Monday, July 27, 2015

Anugerah Video Belia - Bertemakan `Anda Hidup Hanya Sekali!`


Anugerah Video Belia Malaysia 2015 bertemakan “You Only Live Once”

Tulisan: Rashidah Ibrahim




Setiap insan di dunia ini diberikan kesempatan untuk hidup hanya sekali. Ya, itu adalah hakikatnya. Mana ada manusia yang disahkan mati dan kemudian hidup semula? Dengan mesej ini, golongan muda diingatkan agar menghargai kehidupan mereka dengan melakukan perkara yang bermanfaat untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Demi memberi kesedaran itu, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) melalui saluran perkhidmatan komuniti, Insurans Hayat Cares menganjurkan Anugerah Video Belia Malaysia 2015, bertemakan `You Only Live Once` (Yolo). Majlis pelancaran anugerah itu berlangsung di Universiti Malaya, 24 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Promosi Industri LIAM, Ramzi Toubassy berkata anugerah julung kali diadakan itu disertai pelajar daripada 20 universiti tempatan. Menerusi rakaman video hasil kreativiti masing-masing, mereka akan berkongsi mesej bahawa nyawa amat berharga dengan tema kempen, 'hargailah nyawa, hayatilah kehidupan, berkongsilah kehidupan.'


"Kami ingin mengingatkan generasi muda Malaysia mengenai hakikat kehidupan di dunia hanya sekali. Kalangan dewasa selalu terfikir untuk memberitahu mesej ini kepada golongan muda terutama sewaktu terserempak mereka dalam kegiatan tidak berhemah misalnya memandu melulu sambil memintas kenderaan di jalan raya mahupun ketika menemuduga mereka untuk diambil bekerja,” kata beliau pada majlis itu.

Menurutnya lagi, belia kadang-kala melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang dengan anggapan mereka akan hidup selamanya. Bagi menghindari penyesalan seumur hidup wajarlah mereka sering diingatkan mengenai kepentingan menjaga nyawa sendiri.

Pertandingan anjuran Komuniti Belia Malaysia (MYC) yang disasarkan kepada pelajar fakulti penyiaran multimedia itu, secara tidak langsung menyemai sikap beringat mengenai perkara itu dalam kalangan pelajar yang menyertai anugerah itu dan juga sasaran penonton video mereka.



Sementara itu, Presiden MYC, Jason Koh berkata sebagai komuniti rangkaian kreatif belia yang menghubungkan jenama korporat dengan pihak universiti tempatan, pihaknya berbangga dapat menjalin kerjasama dalam mengadakan pertandingan sosial media terbesar di peringkat universiti di negara ini.

Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah RM8,000, tempat kedua RM5,000 dan tempat ketiga RM2,000. Di samping itu juga, RM500 disediakan untuk tujuh pemenang hadiah sagu hati.

Hadiah juga disediakan bagi kategori pensyarah terbaik dan pemenang tempat kedua, yang masing-masing akan menerima RM1,000 dan RM500. Pemenang tempat pertama secara automatik akan dianugerahkan Trofi Video Universiti Terbaik.



Pada malam penyampaian anugerah itu, 10 video terbaik akan ditayangkan kepada media, anggota LIAM dan pensyarah universiti yang mengambil bahagian.

Disokong oleh 16 ahli syarikat, LIAM menerusi platform Insurans Hayat Cares akan terus bersama komuniti ke arah meningkatkan kesedaran belia yang juga generasi bakal pemimpin negara akan datang.

Fasa permulaan program bermula 22 Jun, dengan lawatan ke lebih 20 universiti yang menarik 541 penyertaan daripada kalangan pelajar iaitu `penerbit dan pengarah muda` amatur. Namun 10 video terbaik dipilih selepas melalui beberapa peringkat penilaian. Maklumat lanjut mengenai anugerah ini, boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.youthvideoawards.com.

Idarashida@blogspot.com




No comments:

Post a Comment