Siang tadi, saya dikejutkan oleh pertanyaan seoran
g kawan, "Mengapa tak masukkan sambungan kisah novel?" Aik, berminatkah... saya garu-garu kepala, sambil menjawab: "Tak ramai yang komen, jadi tak ada moodlah nak letak sambungan."
g kawan, "Mengapa tak masukkan sambungan kisah novel?" Aik, berminatkah... saya garu-garu kepala, sambil menjawab: "Tak ramai yang komen, jadi tak ada moodlah nak letak sambungan."
"Ada.. ramai tu baca... mereka semua silent reader, macam saya. Saya pun baca!"
Kata-kata itu mendorong saya meletakkan sambungannya di sini.
Sebelum orang kutuk, biar saya mengaku, dah tentu ceritanya semakin hambar! Apa-apa pun, kalau nak layan, layaaan sajalah.... Zaasss!
Bab 2 ini bersambung dengan Bab 3
“Usah dikenang peristiwa silam, kerana yang lepas tak mungkin berulang.”
Sambil memgemas rumah pada pagi itu, Rita Nadia terus terkenangkan nasib rakannya Sharifah Ameera. Selesai menukar pengikat tali langsir, Rita Nadia duduk di hadapan TV. Matanya sahaja memerhati aksi pelakon di kaca TV tetapi hatinya masih terkenangkan nasib kawannya itu. Sedang berfikir bagaimana untuk menyelamatkan rumah tangga kawannya itu, tiba-tiba tersembul Sharifah Ameera di muka pintu rumahnya.
“Assamualaikum Rita…hai khusyuknya tengok TV. Berapa kali aku ketuk, tak dengar?” Sharifah Ameera menolak pintu, lalu terus masuk mengejutkan Rita Nadia yang sedang mengelamun.
“Sorry, sorry, sorry. Tak dengar. Masuklah,” pelawa Rita Nadia sambil tangannya pantas mengutip kertas surat khabar di atas lantai.
“Tak apalah, aku bukan hendak duduk lama pun. Datang ni nak tanya, ada tukul tak?”
“Tukul?”
“Ya, tukul.”
“ Di mana pula aku letak ya… Nak hias semula rumah ke? Lambat lagilah raya,” sampuk Rita Nadia.
“Bukan, sebenarnya aku dah pindah. Banyaklah benda nak buat di rumah sewa aku tu.”
“Maksudnya, jadi juga kau pindah?” Pantas Rita Nadia menyoal.
Sharifah Ameera mengangguk.
“Syawal macam mana, dia tak marah?”
“Kan aku dah kata, aku nekad…” jawab Sharifah Ameera dengan nada sedikit hampa.
Rita Nadia menggeleng-gelengkan kepalanya, kesal dengan tindakan kawannya itu.
“Dah, tak payah fikir pasal aku, pergilah cari tukul cepat!” pinta Sharifah Ameera. Tidak sabar untuk mendapatkan alat memaku itu.
“Tunggu sekejap, aku pergi cari.” Rita Nadia lantas bangun, menuruni tangga ke aras bawah untuk mencari tukul. Selepas menyelongkar di sana sini, akhirnya berjumpa juga dengan alat yang dicari.
“Nasib baik jumpa,” kata Rita Nadia sambil menaiki tangga menuju ke arah Sharifah Ameera bersama tukul di tangan kanannya. Kembang kuncup hidungnya, menahan penat selepas naik turun tangga di dalam rumah yang beraras selisih itu. “Nah!” Rita Nadia menghulurkan tukul kepada Sharifah Ameera.
“Haa… mujur ada. Okey, aku balik dulu,” kata Sharifah Ameera, tergesa-gesa ingin pulang.
“Cepatnya nak balik? Tak minum dulu!” Pelawa Rita Nadia.
“Aku nak cepat, anak tunggu di dalam kereta. Lagi pun lori barang akan sampai bila-bila masa,” beritahu Sharifah Ameera kepada Rita Nadia.
“Jadi juga pindah ya?”
“Mestilah jadi… kalau tak setuju, tak apalah. Aku datang nak pinjam ini saja,” balas Sharifah Ameera sambil menunjukkan tukul di tangannya.
Rita Nadia terkilan dengan tindakan Sharifah Ameera. Dia berazam untuk memujuk kawannya itu supaya kembali ke pangkuan suaminya. Mengapalah Meera buat keputusan terburu-buru? Bisik hati Rita Nadia.
