Tuesday, January 12, 2010

Kisah Kamil


Nama budak lelaki ini Irfan Kamil. Dia berusia 13 tahun dan baru saja masuk tingkatan satu. Di kalangan ahli keluarga dia dipanggil dengan nama singkat Kamil saja. Sejak dulu Kamil bercita-cita nak jadi juruterbang. Kamil pun tak tahu kenapa dia minat sangat dengan kerjaya itu. Kalau cik gu atau sesiapa bertanyakan cita-citanya, itulah yang dia jawab. Mamanya bangga dengan jawapan itu. Tapi dalam hati mamanya, terselit rasa bimbang. Bolehkah Kamil jadi juruterbang?

Kamil tahu kenapa mamanya bimbang. `Yalah badan aku ni kecil sangat. Ikut saiz mamalah. Tak macam kakak dan abang. Besar tinggi, ikut saiz papa. Abang dan kakak selalu gelakkan aku. Aku pun risau, dah masuk tingkatan satu tahun ini, tapi badan masih kecil masih macam budak sekolah rendah," bisik hati Kamil. Dalam hatinya berazam untuk rajin bergayut agar cepat tinggi. Itulah yang kerap disarankan kepadanya. Seorang kawannya mencadangkan agar Kamil kerap makan kacang panjang. Betulkah saranan itu? Bisik hati Kamil. Namun Kamil jarang dapat makan kacang panjang. Pergi bergayut di padang pun sesekali sahaja. Jadi tidaklah ketara perubahan badannya. Bagaimanapun, apabila nak naik tingkatan satu...sedar tak sedar ada sedikit perubahan ke atas dirinya. Tinggilah sedikit. Tapi masih dalam kategori kecil.




Kamil bergambar di tengah sawah selepas melawat sebuah sekolah agama di Sabak Bernam. Dia tak jadi masuk sekolah itu.


Berbalik kepada cita-cita Kamil untuk menjadi juruterbang... budak kecil ini terdidik dalam sekolah agama swasta di peringkat sekolah rendah. Makanya dia sangat mengambil berat mengenai pelajaran agama. Jadi Kamil bukan setakan mahu menjadi seorang juruterbang biasa, dia mahu menjadi seorang juruterbang yang berilmu agama. Harapannya agar dapat memasuki sekolah Tahfiz." Itu juga yang diharapkan oleh mamanya. "Kalau Kamil berjaya menjadi Hafiz, apabila jadi juruterbang, Kamil akan mendapat gelaran Kapten Irfan Kamil Al-Hafiz. Kalau jadi doktor, Kamil akan digelar Doktor Irfan Kamil Al-Hafiz," kata Kamil. Itu gara-gara uztaznya yang sudah menanam kuat kepentingan ilmu akhirat di sanubari anak didiknya. Kalau tak dapat sekolah tahfiz, sekurang-kurangnya dia mahu masuk sekolah menengah agama.

"Kenapa Kamil nak sangat sekolah tahfiz?" Soal mamanya.
"Sebab uztaz Kamil kata, kalau kita jadi hafiz, insya-Allah mati nanti dapat masuk syurga," jawab Kamil. Namun pada suatu hari Kamil juga pernah menyebut, "Tak mahulah Kamil jadi hafiz."
"Kenapa?" Soal mamanya.

"Uztaz kata, kalau kita sudah jadi hafiz dan kemudian lupa.....nanti payahlah pula nak masuk syurga," jawab Kamil.

Mama Kamil diam. Dia tak berapa nak tahu mengenai bab itu. Jadi dia tak jadi nak komen apa-apa. Apa pun yang pasti, mama Kamil mendapati Uztaznya kuat mempengarahui murid-murid ke arah ilmu agama dan akhirat. Nasihat uztaz meresap masuk ke lubuk jiwa murid-muridnya sehingga mereka lebih mengutamakan pengajian sekolah agama daripada sekolah kebangsaan. Ini membuat mama Kamil sangat susah hati. Ingat lagi waktu nak menduduki peperiksaan UPSR dab PSRA setahun lalu. Ketika itu Kamil akan menduduki dua-dua peperiksaan pada hujung tahun. Kedua-dua peperiksaan itu hanya senggang seminggu.
Wah macam mana nak bahagikan masa ni, kata mama Kamil. "Kamil jangan lupa baca buku sekolah kebangsaan juga. Peperiksaan UPSR pun penting juga," mamanya sentiasa berpesan.
Kamil dibiarkan membaca buku dalam bilik seorang diri. Kamil tidak suka diganggu apabila membaca. Mama membuka buku-buku rujukan dan peperiksaan sekolah kebangsaan di hadapan Kamil. Jangan lupanya yang baca ni juga.

