Tuesday, May 24, 2011

Cabaran Kembara

 MicrosoftInternetExplorer4


 
Tajuk: Cabaran Ekspedisi Madu Lebah Tualang
Tulisan: RASHIDAH IBRAHIM
Kredit foto: Anis Jelita


 
     Bersiap sedia untuk memulakan ekspedisi

Melalui perjalanan dengan bot nelayan selama tujuh jam di sungai diselang-seli berjalan kaki meredah air deras di kawasan jeram merupakan pengalaman sangat mengujakan sewaktu menyertai rombongan Ekspedisi Madu Lebah di Ulu Muda, Kedah Mei lalu.
Gembira tidak terhingga apabila berjaya menempuhi cabaran perjalanan ke destinasi, tanpa mengetahui bahawa ada lagi beberapa cabaran sedang menanti. Yang pasti, apa yang dialami itu menyempurnakan satu perjalanan dinamakan ekspedisi! Kata orang, bukanlah satu ekspedisi andai perjalanan tidak menempuhi bermacam cabaran.


    Di atas jeti Kuala Muda

Sudah lama berangan-angan untuk menyertai ekspedisi seperti itu. Pada mulanya gentar juga untuk menaiki bot berenjin sangkut yang hanya muat tiga orang. Pada permulaan perjalanan, saya dan dua lagi peserta duduk tegak seperti patung agar bot tidak bergoyang. Tidak dapat mengelak daripada memikirkan perkara bukan-bukan, misalnya terjatuh di dalam air, sampan tiba-tiba bocor atau enjin terhenti.
Selepas beberapa minit duduk di dalam sampan yang bergerak laju dipermukaan tasik yang luas terbentang, rasa gementar beransur hilang. Beberapa jam selepas meninggalkan Jeti Empangan Ulu Muda, air tasik yang jernih kebiruan bertukar keruh. Saya lantas bertanya kepada pengemudi bot, “ini tasik atau sungai?”



   Mula-mula, bot melalui a ir tasik yang tenang


“Yang tadi tasik, sekarang sungai,” jawab lelaki berkulit putih berusia dalam lingkungan 30-an yang kelihatan tenang mengemudi bot yang kami naiki. Bermakna perjalanan kami untuk ke hutan Ulu Muda, melalui tasik dan sungai. Terdapat kira-kira 30 bot bergerak secara konvoi menuju ke hutan Ulu Muda tempat peserta akan dibawa melihat kegiatan memungut madu lebah di pokok tualang. Ekspedisi itu disertai hampir 100 orang, antaranya ahli media, pelajar sekolah dan pegawai Mada. Tidak ketinggalan, pegawai Fama dan Tourism Malaysia yang bekerjasama menjayakan ekspedisi itu.


 Selepas melepasi tasik, bot mula memasuki sungai.
Selepas tiga jam melalui perjalanan selesa sambil duduk memerhati keindahan alam sekeliling, kami dikehendaki turun dan naik bot beberapa kali apabila perjalanan melalui halangan dari satu jeram ke satu jeram. Saya tidak dapat ingat berapa kali turun mengharungi air, ada tempat cetek dan ada yang dalam separas pinggang. Lebih daripada empat jeram yang harus kami tempuhi. Berjalan dalam air deras, memijak pasir dan batu besar menyakitkan kaki jika tidak memakai kasut. Akibat terlalu lama mengharungi air, kasut beberapa peserta terkopak tapak apabila gamnya tanggal.
     Sewaktu taklimat di bilik Hotel Star City, Alor Setar semalamnya, kami dijadual sampai ke tapak perkhemahan pada tengah hari. Kami bertolak dari jeti jam 10 pagi, sejam lewat daripada jadual dan dijangka sampai jam 2 petang tetapi sebaliknya perjalanan berlarutan sehingga 5 petang yang mengambil masa 7 jam. Ini berikutan banyak kali berhenti menunggu bot-bot di belakang, bagi mengelakkan ada yang tertinggal.


