Sunday, May 20, 2012

Lara di Hati Bab 9


Alamak dah terlalu lama pula tak upload sambungan novel,... Ini bab yang kesembilan.  Bagi mereka yang nak tahu cerita sebelum ini, semak menggunakan tajuk sementara: 
Lara Di Hati...(mengikut nombor bab).  Tak ada mood pula nak letak sambungan, sebab ada pihak memberitahu bahawa masyarakat pembaca novel sekarang, tidak gemar pada cerita kehidupan serius membabitkan orang yang sudah berumur. Kononnya kalau nak diterima oleh penerbit  buatlah cerita cinta cintun, orang muda. Hamm... macam mana ya nak tukar, sebab cerita ini berdasarkan kisah benar yang berlaku  pada seorang insan..


 Bab 9   Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa 
Manusia hanya boleh berharap dan berikhtiar tetapi Tuhan jua yang maha berkuasa dan menentukan segala-galanya. 
   Cuti hujung minggu Alia, Shariman, Ariana dan Shabudin melonjak kegembiraan dapat berkumpul bersama-sama. Mereka baru sahaja selesai mengemas bilik masing- masing. Selepas makan malam, seisi keluarga menonton TV bersama-sama di ruang tamu. Di luar, kedengaran petir diiringi tiupan angin kencang, tanda hari akan hujan.
      “Budin, Ana, dah tutup tingkap bilik? Hari nak hujan bila-bila masa saja tu,” laung Sharifah Ameera daripada biliknya. Tangannya memegang pen, sibuk mencatat sesuatu untuk mengemas kini jadual perbelanjaan. Belum sempat menghabiskan pengiraan, hujan turun dengan lebatnya. Bunyi air hujan menimpa bumbung membingitkan telinga. Sudah sejam lebih, tidak juga berhenti.
  “Mak! Air tiris… kena katil ni.” Budin menjerit.
      “Bilik Ana pun sama. Apa ni mak?”
Sharifah Ameera bergegas ke bilik mereka dan dilihatnya air semakin mencurah-curah turun daripada siling.
      “Pergi duduk di bilik mak, cepat ambil benda-benda penting. Beg sekolah tu, ambil cepat, nanti kena air!” Sharifah Ameera memberi arahan. Sepantas kilat Budin dan Ana berlari ke bilik ibunya. Terkejut mereka melihat sebahagian siling roboh kerana tidak dapat menampung air yang berladung di atasnya.
        “Mak.. siling roboh!!! Nasib baik tak kena,” jerit Shabudin.
    Sharifah Ameera terpempan. Dia mengucap panjang. Apa dah jadi? Belum seminggu siling baru dipasang. Ini mesti pasang tak kuat, bisik hati Sharifah Ameera.
Bagai mahu tercabut nyawanya apabila dilanda musibah itu. Perkiraan Sharifah Ameera memilih rumah sewa murah sebagai persediaan berjimat untuk hidup sendiri, rupa-rupanya mengundang kesusahan. Kerosakan-kerosakan itu tentunya perlu diperbaiki lagi. Dan pastinya banyak wang perlu dikeluarkan.
  “Bibi, ambil plastik kanvas di belakang, tutup tilam dan gulung karpet tu!”  Sharifah Ameera memberi arahan kepada pembantunya sambil mengangkat apa sahaja barangan yang sempat dicapainya.
      Dengan segera Sameah meluru ke bahagian belakang dapur, mencari kanvas. “Di mana pula letaknya?” Sameah menajamkan matanya. Kelihatan terselit di celah kertas surat khabar, lalu dicapainya dan dia terus berlari ke depan. 
      “Cepat-cepat bentang di atas katil,” arah Sharifah Ameera. Budin yang masih kecil itu cuba menolong, sehingga akhirnya kanvas itu terbentang elok melindungi tilam. Sameah segera berlari ke ruang tamu, cuba menggulung permaidani yang dipasang dari dinding ke dinding.
   “Ibu, karpet ini nggak bisa dicabut?” Jerit Sameah.
      “Yalah… tak boleh cabut, sudah digam. Biarkan. Pergi tengok Alia dalam bilik. Gerak kalau dia dah tidur!”
      “Baik bu!” Bibi Sameah akur, lalu terus meluru ke bilik Alia yang sedang tidur lena.