“Duduklah lama sikit, kita berbual-bual dulu,” ujar Rita Nadia.
Menghormati ajakan kawannya itu, Sharifah Ameera tidak jadi melangkah pergi, lalu mencecahkan semula punggungnya di sofa.
“Rita, sekali lagi aku beritahu… yang aku memang dah nekad!” Kata Sharifah Ameera. Punggungnya diangkat ke belakang untuk menikmati keempukan sofa di ruang tamu rumah rakannya itu. Inilah masanya dia ingin menyampaikan berita terkini mengenai dirinya kepada Rita Nadia. Namun pembuka cerita itu membuatkan Rita Nadia pura-pura berteka-teki.
“Nekad apanya?” Soal Rita Nadia sambil memandang tepat ke wajah gebu Sharifah Ameera.
“Nekad nak berpisah dengan ….”
“Dengan rakan kongsi?” Rita Nadia sengaja memintas kata-kata kawannya itu. Rita Nadia tidak mahu mendengar pengakuan Sharifah Ameera bahawasanya dia mahu berpisah dengan suaminya, Syawal.
“Dengan rakan kongsi?” Rita Nadia sengaja memintas kata-kata kawannya itu. Rita Nadia tidak mahu mendengar pengakuan Sharifah Ameera bahawasanya dia mahu berpisah dengan suaminya, Syawal.
“Rita, mana aku ada rakan kongsi lain selain Syawal?” Balas Sharifah Ameera sambil tangannya membelek-belek majalah di atas meja kopi. “Maksud aku, ingin bercerai dengan Syawal!” Sharifah Ameera, berterus terang.
“Ha… inilah yang aku paling tak suka dengar. Jadi juga rancangan itu. Memang degil, berapa kali aku nasihat, bersabar…bersabar!”
Kemunculan Sharifah Ameera pada pagi itu membawa satu perkhabaran yang lebih menyenakkan perut Rita Nadia. Keadaan rumah tangga Sharifah Ameera yang sedang bergelora dilanda badai itu sudah lama diketahui Rita Nadia. Paling dia terkilan, sikap Sharifah Ameera yang sengaja mengeruhkan keadaan rumah tangganya.
“Meera, kau memang tak sayangkan diri sendiri. Macam mana dengan anak-anak kau nanti?” Soal Rita Nadia lagi. Nada suaranya semakin tinggi. Namun Sharifah Ameera berlagak tenang sahaja. Jemarinya beralih memegang sebuah album lama milik Rita Nadia.
“Rita, aku datang sini bukan mahu dengar nasihat kau. Datanglah tengok rumah baru aku nanti,” balas Sharifah Ameera tanpa sedikitpun membayangkan reaksi tertekan. Bahkan dia kelihatan semakin tenang dan ceria selepas berpindah, sedangkan pada anggapan Rita Nadia, Sharifah Ameera kini bagai layang-layang putus tali.
Sharifah Ameera terus membelek album lama itu, tiba-tiba matanya tertumpu kepada sekeping gambar usang yang mengingatkannya kepada satu peristiwa silam.
“Eh, mana dapat gambar ni Rita? Setahu aku, aku seorang saja ada gambar ni!” Kata Sharifah Ameera sambil menunduk lebih rapat untuk meneliti wajah seseorang yang pernah rapat dengannya pada zaman remaja dahulu. “Macam mana kau dapat gambar ni, macam aku punya! Sharifah Ameera lantas mengeluarkan gambar itu daripada album dan membelek di belakangnya. Ternampak catatan `Untuk yang kusayang’
“Ha betullah gambar aku, nampak ni ada tanda tangan dia…” Sebelum selesai Sharifah Ameera menghabiskan ayatnya, Rita Nadia memotong.
“Meera, janganlah marah…. Minta ampun, sebenarnya aku yang ambil daripada album kau,” jawab Rita Nadi. Dia cuak melihat reaksi Sharifah Ameera. Bimbang perbuatannya mengambil gambar tanpa pengetahuan mengundang kemarahan kawan baiknya itu.
“Patutlah aku tak nampak lagi gambar ini!” Ulas Sharifah Ameera. Raut wajahnya membayangkan kehairan.
