Friday, September 4, 2009

Berita Baik Lagi Untuk Iliyana


5 September 2009 - 12.00 tengah hari.

Sedang menulis sms kepada seorang datuk mahu meminta tolongnya supaya mendapatkan dana daripada PM untuk pembelian buku Diari Khidmat Negara (DKN) Iliyana, tiba-tiba telefon berbunyi. Tidak sempat memicit butang untuk menghantar sms, alamak... telefon berbunyi. Saya menjawabnya... terdengar suara seorang perempuan.

"Hello, itu Iliyana atau ibunya?"
"Ya... ini ibu dia."
"Nak beri tahu, buku Iliyana tu dah diterima (oleh Perpustakaan Negara)."
"Ya? Alhamdulillah."
"Inilah nak bagi tahu, tolong datang segera... kalau boleh Iliyana datanglah... bawa dokumen bukti nombor akaun atas nama Iliyana sebagai penulis buku itu. Kalau boleh datang Isnin ini. Cepat datang, cepatlah dapat diuruskan," kata suara itu.
Dalam kegembiraan, saya menjawab, "Baiklah. Baiklah. Hari Isnin insya-Allah dia datang. "

Sejak semalamnya saya hampir kecewa. PTS sudahpun mendapat senarai buku yang diterima oleh perpustakaan. Iliyana mahupun saya tidak mendapat sebarang berita. Namun seharian itu saya masih menaruh harapan, terus berdoa di dalam hati agar buku DKN diterima. Saya menunggu-nunggu panggilan dpd perpustakaan. Saya menyesal, tidak bersungguh-sungguh berdoa selepas solat. Kadang-kadang saja apabila teringat. Saya mempertaruhkan solat hajat oleh ayah sewaktu buku itu hendak dicetak.

"Ayah tolonglah solat hajat untuk kejayaan buku itu, doalah supaya semua berjalan lancar dan Iliyana tidak ditipu orang atau kerugian," pinta saya.

Beberapa hari selepas itu, ayah memberitahu dia sudahpun melaksanakan solat hajat. Begitulah saya. Sejak waktu bersekolah lagi, setiap kali ingin menduduki peperiksaan besar, akan meminta ayah solat hajat untuk kejayaan saya. Ingat lagi, sewaktu SPM - selesai kertas akhir, saya menangis sepuas hati kerana tidak yakin akan lulus subjek-subjek sains. Saya memang tidak suka aliran sains. Ayah tidak membenarkan saya tukar ke jurusan sastera. Rupa-rupanya berkat doa ayah saya lulus juga SPM, tetapi sekadar dapat ke tingkatan enam jurusan sastera.
Tidak yakin lulus STPM, tetapi berkat doa ayah juga saya lulus dan berjaya memasuki ITM.

Kembali kepada bab buku Iliyana, ibu juga berpesan supaya sentiasa berdoa dan membaca ayat seribu dinar setiap kali selepas solat untuk mendapatkan apa yang kita hajati. Tapi biasalah, sibuk, setiap kali selepas solat tidak sempat nak berdoa panjang... paling-paling berdoa dalam Bahasa Melayu secara direct, meminta apa yang dihajati atau memohon doa setiap kali teringat.

Selepas mengetahui berita baik itu, saya terus sujud syukur. Kebetulan ketika itu berada di dalam surau. Menitis air mata kegembiraan kerana apa yang saya usahakan untuk anak saya berjaya juga akhirnya - walaupun Iliyana hanya mendapat separuh daripada jumlah maksimum bayaran yang diperuntukkan kepada penulis, saya tetap bersyukur.

Dengan berita itu, lantas saya tidak jadi mengirim sms kepada datuk berkenaan. Tunggulah di lain hari...