      “Alia bangun-bangun, atap depan dan bilik tengah bocor. Tolong selamatkan apa  yang patut.” Sameah melihat bilik Alia selamat daripada bocor. “Ibu, bilik Alia tidak bocor. Bawa barang penting ke sini!” Laungnya sambil kemudian berlari ke belakang untuk mengambil baldi bagi menadah air hujan. 
      “Shariman, tolong Bibik… ambil kain ni, buat macam Bibik.
       Shariman meniru perbuatan Sameah, menekap air dengan kain di atas permaidani dan memerahkannya ke dalam baldi. 
      “Kalau air dibiarkan bertakung, nanti rosak karpet ni,” ujar Sameah.
      Sharifah Ameera pula ke hulu ke hilir memainkan peranannya menyelamatkan barangan pentingnya.
      Sebentar kemudian hujan reda, tetapi masih ada air yang menitis daripada siling. Semua bergotong-royong membuat kerja mengeringkan permaidani.
      “Hem bagus, anak-anak mak…. Shariman dan Budin pun tolong keringkan air…,” tegur Sharifah Ameera.
      “Itulah mak, nak sangat duduk di rumah ni. Kalau duduk di rumah kita, tak mungkin jadi macam ni,” rungut Shariman.
      “Shh!!!” Sharifah Ameera memberi isyarat supaya anaknya diam. Tangannya memegang telefon bimbit sambil menekan nombor telefon bimbit Syawal.
      “Hello abang, tolong datang, bumbung rumah bocorlah. Rumah kedai di Taman Desa Mewah. Depan bengkel kereta Ang Eng. Habis semua basah ni, macam mana nak buat ni, datanglah cepat!!!”
      Tidak sempat Syawal bertanya lebih lanjut, Sharifah Ameera yang panik sudah meletakkan telefon. Syawal segera keluar daripada rumah menuju ke keretanya lalu memandu ke arah kawasan yang diberitahu isterinya sebentar tadi. 
      Hampir jam 11.00 malam, Syawal tiba di rumah Sharifah Ameera. Dia terkejut melihat keadaan rumah itu. Apa yang boleh dibuat pada  malam-malam buta ni, aku bukannya tukang, fikir Syawal.
      “Rumah macam ni Meera sewa? Tak macam rumah.” Terpacul ulasan itu sebaik naik ke unit kediaman berkenaan.
      “Eh, Meera panggil abang bukan suruh komen fasal rumah ni. Tolonglah apa yang patut. Apa nak buat ni?” Jawab Sharifah Ameera.
      “Hari dah lewat malam. Nak cari siapa betulkan bumbung malam-malam ni,” balas Syawal. Dia sekadar dapat membantu mengeringkan air bersama-sama anak-anaknya sehingga ke jam 4.00 pagi. Berikutan kejadian itu, Syawal berpeluang tidur bersama anak-anaknya dalam keadaan yang tidak menentu. 
Pagi esoknya.
Sharifah Ameera hampir menitiskan air mata melihat keadaan rumah barunya. Kayu perabot diresapi air. Syawal menggeleng-gelengkan kepalanya. Itulah degil sangat, tak ada penyakit, cari penyakit! Namun dia hanya berani berkata-kata begitu di dalam hatinya. Syawal tidak sampai hati hendak mengguriskan perasaan Sharifah Ameera lagi. Mahu saja dia membawa isteri dan anak-anaknya balik, tetapi dia pasti Sharifah Ameera enggan mengikut.
   “Abang rasa, lebih baik Meera panggil tukang yang sama, suruh dia betulkan semula apa yang rosak ni,” Syawal mencadangkan kepada isterinya.
      “Yalah, saya pun berfikiran begitu juga,” jawab Sharifah Ameera.
      “Minta nombor telefon dia, biar abang pergi cari.”
  “Ya, baik juga abang pergi, bawa dia ke sini segera. Kalau tak ambil, nanti lambat pula atau mungkin dia tak datang terus,” jawab Sharifah Ameera sambil memberi nombor telefon tukang berkenaan kepada Syawal.
  “Siapa nak ikut ayah.” Syawal mempelawa.
   Semua diam. Tak berani tinggalkan emak mereka yang dalam kesusahan.
    “Baiklah, ayah pergi dulu,” kata Syawal sambil berlalu pergi. Dia datang semula sebelum tengah hari bersama tukang.  Kerja membaiki bumbung dan memasang semula siling mengambil masa tiga hari. Hasil pemantauan Syawal, banyak yang diperbaiki sehingga kediaman berkenaan kelihatan lebih sempurna daripada sebelumnya. 