Mengapa gambar ini dicuri daripada albumku. Adakah dulu Rita Nadia juga meminati orang yang sama sehingga sanggup mencuri gambar ini daripada albumku? Hati Sharifah Ameera berkata-kata.
“Dah, tak payahlah bereya-eya tatap gambar itu. Sudah tak ada apa-apa lagi dengan kau!”
“Tapi… mengapa kauambil?” Sharifah Ameera sedikit curiga.
“Janganlah salah faham. Sebenarnya, aku saja ambil sebaik sahaja selepas kau bertunang dengan Syawal. Sebab kau ada beritahu aku yang kau teringat-ingat semula padanya. Niat aku baik, tak mahu hati kau berbelah-bahagi pada Syawal. Jadi aku soroklah gambar ini. Itu saja,” jelas Rita Nadia, mengharapkan pengertian daripada kawannya itu.
“Sangkaan aku tadi, kau pun minat pada dia.”
“Minat?? Hiss, tak ada maknanya! Lupa pula aku, siapa namanya?” Soal Rita Nadia. Doanya, agar Sharifah Ameera tidak lagi menaruh sangkaan yang bukan-bukan terhadapnya.
“Di mana agaknya dia sekarang ya?” Soal Sharifah Ameera pula. “Aku mana boleh lupa nama dia, Suhaini… Ya, Ahmad Suhaini. Cinta pertamalah katakan. Ini semua gara-gara mak akulah, tak benarkan aku berkawan dengan dia.” Sharifah Ameera tidak boleh lupa sikap arwah ibunya yang garang.
“Yalah, bukankah semasa itu kau masih belajar. Betullah tindakan arwah. Kalau anak aku pun, aku larang juga. Baru tingkatan satu, dah nak menggatal!”
“Mak aku tu memang….dengan Syawal pun dia tak benarkan aku kahwin. Kau ingat tak masa Suhaini….”
“Dah tak payah nak kenang-kenangkan dia… baik fokus pada masalah kau sekarangi.” Rita Nadia begitu mengambil berat terhadap nasib Sharifah Ameera. Seribu satu persoalan terdetik di hatinya. Bagaimana mungkin Sharifah Ameera boleh hidup tanpa Syawal, sudah hampir 10 tahun mereka hidup bahagia berasama-sama.
“Okeylah dah lama aku di sini. Balik dululah ya!” Sharifah Ameera bangkit daripada tempat duduknya.
“Di mana rumah sewa tu?” Rita Nadia ingin tahu.
“Ah, bukannya jauh sangat. Aku pindah pun di sekitar kawasan ini juga. Tapi, jangan cerita kepada sesiapa yang aku dah pindah ya?” Pesan Sharifah Ameera.
“Baiklah,” jawa Rita Nadia.
“Janji ya?” Sharifah Ameera mengingatkan Rita Nadia sekali lagi.
“ Hmm… Meera, Meera… apalah malangnya nasibmu!” Usik Rita Nadia.
Dua rakan itu mempunyai pendapat yang sangat berbeza. Rita Nadia menganggap nasib Sharifah Ameera sangat malang, sebaliknya Sharifah Ameera cukup gembira dengan tindakannya itu.
Akhirnya dapat juga aku keluar daripada hidup Syawal. Sharifah Ameera menganggap dirinya sudah merdeka, walaupun hakikatnya dia hanya duduk di rumah yang berasingan dan belum lagi bercerai dengan suaminya.
“Apa nama tempat kau pindah tu?” Soal Rita Nadia. Mesti tak sempurna berbanding rumahnya dulu, fikir Rita Nadia.
“Di Taman Desa Bahagia,” jawab Sharifah Ameera.
“Oh, tak jauhlah dari rumah lama kau di Taman Mewah,” balas Rita Nadia pula.
“Ya, memang tak jauh. Saja aku cari yang dekat-dekat. Nanti, aku dan Syawal masih kena berhubung kerana anak-anak. Kau kena ingat, kami tak bergaduh. Dia boleh datang ambil anaknya bila-bila masa.” Ibu berusia awal 30-an itu membalas.
Berkahwin sebelum usia mencecah 20, Sharifah Ameera dan Syawal dikurniakan dua anak Ariana, 11 dan Shabudin, 6. Dengan persetujuan Syawal, mereka mengambil dua anak saudaranya, Alia 18 dan Shariman, 15 sebagai anak angkat kerana mereka kematian ibu sewaktu usia masih kecil. Sharifah Ameera menyayangi kedua-dua anak saudaranya itu seperti anak kandungnya sendiri. Alia dan Shariman memanggilnya emak dan memanggil Syawal, ayah. Bagi Sharifah Ameera, anak-anaknya adalah empat orang dan budak-budak itu adalah penceria hidupnya.
