Sunday, May 20, 2012

Lara di Hati Bab 9


Alamak dah terlalu lama pula tak upload sambungan novel,... Ini bab yang kesembilan.  Bagi mereka yang nak tahu cerita sebelum ini, semak menggunakan tajuk sementara: 
Lara Di Hati...(mengikut nombor bab).  Tak ada mood pula nak letak sambungan, sebab ada pihak memberitahu bahawa masyarakat pembaca novel sekarang, tidak gemar pada cerita kehidupan serius membabitkan orang yang sudah berumur. Kononnya kalau nak diterima oleh penerbit  buatlah cerita cinta cintun, orang muda. Hamm... macam mana ya nak tukar, sebab cerita ini berdasarkan kisah benar yang berlaku  pada seorang insan..


 Bab 9   Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa 
Manusia hanya boleh berharap dan berikhtiar tetapi Tuhan jua yang maha berkuasa dan menentukan segala-galanya. 
   Cuti hujung minggu Alia, Shariman, Ariana dan Shabudin melonjak kegembiraan dapat berkumpul bersama-sama. Mereka baru sahaja selesai mengemas bilik masing- masing. Selepas makan malam, seisi keluarga menonton TV bersama-sama di ruang tamu. Di luar, kedengaran petir diiringi tiupan angin kencang, tanda hari akan hujan.
      “Budin, Ana, dah tutup tingkap bilik? Hari nak hujan bila-bila masa saja tu,” laung Sharifah Ameera daripada biliknya. Tangannya memegang pen, sibuk mencatat sesuatu untuk mengemas kini jadual perbelanjaan. Belum sempat menghabiskan pengiraan, hujan turun dengan lebatnya. Bunyi air hujan menimpa bumbung membingitkan telinga. Sudah sejam lebih, tidak juga berhenti.
  “Mak! Air tiris… kena katil ni.” Budin menjerit.
      “Bilik Ana pun sama. Apa ni mak?”
Sharifah Ameera bergegas ke bilik mereka dan dilihatnya air semakin mencurah-curah turun daripada siling.
      “Pergi duduk di bilik mak, cepat ambil benda-benda penting. Beg sekolah tu, ambil cepat, nanti kena air!” Sharifah Ameera memberi arahan. Sepantas kilat Budin dan Ana berlari ke bilik ibunya. Terkejut mereka melihat sebahagian siling roboh kerana tidak dapat menampung air yang berladung di atasnya.
        “Mak.. siling roboh!!! Nasib baik tak kena,” jerit Shabudin.
    Sharifah Ameera terpempan. Dia mengucap panjang. Apa dah jadi? Belum seminggu siling baru dipasang. Ini mesti pasang tak kuat, bisik hati Sharifah Ameera.
Bagai mahu tercabut nyawanya apabila dilanda musibah itu. Perkiraan Sharifah Ameera memilih rumah sewa murah sebagai persediaan berjimat untuk hidup sendiri, rupa-rupanya mengundang kesusahan. Kerosakan-kerosakan itu tentunya perlu diperbaiki lagi. Dan pastinya banyak wang perlu dikeluarkan.
  “Bibi, ambil plastik kanvas di belakang, tutup tilam dan gulung karpet tu!”  Sharifah Ameera memberi arahan kepada pembantunya sambil mengangkat apa sahaja barangan yang sempat dicapainya.
      Dengan segera Sameah meluru ke bahagian belakang dapur, mencari kanvas. “Di mana pula letaknya?” Sameah menajamkan matanya. Kelihatan terselit di celah kertas surat khabar, lalu dicapainya dan dia terus berlari ke depan. 
      “Cepat-cepat bentang di atas katil,” arah Sharifah Ameera. Budin yang masih kecil itu cuba menolong, sehingga akhirnya kanvas itu terbentang elok melindungi tilam. Sameah segera berlari ke ruang tamu, cuba menggulung permaidani yang dipasang dari dinding ke dinding.
   “Ibu, karpet ini nggak bisa dicabut?” Jerit Sameah.
      “Yalah… tak boleh cabut, sudah digam. Biarkan. Pergi tengok Alia dalam bilik. Gerak kalau dia dah tidur!”
      “Baik bu!” Bibi Sameah akur, lalu terus meluru ke bilik Alia yang sedang tidur lena.
