Saturday, May 12, 2012

Mawar Merah Untuk Ibuku


Apabila ramai kawan-kawan di FB bercakap pasal ibu masing-masing, aku pun turut terpanggil untuk mencoret. Semua menyanjungi ibu masing-masing. Aku pun begitu. Ibuku juga adalah yang terbaik. Tidak ada satu pun ingatan, kemarahannya yang membuatkanku tidak boleh lupa, kerana ibu jarang sekali marah. Ibu menyanjungiku terlebih-lebih sebagai seorang anak, sehingga kuberasa sudah terbalik. Rasa sangat bersalah. Selama ibu masih sihat, kalau aku sekeluarga pulang, ibu akan bersusah payah memasak dan menghalangku daripada membantunya.

“Mu duduklah…” Rela dia menyuruh anaknya duduk berehat daripada meminta bantuan untuk memasak kerana baginya aku pulang sekali-sekala. Terkadang aku juga alpa, leka menonton TV sedang ibu sibuk memasak di dapur. Kini bila ibu sudah uzur dan tidak boleh memasak lagi, aku berasa sangat bersalah. Aku memeluk dan memohon maaf daripada ibu setiap kali pulang. Kini, kalau ada peluang aku akan mengambil kesempatan memasak untuk ibu dan ayah, tetapi dengan adanya seorang kakak yang menjaga kedua orang tua kami sepenuh masa di kampung, kerja aku menjadi lebih ringan. Aku tahu memasak berseorangan itu sebenarnya amat memenatkan (sebab tidak biasa). Aku juga tabik pada kakak yang seorang itu dan kepada adik-beradik lain yang memasak untuk ibu dan ayah.

Apakan daya kerana aku duduk jauh di ibu kota,  aku hanya dapat bersama ibu sekali-sekala.  Biarpun ibu sudah tidak mampu membuat sebarang kerja, kalau aku pulang, ibu akan menarik aku ke dapur untuk melihat apa makanan yang ada yang dimasak oleh kakakku. Ibu akan menyuruh kami makan. Terkadang ibu tidak akan berhenti menyuruh kami makan selagi tidak melihat kami makan. Bila dilihat aku memasak seorang diri di dapur tanpa ada kakak, sebab giliran kakak hendak berehat, lantas ibu menunjukkan rasa terkilan. “Mu seorang saja masak?” Ibu akan bertanya, mana kakak .. seolahnya memasak itu kerja kakak sahaja. Dan aku akan menjawab, “Tak apalah, orang pun boleh memasak… biarlah orang memasak.” Dan ibu akan berkata, “Ya? Terima kasihlah… maaflah…  maafkanlah saya…  (cuba menunjukkan rasa terkilannya kerana membiarkan aku memasak, kerana dia sudah tidak dapat membuat kerja itu lagi.)  Karakter ibu yang begini sering membuatkan aku rasa tersentuh.

Oh ibu, ibu tidak perlu lagi berasa begitu, kini giliran kami pula memasak untuk ibu. Pada hari ibu tahun ini, aku sangat terkilan dan memohon sejuta kemaafan, kerana tidak berkesempatan pulang untuk bersama ibu…. Selamat Hari Ibu… semoga  ibu terus sihat sejahtera, semoga kami dapat membahagiakan ibu… Doakan ku, agar ibu mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat.


No comments:

Post a Comment