Aku bukan tidak terkilan memisahkan perhubungan budak-budak itu dengan ayahnya. Namun aku tersepit dalam keadaan hidup yang kurang menyenangkan akibat campur tangan ahli keluarga Syawal. Sampai hati mereka memperlakukan aku seperti orang asing! Aku paling perit dengan sikap ipar duai yang sentiasa membuat onar dan fitnah terhadap diriku.
Tidak mengenang budi. Itulah yang disimpulkan Sharifah Ameera terhadap adik-beradik Syawal. Dia tidak mahu lagi diperlakukan sesuka hati oleh ibu mentuanya. Bukan sahaja datang ke pejabat mencari kesalahannya dan marah-marah, bahkan dituduh pengikis harta suami sendiri!
Aku penat-penat berusaha mencari wang, aku pula dikata menguasai harta suami. Mereka tidak tahu, aku yang bersusah-payah bersengkang mata mengurus kerja pejabat, menjaga kewangan dan membuat perancangan perniagaan, senang-senang pula dituduh begitu. Sharifah Ameera mengenang malangnya.
Sebagai majikan, Sharifah Ameera bertindak tegas dalam urusan kerja. Adik ipar sendiri atau sesiapa sahaja akan dimarahi jika cuai atau sengaja melakukan kesalahan.
Memang, ada manusia tidak tahu mengenang untung. Sudah diberi peluang bekerja, diberi tempat tinggal, jadi seperti kaduk naik junjung, seperti Belanda mendapat tanah! Berpakat pula untuk merampas syarikat yang kubina bersama suami. Termenung Sharifah Ameera memikirkan perlakuan adik beradik Syawal ke atas dirinya.
“Elokkah rumah sewa tu?” Soal Rita Nadia pula. Sharifah Ameera tidak mendengar. Fikirannya melayang jauh, terbayang bagaimana adik-adik iparnya menikam dia daripada belakang sementara tangannya masih memegang album lama milik Rita Nadia.
“Meera…. Aku nak tanya ni, anak-anak kau bagaimana?” Rita Nadia begitu prihatin terhadap nasib kawannya yang seorang itu.
“Macam aku kata dululah, semuanya mesti duduk dengan aku,” jawab Sharifah Ameera.
“Kesemuanya sekali ikut pindah duduk dengan kau?” Rita Nadia tidak percaya.
“Kau seorang nak jaga keempat-empat anak itu, bolekah?” Soal Rita Nadia pula.
“Ya… Tidak ada masalah. Jangan ada sesiapa ambil mereka daripada aku. Buat masa ini, aku tak mahu sesiapa datang mengganggu,” jawab Sharifah Ameera.
“Eh takkan aku pun tak boleh datang?” Ujar Rita Nadia sambil memyimpan baju-baju jahitan di dalam bakul di sisi meja ruang tamu. Walaupun sibuk bekerja, Rita Nadia tidak lupa pada hobinya iaitu menjahit. Kedatangan Sharifah Ameera membantutkan kerja menjahitnya pada pagi itu. “Tak nak bagi aku datang, maksudnya aku ni samalah dengan orang lain yang kau benci tu, ya?”
“Mengada-ngadalah kau ni Rita. Kan aku dah ajak datang tadi? Kalau boleh, berilah idea bagaimana nak cantikkan rumah tu,” jawab Sharifah Ameera sambil matanya melirik kepada gaya hiasan dinding rumah kawannya itu. Cantik bisik hatinya. Kawannya itu memang pandai menghias, cuma dia tak ada masa mengemas kerana sibuk bekerja. Sharifah Ameera teringin menghias cantik rumah baru yang disewanya itu.
“Kau datanglah tengok rumah aku, hari ini pun boleh,” ujar Sharifah Ameera.
“Luas tak rumah itu?” Soal Rita Nadia lagi.
“Ada tiga bilik. Tapi terletak di tingkat satu, rumah kedai. Kawasan depan aku buat ruang pejabat. Datanglah.” Ajak Sharifah Ameera lagi. Dia mahukan `air tangan’ Rita Nadia untuk menghias rumah barunya itu.
