya jumpa di Pusat Perubatan Tawakkal, pengidap gastrik jenis reflux tidak perlu pantang makan. Tidak tahu sama ada hendak percaya atau pun tidak. Katanya, cuma perlu jaga kadar makanan yang diambil. Jangan makan terlalu banyak pada satu masa kerana ia boleh membuat perut senak apabila isi terlalu penuh. Keadaan itu yang membuat asid makanan naik ke atas, disebabkan injap di saluran makanan longgar.
Faktor kelonggaran injap di saluran makanan itulah sebenarnya yang menjadi punca berlakunya reflux. Kelonggaran injap juga menyebabkan angin masuk dengan mudah ke dalam perut dari mulut dan membuatnya terasa kembong. Apabila angin berlegar di dalam perut, diri akan terasa tidak selesa sehingga angin berkenaan terus mengalir ke bawah, berputar dalam saluran usus dan keluar dalam bentuk apa yang dinamakan kentut!
Untuk mengawal masalah penyakit itu mudah sahaja, kata doktor pakar terbabit.
* Berhenti makan sebelum kantung perut penuh dan
* Makan sebelum perut lapar.
* Minum air jangan sekali gus.
* Minum air bergelas secara berdikit-dikit.
* Selain lakukan senaman perut - membuncit atau mengembangkan perut - untuk latihan menguncupkan semula lubang injap, begitulah lebih kurang yang dinasihatkan oleh doktor berkenaan.
* Doktor itu juga berkata, ubat bukan penawar yang berkesan untuk mengubat penyakit berkenaan.
* Yang penting adalah amalan seperti yang diajar.
Ya, dengar seperti mudah sahajakan tetapi hakikatnya untuk kembali keadaan kesihatan asal, tidak semudah yang dibicarakan.