Friday, June 8, 2012

Betulkah Kellie's Castle Berhantu?




Tulisan dan gambar: RASHIDAH IBRAHIM

Assalamualaikum rakan maya semua, bertemu lagi dalam entri terbaru saya, kali ini mengenai sebuah bangunan usang yang penuh misteri di Perak, dibina 102 tahun lalu. Ini adalah kunjungan kali ketiga saya ke situ. Disebabkan majalah tempat saya bekerja menolak cerita ini dengan alasan pernah disiarkan, hmm saya paparkanlah di sini... Selamat membaca, kalau suka tinggalkanlah jejak (komen)...  Terima kasih.

Kunjungan ke Istana Kota Kellies (Kellie’s Castle) di Batu Gajah sewaktu menyertai program Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia (KCC1M), Jom Terokai Perak awal Mei lalu (2012), mengimbau kenangan saya sewaktu berkunjung ke situ lebih 20 tahun lalu. Biarpun orang kata bangunan itu berhantu,  tidak menghalang orang ramai daripada berkunjung.


 Merakam gambar daripada seberang sungai.

Terletak di seberang sana sungai Kinta, pengunjung perlu menaiki jambatan untuk sampai ke bangunan itu. Dalam masa beberapa minit berjalan, kami sudah pun berada di sebelah sana sungai.
Bangunan itu kelihatan tersergam di atas bukit, tidak jauh daripada tebing sungai yang memisahkan bangunan itu dengan jalan besar. Sementara peserta lain ghairah melihat reka bentuknya, pandangan saya tertumpu pada jambatan yang menghubungkan kedua-dua tebing. Selain memudahkan perjalanan ke bangunan berkenaan, kehadiran jambatan berkenaan  menyumbang kepada pembentukan lanskap yang menarik.

Penyertaan dalam program KCC1M Jom Terokai Perak anjuran Tourism Malaysia Perak dengan kerjasama Gaya Travel Magazine, membawa saya ke situ buat kali ketiga. Sewaktu kunjungan pertama dan kedua pada tahun 80-an,  Istana Kota Kellie belum menjadi destinasi utama pelancongan. Suasana persekitaran, tidak sama seperti sekarang. Bukan sahaja bangunannya kelihatan sangat usang kerana terlalu lama ditinggalkan, bahkan jambatan pun belum ada.

Pada masa itu, pengunjung menaiki sampan untuk sampai ke Istana Kota Kellie dan perjalanannya sedikit mencabar. Lokasinya suram dan sunyi. Kini, dalam keadaan ramai sekali pun terasa kesiknya berikutan bangunan itu menyimpan pelbagai cerita misteri.

Istana Kota Kellie yang juga dikenali Rumah Kellas dilaporkan dibina pada 1910. Bangunan itu kini dipulihara dan dijaga persekitarannya berikutan lokasi itu sudah dimajukan sebagai pusat pelancongan. Dinding daripada batu-bata tanah liat diselenggara sehingga terserlah serinya. Bangunan tiga tingkat itu dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India; manakala tukangnya dibawa khas dari Madras.


 Di atas bumbung..

Menurut catatan sejarah, Istana Kota Kellis dibina oleh seorang peladang getah terkemuka British, bernama William Kellie Smith yang berasal dari sebuah desa di Scotlandia, dikenali Kellas. Beliau datang sebelum Tanah Melayu membangun iaitu pada 1890, ketika berusia 20 tahun.  Smith bertemu dengan seorang pemilik tanah bernama Alma Baker yang telah memenangi konsesi daripada pemerintah negara untuk membersihkan 360 hektar hutan di Perak. Dengan keuntungan besar daripada perniagaan bersama Alma Baker, Smith mula menanam getah dan menyertai industri perlombongan timah di samping memiliki Perumahan Kinta Kellas dan Kinta Kellas Tin Dredging Company.

Berkahwin di negara asal dengan gadis Scotland, Agnes; Smith kemudian membawa isteri tercintanya ke Tanah Melayu pada 1903. Mereka dikurniakan anak perempuaan, Helen tahun berikutnya. Smith mengharapkan seorang anak lelaki sebagai waris untuk mengambil alih perniagaannya. Nasib menyebelahi mereka apabila Agnes melahirkan anak lelaki bernama Anthony pada1915, dan selepas itu mereka dikurniakan rezeki melimpah. Bagi merayakan kelahiran Anthony, Smith berusaha membesarkan kediaman itu dan merancang pembinaan istana besar, digelar Rumah Kellas (Kellas House) sempena rumahnya di Scotland, nama di kalangan penduduk tempatan, lebih dikenali Kellie`s Castle.