“Baiklah, nanti aku pasti datang,” balas Rita Nadia sambil turut simpati dengan nasib yang menimpa kawannya itu. “Rumah dan kedai ada tiga empat buah. Alih-alih tinggalkan begitu sahaja dan duduk menyewa. Senang saja lepaskan rumah-rumah sendiri kepada orang lain,” Rita Nadia menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak faham dengan sikap Sharifah Ameera.
Bab 3.
Sepi Sekeping Hati
Jarum jam di dinding hampir menunjukkan 12 tengah malam. Anak-anak Sharifah Ameera semua sudah tidur. Sharifah Ameera tidak dapat melelapkan matanya. Hatinya berserabut. Dia merenung kosong ke arah dinding rumah yang belum bercat. Keadaan agak merimaskan. Dengan dinding kusam, lantai simen render, bergerutu belum beralas. Dia sengaja memilih rumah yang sewa bulanannya agak rendah sebagai persediaan untuk membayarnya sendiri. Dengan itu, tidaklah timbul masalah kalau Syawal memberhentikan elaunnya. Siling kelihtan pecah serta berlubang di sana-sini. Dia sanggup membaiki keadaan rumah itu untuk mendapatkan keselesaan. Namun dengan keadaan rumah yang begitu, timbul pula rasa rimas. Tiba-tiba terlintas bayangan wajah Syawal terlintas di benaknya.
Alangkah bagusnya kalau masih di sisi Syawal. Sharifah Ameera masih ingat, bagaimana terkilannya Syawal apabila dia mengambil keputusan untuk keluar daripada rumah mereka. Syawal tidak pernah membuang Sharifah Ameera daripada hidupnya. Malah dia masih sayangkan isterinya itu seperti mana dulu.
Maafkan Meera. Bukan Meera tidak sayang abang. Sudah bertahun-tahun Meera bersabar. Abang sudah tidak dapat tunaikan tanggung jawab sebagai seorang suami. Fizikal sahaja nampak sempurna tetapi batin tidak. Keluarga abang pula tidak henti-henti membuli Meera. Kenapa abang tak percaya? Abang tak mahu cuba memahami masalah Meera. Sharifah Ameera mula bermonolog.
Sharifah Ameera menganggap Syawal sudah tidak mampu memberi kepuasan dan kebahagiaan dalam hidupnya. Semakin lama perhubungan mereka semakin dingin, semakin sepi. Tidak tahu mengapa. Masing-masing sudah tidak sepersefahaman. Ada sahaja yang menyebabkan mereka bergaduh. Perkara kecil pun, boleh cetuskan pertengakaran. Keadaan selalu panas. Sama-sama sukar mengawal kesabaran. Paling Sharifah Ameera tidak dapat menerima, Syawal terlalu mengikut kata ibunya. Tidak lagi menunjukkan perasaan prihatin terhadap dirinya.
“Mengapa tangan tu?” Soal Syawal apabila terpandang tangan isterinya yang berbalut.
“Kena air panas,” jawab Sharifah Ameera. Wajahnya muram.
“Itulah, dah berpuluh tahun memasak pun, masih cuai!”
Sharifah Ameera teringat sikap kurang prihatin Syawal. Syawal menyalahkan Sharifah Ameera apabila melihat tangannya yang melecur sedangkan dia tidak tahu punca sebenarnya.
“Abang… bukan sebab kecuaian saya. Tangan ni jadi macam ni, emak yang buat. Dia sengaja tumpahkan air panas pada Meera. Mujur tak kena muka!” Sharifah Ameera cuba meraih simpati.
“Lagi-lagi emak. Lagi-lagi emak. Kenapalah Meera suka sangat bersangka buruk pada emak? Suka menuduh! Mungkin emak tak sengaja.”
Setiap kali Sharifah Ameera mengadu mengenai sikap ibunya, begitulah jawapan Syawal. Syawal tak akan percaya kerana dia sendiri tidak pernah melihat peristiwa tidak baik berlaku di antara isteri dan ibunya. Lagi lama mendengar kata-kata Syawal, lagi sakit hati Sharifah Ameera. Dia langsung tidak mendapat pembelaan. Sebelum perang besar meletus, dia segera beredar pergi ke bilik anak bungsunya, Shabudin yang sedang bermain play station.