    Kesan belerang di kawasan air panas Sira MAS

Sewaktu menyusuri sungai, kami dibawa singgah ke kawasan mata air panas, Sira Mas. Kami diberitahu, kawasan anak sungai itu adalah tempat gajah turun mendapat air bagi mengubati luka-luka di badannya. Di bahagian tertentu terdapat kesan belerang, hampir sama dengan keadaan dalam kawah gunung berapi yang saya lihat di Tangkuban Perahu, di Bandung.
     Melihat kesan najis dan tapak gajah di situ membuatkan hati berdebar-debar, adakah haiwan besar itu boleh datang bila-bila masa? Bagaimana kalau ia tiba-tiba muncul? Khayalan saya dikejutkan oleh rasa panas yang teramat apabila terpijak punca air panas. Seperti terkena air mendidih, kulit kaki menjadi merah tiba-tiba, mujurlah tidak sampai melecur kuat. Kemudian kami meneruskan perjalanan.
     Sebaik tiba di tapak perkhemahan, sudah terhidang makanan disediakan kumpulan tukang masak yang berada di situ sejak sehari sebelumnya. Tepat pada masanya apabila perut sudah berkeroncong, masing-masing me­ngambil pinggan dan beratur mengambil makanan. Kami makan secara berselerak di tepi sungai. Makan nasi dimasak dalam buluh dengan kerabu pucuk paku dan ikan talapia bakar, cukup menyelerakan. 


 Menyelusuri anak sungai untuk ke kawasan air panas Sira Mas.

Sebelum gelap, jurugambar dan beberapa penulis dibawa ke pokok tualang di tengah hutan untuk merakam kegiatan memasang sigai iaitu tangga yang membolehkan pemungut naik ke atas pokok tualang untuk memungut madu. Mereka berjalan 20 minit ke sana sambil menghadapi cabaran digigit pacat. Saya tidak ikut kerana bercadang pergi melihat kegiatan memungut pada sebelah malam.
    Menjelang maghrib, khemah-khemah didirikan untuk kami bermalam.
Menurut rakan penulis, Suliati Asri, mereka terpegun melihat ketinggian pokok tualang yang mempunyai tiga sarang lebah, menyamai bangunan 10 hingga 12 tingkat. Bermakna pemungut akan memanjat sigai setinggi itu. Sewaktu sampai, empat daripada lapan pemungut sudah memasang sigai.
Lantaran hari sudah gelap dan jarak di antara sigai dan sarang sangat dekat, kerja itu tidak dapat diteruskan. Selesai merakamkan gambar mereka kembali ke tapak perkhemahan.


 Menunda bot di kawasan jeram

Selepas menikmati hidangan makan malam cukup istimewa iaitu sup dan daging rusa goreng, pengumpul madu kembali ke kawasan pokok tualang. Ahli media seramai 30 orang menyusul selepas waktu isyak. Siap mengenakan sarung kaki untuk menghindari pacat, tiba-tiba saya kecut perut, lalu `mengangkat bendera putih’. Pertama, takut berjalan di dalam gelap di tengah hutan, kedua takutkan pacat dan ketiga, bimbang percuma disengat lebah. 


Pokok tualang dirakam pada waktu senja, di atasnya terdapat sarang leba
Sebelah malam, kegiatan memungut madu diadakan.
Sewaktu menunggu mereka pulang, salah seorang yang berkawal menyedari air memasuki dua khemah yang dibina berhampiran gigi sungai. Saya difahamkan, air yang tiba-tiba sebak menunjukkan hujan lebat di hulu sungai.
Dalam kepekatan malam itu, saya belajar beberapa panduan perkhemahan. Pengalaman itu mengingatkan kepada sesiapa saja agar tidak membina khemah berhampiran gigi sungai.
    “Air boleh naik secara tiba-tiba sewaktu mereka tidur dan keadaan ini sangat berbahaya jika tidak ada orang berjaga. Air yang naik secara tiba-tiba boleh menyebabkan kehilangan nyawa kepada mereka yang berkhemah berhampiran gigi sungai,” kata seseorang yang tidak jelas wajahnya dalam kepekatan malam itu.
 
