Tajuk: Pengaruh Tema Bali
Bukan lagi asing di kalangan masyarakat kita, gaya Bali kian digemari disebabkan ia berasal daripada rantau yang sama dengan negara ini. Dengan adanya kemudahan pengangkutan penerbangan pada masa ini, membolehkan sesiapa sahaja pergi ke sana pada bila-bila masa untuk mendapatkan barangan hiasan atau mengintai gaya penataan terkini. Bahkan Bali dikatakan antara pusat pengeluaran pelbagai jenis barangan hiasan yang menjadi kesukaan penggemar hiasan dalaman di negara ini.
Jika kepingin untuk menerapkan gaya Bali, ada tiga gaya yang boleh dipertimbangkan iaitu tradisional Bali, semasa dan pusat peranginan (resort). Bagaimanakah gayanya kediaman tradisional Bali? Gaya ini masih boleh dilihat kalau kita pergi ke kawasan luar bandar. Cirinya sangat unik, mungkin sukar dipersembahkan dalam kawasan tanah yang terhad.
Sewaktu dibawa melawat ke kawasan perkampungan di Bali suatu masa dahulu, Nur Seri teruja melihat keadaan tempat tinggal di situ. Berbeza dengan kediaman di sini, di mana satu keluarga kampung menghuni sebuah rumah sebaliknya satu keluarga di sana tinggal di satu kawasan kediaman yang mempunyai beberapa bangunan, setiap satu dengan fungsi tersendiri. Keadaannya boleh diibaratkan sebagai satu kompleks kediaman kecil.
Hanya satu bangunan dibina sempurna sempurna iaitu berbumbung dan berdinding yang dikhususkan untuk ketua keluarga iaitu ibu dan bapa. Manakala yang lainnya adalah binaan konsep terbuka, iaitu berbumbung tanpa dinding umpama pondok, khusus untuk tempat beristirahat dan menerima tetamu, tempat memasak dan makan serta pondok tempat tidur anak atau ahli keluarga lain. Terdapat juga satu bangunan yang berbumbung dan bertiang tinggi yang dijadikan tempat menyimpan barangan.
Kecuali rumah ketua keluarga yang dibina daripada batu bata dan buluh yang berlantai tinggi dan bertangga, yang lainnya sekadar diperbuat daripada kayu dengan lantai tidak mencecah tanah. Rumah tradisional ini dibiarkan kosong tanpa sebarang perabot, tempat tidur sekadar berupa pangkin yang bertilam ringkas. Semua binaan berada dalam satu kawasan lanskap yang dilengkapi pura iaitu tempat beribadat.
Ciri Bali yang ketara adalah bumbungnya diperbuat daripada bahan semulajadi disebut alang-alang iaitu berupa jerami yang dilihat daripada dekat seperti sabut berwarna hitam atau coklat pekat. Bahan bumbung ini dipasang di atas alang dan kasau buluh yang dikatakan tahan panas dan hujan.
Kompleks kediaman berkenaan terlindung di sebalik tembok batu-bata yang tidak dilepa mahupun dicat yang dibina sekelilingnya. Uniknya laluan keluar masuk adalah kecil, hanya boleh ditelusi oleh seorang pada satu masa, yang bermakna kereta pun tidak dapat dibawa masuk ke dalamnya. Laluan keluar masuk itu dibiarkan terbuka tanpa pintu.
Hakikatnya gaya rumah tradisional Bali menepati ciri resort disebabkan ia mempunyai halaman hijau dan beberapa bangunan terbuka sebagai tempat bersantai. Bali moden mahupun resort, memperlihatkan penggunaan kelengkapan perabot daripada kayu jati yang banyak dikeluarkan di negara itu. Reka bentuk resort Bali yang lebih kepada ciri tradisional tentunya mengekalkan penggunaan bahan semula jadi, alang-alang dan buluh untuk bumbung yang digandingkan dengan binaan batu bata berlepa atau buluh untuk dinding. Sementara gaya Bali semasa, sekadar menyelitkan ciri-cirinya menerusi konsep binaan terbuka dari segi melebihkan binaan pintu dan tingkap, beranda besar dan penggunaan perabot jati serta unsur hiasan bersesuaian.
Tema Bali juga dikaitkan dengan gaya kehidupan santai di pantai tropika, dengan cahaya panas semula jadi dan pasir putih serta bunyi deruan air laut yang mendamaikan. Pusat-pusat peranginan atau kediaman dalam kompleks golf di negara ini sering menerapkan gaya seperti ini, namun unsur laut digantikan dengan binaan kolam berair terjun atau kolam hiasan yang besar. Perlu diingatkan unsur air adalah juga antara ciri penting kerana ia mendekatkan kehidupan dengan alam. Ini kerana kediaman pengaruh Bali adalah gaya hiasan dalaman yang menyatukan perasaan terhadap cahaya, alam dan ruang terbuka yang luas seperti yang diterangkan di atas.
Dari segi lantai pula, mengutamakan penggunaan kemasan berunsurkan organik atau semula jadi dengan tona neutral seperti warna tanah, permukaan lantai tidak licin mahupun berkilat. Kayu perabot mahupun kemasan binaan, berwarna asli dan suram. Lantai jubin porselin atau seramik jenis terracotta (merah bata) atau warna lembut seperti coklat dan krim iaitu yang tidak menonjolkan warna. Kelebihan tona begini adalah baik dari segi kurang penyelenggaraan.
Kemasan lain yang boleh diguna untuk lantai ialah batu pebble yang dilapisi ambal. Bahan hamparan atau kusyen boleh menggunakan warna menonjol sebagai unsur aksen atau tarikan di kawasan foyer atau titik tumpu untuk membangkitkan seri suasana.
Dinding dibiarkan polos atau bertona cerah bagi membiaskan cahaya matahari dan membuatkan suasana lebih besar dan luas. Ruang-ruang hendaklah berkeadaan lebih terbuka dan mempunyai perhubungan di antara satu sama lain. Ini juga untuk mendapatkan ilusi lebih banyak cahaya dan udara di ruang kediaman berkenaan. Untuk pengaruh moden semasa, boleh menyelitkan bahan moden seperti kaca kabut, bingkai yang tidak berukir dan warna sedikit menyerlah.
Ringkasan ciri Bali
- Meja kopi dan sette rendah panjang, menegaskan perhubungan rapat dengan bumi.
- Perabot kayu tropika atau etnik warna gelap seperti jati menegaskan semula jadi.
- Sofa fabrik tidak berwarna atau warna suram dengan tempat duduk dialas kusyen warna coklat atau krim untuk suasana tenang.
- Sedikit selitan warna merah atau keemasan untuk kesan dramatik.
- Perabot potongan lurus dan ringkas serta corak ringkas seperti sedikit garis untuk pengaruh moden dan berukir tangan daripada kayu tropika warna gelap untuk gaya etnik.
- Tempat duduk dilengkapi kusyen hiasan warna krim atau batu permata tiruan warna emas untuk kesan dramatik.
No comments:
Post a Comment