Bangunan itu dirancang untuk menampung 14 bilik, dengan satu bilik bawah tanah membawa ke terowong rahsia. Namun yang dapat dilihat adalah kesan bilik tuan rumah dan bilik dua anaknya di bangunan baru, kesan ruang dapur serta ruang makan di bangunan yang dibina terawal. Dua kepala patung yang tertera pada dinding depan di bahagian luar bangunan, dikatakan melambangkan diri Smith dan anak lelakinya.
Atas bumbung rata, mungkin ini dicadangkan sebagai padang tenis.
Sementara tingkat dua, mahu dijadikan padang tenis. Oleh kerana terlalu taksub dengan agama Hindu dan budaya India, Smith merancang pembinaan mirip seni bina rumah di Madras dengan semua batu bata dan seramik diimport dari India. Dia turut membawa sejumlah besar pekerja buruh India dalam impiannya untuk membina Rumah Kellas menurut seni bina India asli.
Dilihat sekali imbas, reka bentuknya mirip Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. 

Persamaan ketara dari segi susunan batu-bata merah dan bentuk gerbang di sepanjang sisi bangunan. Dalam banyak hal, yang istimewa mengenai Istana Kota Kellie, ia dilaporkan sebagai bangunan pertama yang mempunyai lif di Malaya. Terdapat laluan menghubungkan sayap kanan sampai ke lantai atas selain mempunyai dua terowong yang menganjur di bawah sungai berdekatan. Salah satu terowong menghubungkannya dengan beberapa candi Hindu tidak jauh dari rumah utama. Di tingkat dua, Smith merancang  pembinaan sebuah lapangan tenis dalaman. Pada salah satu lantai, dirancang halaman untuk bersantai kerana kediaman itu mahu dijadikan pusat berhibur bagi pemilik ladang koloni kaya yang telah menetap di Malaya.

Berita mengenai bangunan itu pernah disiarkan dalam akhbar London Financer pada 15 September 1911,  yang mendakwa Rumah Kellas adalah bangunan paling unik di Timur Jauh, sama ada dari segi bentuk ataupun besarnya. Namun bangunan itu tidak sempat disempurnakan apabila Kellie Smith meninggal di Pelabuhan Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926. Bangunan separuh siap itu kini menjadi tarikan pengunjung ke Batu Gajah kerana keunikannya.

Antara cerita misteri yang tidak terungkai mengenai Istana Kota Kellies adalah bangunan itu dikatakan berhantu, berikutan ada orang pernah ternampak bayangan ahli keluarga berkenaan muncul di dalam bangunan itu. Ini menimbulkan tanda tanya sedangkan hakikatnya tidak ada seorang pun daripada ahli keluarga berkenaan yang meninggal di situ. Agnes dikatakan menjual tanah berkenaan kepada orang lain dan meninggalkan kediaman itu setelah pemergian suaminya, membawa bersama kedua-dua anak mereka. 

Setelah dijadikan pusat pelancongan, lokasi itu kini semakin terurus. Sebuah kedai makan, kedai cenderamata serta tapak letak kereta telah dibina oleh Majlis Daerah Kinta Barat pada 1990. Kini Istana Kota Kellie sering menjadi lokasi penggambaran drama  dan filem.

Teori lain kenapa bangunan itu dikatakan berhantu, menurut laporan terdapat kejadian bunuh di dalam bangunan itu. Sewaktu menjadi bangunan terbiar, menurut ceritanya ia pernah menjadi tempat perlindungan kumpulan gangster. Dalam satu pergaduhan di antara kumpulan gangster, ada yang terbunuh di situ.

Satu lagi cerita, keluarga Smith dikatakan amat dihormati oleh penduduk sekitar. Dia disanjungi oleh pekerja ladangnya yang beragama Hindu, sehingga mereka membuat sebuah patung dan diletakkan di dalam bangunan kuil mereka, tidak jauh daripada bangunan situ. Patung itu disembah, ibarat Tuhan mereka.

"Bagi kaum Cina, adalah pantang membina patung orang yang masih hidup dan disembah. Perbuatan itu adalah satu taboo, mungkin itu yang menyebabkan Smith mati tidak lama selepas itu," kata Rosalind, pemandu pelancong kami. Bahkan dikatakan ada terowong yang menhubungkan bangunan itu dengan kawasan kuil berkenaan.



Mulut terowong ditutup dengan jaring untuk keselamatan
 
Kalau sudah seseorang itu disembah dengan upacara-upacara keagamaan, itulah agaknya menyebabkan bangunan ini berhantu, fikir saya. Selain itu terdapat juga cerita, ada orang gaji di situ dipotong tangan oleh majikannya disebabkan sesuatu kesalahan. Namun sejauh kebenarannya cerita-cerita ini, tidaklah diketahui.

Yang pasti, peserta media masing-masing teruja berpeluang melawat bangunan berkenaan. Biarpun usang, mereka tertarik dengan seni bina bangunan berkenaan yang menampilkan susunan batu-bata tanah liat warna terracotta. Dan ada pula yang berkata, terbau sesuatu sewaktu menaiki tangga...pada tidak ada benda di dalam bangunan berkenaan.



2 comments:

  1. pernah pegi kellie's castle ni. panjat sampai atas bumbung yg tak bergrill tu. gayat juga bila tengok ke bawah. tinggi!

    ReplyDelete
  2. Dieya: Kami pun naik juga,memanglah gayat,tetapi nak naik juga kan... rasa macam nak melayang jatuh!!!

    ReplyDelete