 Makan ikan tilapia bakar, sungguh enak

Saya mulai faham mengapa kemalangan mudah berlaku di kawasan perkhemahan berhampiran sungai. Walaupun ketika itu sungai cetek, air boleh naik mendadak sehingga kita tidak sempat menyelamatkan diri.
    Sedang khemah di bawa ke atas tebing, bot pula diperiksa oleh pemilik masing-masing. Mereka bangun daripada tidur mengalihkan tali tambatan bagi memastikan bot tidak hanyut.
Daripada mereka, saya mempelajari satu lagi perkara. Jika hujan lebat di sebelah hulu, air sungai di kawasan yang tidak hujan turut sebak dan mengalir deras. Ia akan menghayutkan dengan laju keseluruhan isi sungai termasuk batang pokok dan ini sangat berbahaya kepada mereka yang menaiki bot atau mandi.
   “Jika air tidak surut, mungkin berbahaya bagi kita untuk menaiki bot dalam keadaan air deras esok,” sampuk seorang lagi.
     Menjelang jam dua pagi, kumpulan yang pergi melihat kegiatan memungut madu lebah sampai ke tapak perkhemahan.
Saya diberitahu, kegiatan memungut madu itu dilakukan secara berkumpulan. Sebelum memulakan operasi, pemungut membaca al-Fatihah tiga kali serta beberapa surah lain dan berdoa agar segalanya berjalan lancar.
    Ketika proses memungut,kumpulan media duduk dalam keadaan gelap gelita. Jamung (api)dinyalakan dan direnjis ke bawah, diikuti bunyi lebah mengikut jamung sampai ke bawah pokok. Ketika itu, suasana sukar digambarkan dengan kata-kata. Dalam kegelapan, hanya kedengaran bunyi lebah.
   Sementara itu, bekas untuk menadah madu dinaikkan dengan tali besar. Sebahagian sarang dipotong dan dimasukkan ke dalam bekas sebelum dibawa turun menggunakan tali saiz kecil.
Ahli media diberi peluang melihat dan merasa madu segar yang diturunkan daripada pokok. Pengalaman paling mahal, apabila beberapa orang daripada mereka tidak terlepas daripada disengat lebah! Namun dengan mengamalkan petua menyapu madu di tempat gigitan, bisa sengatan beransur hilang.

 
 Nasi dimasak dalam buluh ini.

Kami difahamkan, tugas memungut madu lebah perlu diselesaikan sebelum jam 4 pagi. Jika cuaca terang, lebah akan terbang ke sarang semula dan pemungut madu pasti terdedah kepada bahaya dise­ngat.
   Balik ke khemah selepas selesai menyaksikan `acara’ penuh debaran itu, mereka dijamu minuman ringan. Masing-masing keletihan tidur. Yang perempuan masuk ke dalam khemah tertutup untuk tidur dan yang lelaki tidur di bawah khemah terbuka.
Dek bimbang pacat terbawa ke dalam khemah tanpa disedari oleh kawan yang masuk ke hutan, saya rela duduk di atas pangkin, menahan tidur sampai ke pagi bersama seorang lagi rakan.
   Pagi esoknya kami menyaksikan keletah Chef Anuar dan pembantunya menjalani rakaman demonstrasi memasak yang disiarkan secara langsung oleh TV9. Selesai bersarapan, kami meninggal­kan tapak perkhemahan ke Jeti Empangan Sungai Muda. Mengelak risiko air deras, kami diarah berjalan kaki sehingga melepasi kawasan jeram. Maka saya melalui satu lagi pengalaman baru, menjalani `jungle treking’, menyelusuri denai dan meredah hutan bersama peserta yang ramai itu. 











 Nasi yang sudah dimasak dengan cara dibakar, sedang dikeluarkan daripada buluh.
 
Kepenatan berjalan kaki selama empat jam, turun naik bukit, melangkah batang pokok, mengelak halangan dahan dan akar yang terjuntai bukanlah satu masalah bagi saya. Ia sebenarnya satu pengalaman yang menyeronokkan jika tidak diganggu masalah pacat yang seakan berpesta di permukaan tanah lembab disirami hujan. Pacat-pacat itu pantas menghidu manusia dan berceracak menunggu untuk naik ke kaki. Ini menyebabkan sebahagian daripada kami berjalan terlompat-lompat, ketakutan selain sekali sekala mengelak daripada terpijak najis gajah.
   Dalam perjalanan, peserta diperkenalkan dengan sejenis akar pokok yang boleh mengeluarkan air bersih. Masing-masing tidak lepaskan peluang menadah mulut untuk minum bagi menghilangkan rasa dahaga.
    Selepas berjalan melepasi kesemua jeram, kami menunggu bot di sungai untuk menyambung perjalanan ke jeti Empangan Sugai Muda. Sampai di jeti sekitar jam tiga petang, kami terus ke Pusat Pemprosesan Madu Lebah di Fama cawangan Kuala Nerang, mengakhiri ekspedisi dua hari satu malam yang penuh cabaran itu.

Setelah dua hari menempuhi cabaran ekspedisi, saya bersyukur dapat pulang ke jeti dengan selamat, Yes, kami boleh!!!