Pasang Sendiri Air Terjun

 Hmmm,,, baru saja balik daripada kampung. Selesai pembinaan rumah di atas tanah ayah di kampung, kini tibalah masanya nak buat landskap. Kalau rumah orang lain ada hiasan air terjun dan batu landskap, teringin juga nak hias macam tu. Biarpun bajet ciput, kehendak hati tidak dapat ditahan-tahan untuk memilikinya. Alkisahnya sudah dua bulan kami menempah batu air terjun di Sungai Buluh, baru sekarang dapat mengambil untuk dibawa ke kampung. Punyalah berat sampat tercongek van. Bawa pulang minggu lepas, tak sempat hendak pasang.Memerlukan tenaga beberapa orang lelaki untuk mengangkat kawah air yang terbesar.
 

Lampu dalam air menyerlahkan cahaya biru pada waktu malam.


Jadi minggu seterusnya (Jumaat lalu), kami pulang lagi dengan satu tujuan untuk pasang kawah air terjun bertingkat. Bertolak Jumaat jam 11 malam, sampai jam 1 pagi Sabtu. Amboi kata orang gigihnya, semata-mata nak pasang benda alah tu.  Awal pagi bangun,  Si Dia terus dengan kerjanya. Dimulai dengan memasang. Silap pula publish gambar ikut turutan terbalik, jadi gambar yang teratas itu adalah gambar last, dan gambar yang paling bawah sepatunya di atas. Lantaklah. Jadinya turutan cerita tak sama dengan gambar. Tak apalah.... Gambar:  Si Dia sedang menanam pokok keladi. Dia mengambil pokok keladi dalam semak di luar pagar kawasan rumah dan dipindahkan di sudut laman, berhampiran dinding dan tingkap. Bagus juga tak payah beli, terus dapat pokok yang telah besar.

Selepas selesai pasang kolam bertingkat, diteruskan dengan mengemaskan permukaan tanah, di antara muka tangga belakang dengan tepi kolam. Dengan bantuan anak saudara, Si Ikhwan, kerja berjaya disempurnakan. Mula-mula batu pijak (moulded stepping stone) disusun berderet tiga - tiga secara jarang. Enam keping saja termampu dibeli setakat ini, Kemudian ditaburkan butiran batu hiasan warna putih, di celah-celah batu pijak. Sepatutnya guna kayu, tetapi disebabkan mahal dan bimbang reput atau di makan anai-anai, maka kami memilih batu. Disadvantage, permukaannya panas apabila terdedah pada cahaya matahari. Bercadang nak menukarnya dengan keratan kayu usang, selipar keretapi kalau ada peluang.



Pam kolam air terjun, berfungsi dengan kuasa elektrik. Mereka sedang menyambungkan wayar ke soket elektrik di dinding luar rumah.  Buat kerja pada waktu tengah hari dan panas terik, siap guna payung untuk mengelakkan mata berpinar. Wayar letrik dimasukkan ke dalam paip kondiut dan kemudian ditanam dalam tanah, membawa ke dinding yang ada soket. Nasib baiklah ada Ikhwan menolong, tetapi sebahagian besar kerja dibuat oleh Si Dia  yang boleh dikatakan handy man jugalah...kesian saya tengok dia, buat kerja di tengah panas terik sebab hendak mengejar masa. Esok paginya kami dah kena balik ke KL, kerana sudah berjanji dengan Kamil hendak melawatnya di asrama.