Sesekali mama Kami menjenguk ke dalam bilik. Dia lihat Kamil masih baca buku sekolah agama. "Kami belum baca buku sains, buku Inggeris ni?" Tegur mamanya.

"Tak lagi," jawab Kamil. Dia sedang asyik menghafal salah satu mata pelajaran agama.

Mamanya tak sampai hati nak kacau konsentrasi Kamil tetapi dalam hatinya risau juga, bila Kamil nak baca buku-buku sains, Bahasa Malaysia, Inggeris.... dan jangan lupa buat latihan Matematik tu.

"Jangan tak baca buku tu juga ya? Matematik tu, kena buat ulang kaji." Kamil senyap. Tidak mengendahkan kata-kata mamanya. Mamanya keluar semula. Sebentar kemudian masuk mengintai lagi. Dia lihat Kamil masih lagi membaca buku agamanya..."Ya Allah ya Tuhanku....harap-harap Kamil lulus kedua-dua peperiksaan," Mamanya berdoa.
Kamil bersama mamanya ketika bercuti di sebuah resort dalam `hutan' di Janda Baik, Bentong Pahang.

Memanglah sebagai ibu, mama Kamil mengharapkannya ditanam ilmu agama sejak daripada awal. Maklumlah kata mama, abang dah kakak dah terlepas. Tidak sempat menamatkan sekolah agama. Abang Kamil, IrfanIzzat sekolah agamanya, hanya setakat darjah lima manakala kakaknya Iliyana berhenti di darjah tiga sahja. Makanya abang dan kakaknya tidak berapa tahu tulis dan baca jawi macam Kamil. Dan mereka juga sering alpa dengan keseronokan dunia hiburan. Di rumah Kamil dipanggil uztaz oleh kakaknya. Ini gara-gara Kamil suka menegur kakaknya, membuatkan kakanya rimas.

"Kakak nak masuk neraka. Kakak tak pakai tudung. Kenapa Kamil tengok saudara yang lain semua pakai tudung." Kamil maksudkan kepada sepupu-sepupu perempuan dan ibu saudaranya. Mereka semua pakai tudung. Bahkan Kamil juga berani menegur mamanya. "Mama tak cantik pakai macam tu. Baju ketat. Pakai seluar...tudung nampak leher..." itulah teguran biasa daripada mulut Kamil. Kadang-kadang membuat mamanya juga turut rimas.
"Ala.. mak-mak saudara Kamil tu duduk di mana... mereka tinggal di kampung. Mama kerja di ofis. Jumpa orang besar, keluar masuk hotel. Jadi mama kenalah pakai lain sikit, macam ni." Jawab mamanya. Kamil diam.

Kakak Kamil lagi laser. Apabila Kamil menegur, kakaknya akan menjawab. "Apa kau susah, aku yang masuk neraka?"

Aduh, bukan Kamil saja yang marah dengan jawapan kakaknya itu. Bahkan jawapan kakaknya itu menggoncangkan hati mamanya.

"Apa adik cakap macam tu?" Mamanya menggelar kakak Kamil adik sebab sudah terbiasa dengan gelaran dia sewaktu kecil. Kadang-kadang mama Kamil juga sakit hati dengan gelagat kakak Kamil. Suka bergaduh dengan adiknya, tak mahu beralah. Kamil pula suka juga buat kakaknya marah. Tapi bila mama dan papa Kamil tak ada, kakaknya juga yang perlu menguruskan Kamil. Membeli makanan atau membawanya ke mana-mana.
Kamil bersama kakaknya. Ambil gambar berdua pun macam tak ikhlas.


"Kau jangan nak mengada-ngada dengan aku, nanti aku tak tolong kau lagi.. Kau tu macam budak kecil, dah besar darjah lima enam pun nak kena diambil air minuman. Tak boleh ambil sendiri ke? Aku dulu semua buat sendiri tahu?" Begitulah selalunya jawapan balas kakaknya apabila mereka bergaduh.