      “Alia bangun-bangun, atap depan dan bilik tengah bocor. Tolong selamatkan apa  yang patut.” Sameah melihat bilik Alia selamat daripada bocor. “Ibu, bilik Alia tidak bocor. Bawa barang penting ke sini!” Laungnya sambil kemudian berlari ke belakang untuk mengambil baldi bagi menadah air hujan. 
      “Shariman, tolong Bibik… ambil kain ni, buat macam Bibik.
       Shariman meniru perbuatan Sameah, menekap air dengan kain di atas permaidani dan memerahkannya ke dalam baldi. 
      “Kalau air dibiarkan bertakung, nanti rosak karpet ni,” ujar Sameah.
      Sharifah Ameera pula ke hulu ke hilir memainkan peranannya menyelamatkan barangan pentingnya.
      Sebentar kemudian hujan reda, tetapi masih ada air yang menitis daripada siling. Semua bergotong-royong membuat kerja mengeringkan permaidani.
      “Hem bagus, anak-anak mak…. Shariman dan Budin pun tolong keringkan air…,” tegur Sharifah Ameera.
      “Itulah mak, nak sangat duduk di rumah ni. Kalau duduk di rumah kita, tak mungkin jadi macam ni,” rungut Shariman.
      “Shh!!!” Sharifah Ameera memberi isyarat supaya anaknya diam. Tangannya memegang telefon bimbit sambil menekan nombor telefon bimbit Syawal.
      “Hello abang, tolong datang, bumbung rumah bocorlah. Rumah kedai di Taman Desa Mewah. Depan bengkel kereta Ang Eng. Habis semua basah ni, macam mana nak buat ni, datanglah cepat!!!”
      Tidak sempat Syawal bertanya lebih lanjut, Sharifah Ameera yang panik sudah meletakkan telefon. Syawal segera keluar daripada rumah menuju ke keretanya lalu memandu ke arah kawasan yang diberitahu isterinya sebentar tadi. 
      Hampir jam 11.00 malam, Syawal tiba di rumah Sharifah Ameera. Dia terkejut melihat keadaan rumah itu. Apa yang boleh dibuat pada  malam-malam buta ni, aku bukannya tukang, fikir Syawal.
      “Rumah macam ni Meera sewa? Tak macam rumah.” Terpacul ulasan itu sebaik naik ke unit kediaman berkenaan.
      “Eh, Meera panggil abang bukan suruh komen fasal rumah ni. Tolonglah apa yang patut. Apa nak buat ni?” Jawab Sharifah Ameera.
      “Hari dah lewat malam. Nak cari siapa betulkan bumbung malam-malam ni,” balas Syawal. Dia sekadar dapat membantu mengeringkan air bersama-sama anak-anaknya sehingga ke jam 4.00 pagi. Berikutan kejadian itu, Syawal berpeluang tidur bersama anak-anaknya dalam keadaan yang tidak menentu. 
Pagi esoknya.
Sharifah Ameera hampir menitiskan air mata melihat keadaan rumah barunya. Kayu perabot diresapi air. Syawal menggeleng-gelengkan kepalanya. Itulah degil sangat, tak ada penyakit, cari penyakit! Namun dia hanya berani berkata-kata begitu di dalam hatinya. Syawal tidak sampai hati hendak mengguriskan perasaan Sharifah Ameera lagi. Mahu saja dia membawa isteri dan anak-anaknya balik, tetapi dia pasti Sharifah Ameera enggan mengikut.
   “Abang rasa, lebih baik Meera panggil tukang yang sama, suruh dia betulkan semula apa yang rosak ni,” Syawal mencadangkan kepada isterinya.
      “Yalah, saya pun berfikiran begitu juga,” jawab Sharifah Ameera.
      “Minta nombor telefon dia, biar abang pergi cari.”
  “Ya, baik juga abang pergi, bawa dia ke sini segera. Kalau tak ambil, nanti lambat pula atau mungkin dia tak datang terus,” jawab Sharifah Ameera sambil memberi nombor telefon tukang berkenaan kepada Syawal.
  “Siapa nak ikut ayah.” Syawal mempelawa.
   Semua diam. Tak berani tinggalkan emak mereka yang dalam kesusahan.
    “Baiklah, ayah pergi dulu,” kata Syawal sambil berlalu pergi. Dia datang semula sebelum tengah hari bersama tukang.  Kerja membaiki bumbung dan memasang semula siling mengambil masa tiga hari. Hasil pemantauan Syawal, banyak yang diperbaiki sehingga kediaman berkenaan kelihatan lebih sempurna daripada sebelumnya. 

No comments:

Post a Comment