 Sedang memasang bebola air terjuk di puncak tetingkat kawah.

 Di dalam lubang bebola air terjun tingkat bawah, dimasukkan butiran batu, mengikut cara yang diajar oleh pekerja kedai landskap.


Ini di peringkat percubaan memasang sewaktu mula-mula nak pasang.



Saturday, May 12, 2012

Mawar Merah Untuk Ibuku


Apabila ramai kawan-kawan di FB bercakap pasal ibu masing-masing, aku pun turut terpanggil untuk mencoret. Semua menyanjungi ibu masing-masing. Aku pun begitu. Ibuku juga adalah yang terbaik. Tidak ada satu pun ingatan, kemarahannya yang membuatkanku tidak boleh lupa, kerana ibu jarang sekali marah. Ibu menyanjungiku terlebih-lebih sebagai seorang anak, sehingga kuberasa sudah terbalik. Rasa sangat bersalah. Selama ibu masih sihat, kalau aku sekeluarga pulang, ibu akan bersusah payah memasak dan menghalangku daripada membantunya.

“Mu duduklah…” Rela dia menyuruh anaknya duduk berehat daripada meminta bantuan untuk memasak kerana baginya aku pulang sekali-sekala. Terkadang aku juga alpa, leka menonton TV sedang ibu sibuk memasak di dapur. Kini bila ibu sudah uzur dan tidak boleh memasak lagi, aku berasa sangat bersalah. Aku memeluk dan memohon maaf daripada ibu setiap kali pulang. Kini, kalau ada peluang aku akan mengambil kesempatan memasak untuk ibu dan ayah, tetapi dengan adanya seorang kakak yang menjaga kedua orang tua kami sepenuh masa di kampung, kerja aku menjadi lebih ringan. Aku tahu memasak berseorangan itu sebenarnya amat memenatkan (sebab tidak biasa). Aku juga tabik pada kakak yang seorang itu dan kepada adik-beradik lain yang memasak untuk ibu dan ayah.

Apakan daya kerana aku duduk jauh di ibu kota,  aku hanya dapat bersama ibu sekali-sekala.  Biarpun ibu sudah tidak mampu membuat sebarang kerja, kalau aku pulang, ibu akan menarik aku ke dapur untuk melihat apa makanan yang ada yang dimasak oleh kakakku. Ibu akan menyuruh kami makan. Terkadang ibu tidak akan berhenti menyuruh kami makan selagi tidak melihat kami makan. Bila dilihat aku memasak seorang diri di dapur tanpa ada kakak, sebab giliran kakak hendak berehat, lantas ibu menunjukkan rasa terkilan. “Mu seorang saja masak?” Ibu akan bertanya, mana kakak .. seolahnya memasak itu kerja kakak sahaja. Dan aku akan menjawab, “Tak apalah, orang pun boleh memasak… biarlah orang memasak.” Dan ibu akan berkata, “Ya? Terima kasihlah… maaflah…  maafkanlah saya…  (cuba menunjukkan rasa terkilannya kerana membiarkan aku memasak, kerana dia sudah tidak dapat membuat kerja itu lagi.)  Karakter ibu yang begini sering membuatkan aku rasa tersentuh.

Oh ibu, ibu tidak perlu lagi berasa begitu, kini giliran kami pula memasak untuk ibu. Pada hari ibu tahun ini, aku sangat terkilan dan memohon sejuta kemaafan, kerana tidak berkesempatan pulang untuk bersama ibu…. Selamat Hari Ibu… semoga  ibu terus sihat sejahtera, semoga kami dapat membahagiakan ibu… Doakan ku, agar ibu mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat.


