Saturday, May 30, 2015

Perarakan Bot Berhias Magic of the Night 2015







                                                           

             
Entah berapa kali pertunjukan bot berhias diadakah di Putrajaya tetapi baru tahun ini dapat menyaksikannya. Jemputan majalah Gaya Travel bagi menyertai program “Keajaiban Malam  2015”, memberi peluang kepada saya untuk menonton perarakan berkemilau itu. Bot-bot yang menyertai perarakan terserlah reka bentuknya menerusi pancaran cahaya lampu yang dipasang pada keseluruhan rangka bot.


                                                       Tarian pembuka tirai

Difahamkan ini adalah perarakan kali ke lima dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tahun ini disertai 17 bot mewakili semua negeri di Malaysia di samping Tourism Malaysia, Cruise Tasik Putrajaya dan satu penyertaan dari negara luar iaitu daerah Suzhou Republik Rakyat China. Acara dimulakan dengan ucapan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz, diikuti persembahan paluan irama gendang oleh Orkestra Tradisional Malaysia dan Kumpulan Gendang 1 Malaysia, pertunjukan bunga api dan perarakan Flotila.




Bot-bot yang menyertai perarakan direka hias membawa identiti setiap peserta. Dengan tema Endless Celebrations, setiap bot yang melayari sepanjang tiga kilometer Tasik Putrajaya menampilkan gabungan gemerlap lampu dan rona. Semua reka bentuk melambangkan ikon dan produk pelancongan serta kebudayaan negeri masing-masing. Penataan itu selaras dengan hasrat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menggalakkan pelancong tempatan dan asing menghargai kepelbagaian budaya seni bina, warisan dan tradisi di Negara ini.

Majlis perarakan tahun ini diserikan persembahan keharmonian irama pergendangan 1 Malaysia bertajuk Seratus Irama Pergendangan MyFEST 2015, merangkumi kumpulan pergendangan Kompang, gendang Cina, India, Jido dan Bhangra.

Acara ikonik pelancongan Negara ini turut disaksikan 70 wakil media dan ejen pelancongan luar negara yang diundang khas oleh Tourism Malaysia di bawah program Mega Fam. Ia berlangsung selama empat hari bermula dari 28 Mei 2015.




Bot Berhias Melaka

Mengekalkan konsep Melaka Bandaraya Warisan Dunia Unesco yang menjadi kebanggaan kerajaan negeri, bot berhiasnya memperlihatkan konsep bot yang diguna pakai sebagai aktiviti pelancongan, `Melaka River Cruise'. Ia menonjolkan ikon-ikon utama produk pelancongan negeri itu iaitu Masjid Kampung Hulu (antara masjid tertua di Melaka dan Malaysia), Porta De' Santiago, Stadthuys, Menara Taming Sari yang berseni dan keunikan masyarakat etniknya.



 Bot berhias, Perbadanan Putrajaya.

Bertemakan Floria, ia mengetengahkan konsep seni bina tradsional Islam dan moden, dengan logo gah melambangkan rasa berbesar hati Perbadanan sebagai agensi bertanggungjawab dalam mentadbir dan menguruskan Putrajaya sebagai Pusat Petadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia.



Bot berhias, Pahang.

Dengan tema Menyerlahkan Rahsia Pahang... , ia mendedahkan Bebar "Black Water Jewel", kompleks hutan paya gambut yang meliputi kawasan seluas 160,000 hektar di Pekan, Kawasan itu diselimuti dengan nilai keaslian flora dan fauna serta kekayaan warisan alam semula jadinya yang tersendiri.

Bebar, adalah ntara habitat tertua dan hutan paya terbesar di Asia Tropika. Penampilan botnya menyelitkan sebahagian hidupan liar yang belum kelihatan oleh mata kita, di samping mengajak penonton untuk bersama-sama menghargai, memelihara dan mewarisi anugerah alam itu.



Bot berhias, Kelantan.

Berilhamkan Flora dan Fauna, reka bentuk  menampilkan binaan perahu diraja Kelantan dinamakan Pertala Indera Sri Kelantan. Motif ukiran pada perahu melambangkan keagungan nila kesenian Negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan Darul Naim.

Pertala Indera Sri Kelantan mengikut sejarah kesultanannya, adalah satu kurniaan istimewa yang disembahkan oleh Raja Siam iaitu Raja Chulalongkorn Rama V kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Long Senik Putera Long Kundur (Sultan Muhammad ke IV) sempena keberangkatan baginda ke Negeri Kelantan pada tahun 1905.




Bot berhias Negeri Sembilan.

Memaparkan seni binaan rumah tradisionalnya yang dipengaruhi rumah Minangkabau.  Rakyat Minangkabau yang berhijrah ke Melaka dengan merentasi Selat Melaka pada masa lampau membawa bersama seni binaan tradisional tempat asal mereka dari tanah seberang, seterusnya menjadi ikutan untuk dibina oleh rakyat negeri itu kemudiannya. Reka bentuk berseni itu dapat dilihat di Muzium Negeri Sembilan yang dibina pada 1953.



Bot berhias Tourism Malaysia

Memilih tema Irama Malaysia, perarakannya diiringi bunyi ketukan harmonika muzik tradisional Malaysia. Reka bentuk menampilkan peralatan yang menghasilkan bunyian muzik tersebut. Meneliti di bahagian belakang bot, terdapat replika bayau, iaitu monyet Proboscis yang menjadi maskot Tahun Festival Malaysia 2015.



1 comment:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

    Oh ya, di sana anda bisa dengan bebas mendowload music, foto-foto, video dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete