11 Ogos 2009
KUALA LUMPUR -
Dalam pada takut-takut nak keluar pergi ke tempat orang ramai, kena juga pergi (takut H1n1). Pagi tadi kena pergi satu majlis pelancaran anjuran MTIB. Bukan nak cerita fasal majlis itu, tetapi nak berkongsi satu lagi petua yang diberikan oleh salah seorang pegawai MTIB.
Ada juga beberapa kali berjumpa dia, tetapi tidak tahulah pula dia nia `uztaz'. Kami tahu apabila dia dijemput membaca doa sebelum majlis dimulakan. Beriya- iya bacaan ayatnya. Saya fikir, dia ni tentulah hebat ilmunya.
Selepas majlis, sewaktu makan sambil berdiri, sebagai orang PR, dia datang ke tempat kami dan bersembang. Saya buka cerita mengenai H1N1, dia pun bagi tahulah beberapa petua. `Dia bagi tahu beberapa ayat untuk dibaca dan diamalkan.... alamak, tengah sibuk macam itu, macam mana nak ingat. Lepas tu dia beritahu lagi satu petua."Petua ni juga boleh diamalkan untuk elak santau," katanya.
Caranya, ambil kelapa hijau - macam mana nak kenal kelapa hijau yang mujarab- iaitu kelapa berkulit hijau tetapi apabila cabut tampuknya, akan nampak merah jambu pada bekas tampuk itu. Potong, ambil isi dan airnya masuk dalam bekas. (kalau tak jumpa, kelapa hijau yan itu, kelapa yang mana-mana pun boleh juga) Lepas itu rebus air dan isi kelapa tadi dengan pokok serai bersama akar-akar sekali. Bila sudah mendidih, biarkan sejuk sedikit dan kemudian bacalah selawat tiga kali dan ada jugala beberapa doa lain yang katanya mudah saja. Tapi biasalah bagi saya yang baru dengar, susah juga.
"Cara ini, boleh menawarkan apa jua penyakit dan serangan benda-benda yang tidak baik kepada kita, boleh jadi pendinding," katanya. Maknanya boleh diamalkan kalau terkena H1N1.
"Pendiding itu sebenarnya, adalah cara amalan kita. Kalau nak berkesan (pendinding), semua gerak-geri seharian kita ada adab-adabnya. Itu semua sudah tertera dalam Quran. Tinggal kena ikut sahaja. Tapi ramai daripada kita tak ambil endah.
"Mana encik dapat petua ini?"
"Saya berguru di Sekolah Pondok Pasir Tumbuh Kelantan, tetapi guru itu orang Kedah. Ayah saya dan datuk saya juga pengamal pengubatan tradisional," katanya.
"Pernah mengubat orang?" saya tanya.
"Saya tak dedahkan kepada orang mengenai ini, tetapi kalau ada orang minta tolong, insya Allah saya akan tolong," katanya yang tidak keberatan ditemui semula untuk mendapatkan serba sedikit ilmu dan petua pendinding diri.
Lama juga kami berbual. Sedar-sedar, bila tengok kiri kanan dah hampir tak ada orang. Tinggal beberapa staff MTIB dan pelayan sedang mengemas makanan di ruang legar Ballroom Hotel Istana.