Wednesday, May 9, 2012

sembang santai Anjung

Ruangan:  Sembang Santai…
Tajuk:  Cara Betul Mewujudkan Gaya Inggeris Kedesaan.

Tulisan: RASHIDAH IBRAHIM  
Bertitik tolak daripada keinginan untuk bertemu dengan pembaca dan beramah mesra dengan klien serta pencinta dunia hiasan dalaman, seni bina dan landskap, maka majalah Anjung Seri menganjurkan satu program baru, Perbincangan di Meja Bulat iaitu lebih kepada kegiatan sembang santai  yang berkisar mengenai topik berkaitan tiga bidang berkenaan.

Program pertama berlangsung dengan lancar di Laman Kampung, Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 8 Mei lalu.  Perbincangan membabitkan 10 peserta, termasuk Elyza Yong iaitu pengasas syarikat pengeluar fabrik untuk hiasan tingkap dan upholsteri, Elyza’s Home. Kehadiran beliau memeriahkan majlis perbincangan yang diadakan selama kira-kira sejam sebelum, makan tengah hari.

Dalam ulasannya Elyza berkata, rahsia untuk mewujudkan gaya kedesaan Inggeris yang kemas dan menawan adalah dengan memilih kemasan dan barang sesuai dengan tema berkenaan. Menurutnya, beliau amat berhati-hati dalam menentukan pilihan fabrik dan perabot untuk digandingan secara suai padan, bagi mengelakkan suasana berserabut.

Menjawab soalan Penolong Pengarang, Onlia Mohd Dom mengenai kebanyakan penataan yang dilihat tidak sama dengan ruang contoh rekaan Elyza, beliau menjawab; itu disebabkan mereka cenderung mencampur-adukkan unsur hiasan yang tidak selari dengan tema berkenaan. 

“Sesetengah mereka hanya menonjolkan langsir bergaya Inggeris tetapi pemilihan perabot dan perhiasan lain tidak seiring. Perabot jenis kayu yang sesuai ialah berwarna putih. Warna ini adalah selamat dan serasi untuk semua jenis corak fabrik. Secara peribadi, saya akan memilih perabot berwarna putih. Pilihan corak pula adalah pelbagai, namun jika corak berbunga sarat tidak seharusnya ditonjolkan terlalu banyak, cukup pada langsir atau pada fabrik upholsteri sahaja. Selebihnya digandingkan dengan corak ringan seperti jalur, dam atau polos,” ujarnya sambil menunjukkan contoh gambar pada katalog langsir keluaran Elyza’s Home.

Era penataan gaya Inggeris sekarang kata Elyza adalah tidak terlalu sarat, kerana kebanyakan pengguna kini sudah beralih selera kepada gaya yang lebih ringkas, tidak terlalu banyak ropolan dan corak. Maka itu, Elyza’s Home turut mengeluarkan fabrik bercorak ringan yang sesuai juga dengan gaya lain seperti urban dan sebagainya.

Peserta daripada rakan Facebook (FB) English Style Decoration Group (ESDG), Intan Kamariah berkata, beliau mengenali beberapa peminat fanatik gaya Inggeris yang menghias rumah dengan terlalu banyak perhiasan.

“Misalnya sewaktu berkunjung ke Singapura, ada tiga rumah yang menampilkan gaya sedemikian. Mereka menghias begitu daripada luar sehingga ke dalam bilik tidur dan bilik air. Peliknya, rumah apartmen di sana tidak berhabuk seperti di sini,” ujar Kamariah yang juga peminat gaya Inggeris.
Menurut Intan Kamariah, sebenarnya dia hanya menyukainya sejak muda lagi  tanpa mengetahui apakah jenis gaya itu. Setelah menyertai kumpulan FB ESDG, barulah dia terdedah kepada gaya penataan berkenaan, dan mendapati ramai yang sudah terkedepan dalam penggayaan itu.

 Ikuti lanjutan rencana ini dalam Anjunf Seri keluaran Jun 2012

Salah seorang peserta, Sam Raja Aziz bergambar bersama pengasas Elyza's Home, Elyza Yong.