“Lagi-lagi tuduh emak. Suka berprasangka buruk!” Kata-kata Syawal terngiang-ngiang di telinga Sharifah Ameera. Dia tersedar daripada lamunan apabila mendengar jeritan salah seorang anaknya daripada tempat tidur, yang memanggil-manggil nama ayahnya.
“Mengapa Budin. Mengapa?” Sharifah Ameera menerpa ke arah Shabudin sambil mengejutkannya. Berusia enam tahun, Budin paling rapat dengan ayahnya. Perpisahan itu menyebabkan dia bingung, mengapa mereka harus duduk berasingan.
“Mak, mana ayah. Ayah… Budin teringat ayah.” Kata anak bungsunya yang berusia enam tahun.
“Lah, ayah duduk rumah dialah, ini kan rumah baru kita. Bukankah Budin kata nak duduk dengan mak. Sudah, tidur!” Sharifah Ameera cuba memujuk Budin sambil membelai lembut dahi anak itu.
“Mak, Budin nak ayah? Nak ayah. Budin tak suka duduk sini,” kata Budin sambil menggosok-gosok matanya.
“Budin mimpi ayah?” Sharifah Ameera menyoal.
“Ya… Budin mimpi, ayah bawa Budin pergi Sunway Lagoon. Budin ingatkan betul, rupa-rupanya mimpi,” jawab Shabudin sambil menangis teresak-esak.
“Shhh… jangan menangis. Kakak sedang tidur.” Sharifah Ameera memujuk sambil menahan sebak di hati. Dia memeluk Shabudin sambil menepuk-nepuk punggungnya. Mujur tangis Budin tidak berlarutan. Seketika kemudian esakannya terhenti. Sharifah Ameera lega. Tidak sampai hati meninggalkan Shabudin, dia terus baring di sebelah anaknya. Pada saat-saat begitu, perasaan Sharifah Ameera terusik. Namun dia cuba menahan rasa sedih.
Sambil memejam mata, Sharifah Ameera berfikir bagaimana untuk memberitahu anak sulungya, Alia yang mereka sudah berpindah. Alia yang sedang menuntut di tingkatan lima, tinggal di asrama di Temerloh, begitu juga Shariman yang sedang belajar di tingkatan tiga. Kini hanya Ariana dan Shabudin bersama Sharifah Ameera. Ariana, darjah lima dan Shabudin bersekolah Tadika.
Malam itu, Sharifah Ameera tidak dapat tidur. Dia cuba memejamkan matanya rapat-rapat. Cuba melupakan segala permasalahan. Namun tidak berjaya.
Sharifah Ameera, kenapa harus berduka? Sepatutnya kamu gembira. Ini keputusan kamu. Kamu yang mahu menarik diri. Bagai ada satu bisikan yang menyokong tindakannya.
Tersedar daripada lamunan, Sharifah Ameera bingkas bangun. Dia memerhati wajah Ariana dan Shabudin dalam remang cahaya lampu. Kedua-duanya sedang nyenyak tidur. Kasihan anak-anak ini, terperangkap dalam kemelut masalah hidupku. Ya Allah, berilah kami kekuatan. Semoga mereka dapat memahami masalahku. Janganlah hendaknya mereka meminta pulang untuk tinggal bersama-ayahnya. Aku tak izinkan mereka dijaga orang lain. Ikrar Sharifah Ameera di dalam hatinya.
Pada waktu dinihari itu, Sharifah Ameera mengambil peluang mendirikan solat tahjud. Dia bertafakur di atas sejadah, sambil kemudian memikir apakah yang bakal terjadi ke atas hidupnya selepas ini. Dia pasti mendapat apa yang diidamkan. Pemergiannya daripada sisi Syawal dengan satu azam, untuk mencari suami dan keluarga baru yang boleh menerima kehadiran dia dan anak-anak seadanya.
Sambil menadah tangan Sharifah Ameera memohon doa, agar dipertemukan dengan seorang lelaki dan ahli keluarga yang dapat memberi kesenangan dan kebahagiaan kepada hidupnya. Dia gembira dapat lari daripada keluarga Syawal, namun pada masa sama terkilan kerana terpaksa meninggalkan suaminya keseorangan. Bunyi ayam berkokok menjelang pagi, baru matanya mengantuk. Dia tertidur seketika sebelum bangun semula untuk solat subuh.