Thursday, June 18, 2009

Pergimu Tak Kembali Lagi

Seorang ibu dan nenek yang bersemangat waja. Akhirnya menitiskan air mata apabila meninggalkan pesanan supaya anak-anak tidak bergaduh apabila dia tiada. Seperti tahu yang hayat sudah hampir sampai ke penghujung. Sudah lama arwah mengatur, bahagian anak-anaknya. Yang berada di senarai teratas disayangi, mendapat tanah pusaka tapak rumah di kampung di Kelantan. Dapatlah mereka membina banglo, setelah rumah kayu yang penuh nolstalgia dirobohkan.

"Mu semua janganlah bergaduh atau berdengki, yang tak dapat bahagian tapak rumah ini mak tinggalkan tanah yang di sana....." kata arwah sebelum meninggalkan kami. Baru saya tahu tanah yang di sana tu, lokasinya agak baik juga.

Hasmah, ibu mertuaku yang ku panggil mak - sangat prihatin terhadap nasib dan masa depannya dan anak-anak. Walaupun dia mempunyai lapan anak yang sesetengahnya berjawatan penting, tetapi dia menyimpan duit sendiri untuk kegunaan di hari kematiannya. Malah saya diberitahu, arwah mak sempat mengamanatkan beribu-ribu ringgit kepada dua anaknya untuk diguna pada hari kematiannya. Patutlah semua nampak relaks. Ternyata mak tidak mahu menyusahkan anak-anaknya. Anak-anak pun senang tidak bergaduh sesama sendiri, siapa keluar banyak atau siapa keluar sikit untuk urusan pengkebumian dan kenduri arwah.

Tidak mahu menyusahkan anak-anak lain, arwah mak mendirikan banglo untuk anak bungsunya, satu-satunya anak yang tidak bekerja. Arwah juga berusaha mencarikan jodoh untuknya (adik bungsu). Selepas anak terakhir itu berkahwin, dia berasakan tugasnya dah selesai. Sebelum pergi, dia sempat mengumumkan, "rumah ini, mak serahkan kepada adik bungsu kamu semua."

Ada beranggapan, selama ini mak bertahan - melawan penyakit tiga serangkainya kerana anak bongsunya itu. Selagi dia tidak berkahwin, arwah menganggap tugasnya belum selesai. Selepas adik mendapat jodoh, arwah benar-benar lega. Selepas itu arwah tidak ada upaya lagi untuk melawan penyakitnya. Koma sehari sahaja, lepas tu tiada.

Saya dan suami akur, bukan tergolong dalam senarai teratas kesayangan mak. Mengapa? Itu tidak payah dipersoalkan. Yang pasti saya memang ingat jasa mak. Mak menjaga dan memberi makan dua anak saya (Irfan Izzat dan Iliyana) yang tinggal bersamanya sewaktu mereka di darjah enam. (Masuk saja darjah enam, kami selalunya menghantar anak bersekolah di Pulai Chondong yang tersohor melahirkan ramai lulusan 5A dalam UPSR). Sewaktu itulah badan mereka naik mengembang, tambahan emak saudara mereka Che Ti juga rajin memasak.

Arwah mak seorang keras hati. Apabila anak bercakap kasar dengannya kerana tidak sependapat mengenai sesuatu perkara, dia telan sahaja. Namun pendapatnya tetap dipertahan. Apa yang dipertahankan itu sebenarnya untuk anak-anaknya juga. Apa lagi kalau tidak fasal tanah. Bagi arwah, tanah yang ada pantang dijual. Mahunya tanah itu disimpan sampai bila-bila. Biasalah anak-anak memikirkan yang lain. Ada yang tidak mahu menetap di kampung. Ada yang memilih untuk tinggal di kampung isteri. Mungkin juga di Kuala Lumpur. Kelantan tu terlalu jauh, ada di antara anak dan cucunya pula sudah biasa hidup di KL.

Walaupun diri ini menantu agak rapat dengan arwah mak, tahu ada benda mak tak suka. Selalunya fasal layanan terhadap anaknyalah (suami). Baginya saya tidak melayan suami seperti mana dia melayan suaminya (sudah lama arwah). Makan minum, ikut waktu. Siap berhidang sepanjang masa.

Orang kerja, macam manalah nak buat sempurna mak. Balik dari kerja sama-sama dah jam 7 - 7.30 malam, kadang 8 dan kadang-kadang 9 malam. Sampai rumah dah letih. Mana sempat masak... nasi bungkus atau ke kedai Tom Yamlah jawabnya. Dah biasa begitu...Tapi mak tak faham. Bila di rumah arwah mak di kampung, selalu dijeling-jeling kalau saya lewat atau buat-buat lupa masak, sampai kena diingatkan selalu.

Hemm... terkilan jugalah, tahun ni jarang balik ke kampung, Gara-gara Irfan Kamil anak bungsu sibuk tuition sabtu ahad. Kamil satu-satunya anak yang mengambil UPSR di sekolah di Selangor. Tak sempat tengok arwah sewaktu tenat. Tahu-tahu, terima panggilan daripada suami di Kelantan, "mak dah tak ada". Terus terduduk. Berair mata saya. Apabila diberitahu, anak bungsu, Irfan Kamil tidak percaya.

"Tipu, Tipu, Tipu" kata Kamil. Sebentar kemudian dia memberontak mahu pulang ke kampung, "nak tengok mak, nak tengok mak"katanya. Tidak peduli lagi fasal dia akan menghadapi peperiksaan hafazan untuk PSR sebenar esoknya. Saya serba-salah.

Abangnya pun sama. "Izzat nak tengok mak, jomlah balik." Berkali-kali dia mengajak. Sanggup hendak memandu malam-malam tu sedangkan Izzat masih tak sihat, deman dah berhari-hari, belum sembuh betul.

"Pergi ketuk pintu rumah Uztaz, minta ditangguhkan hari peperiksaan hafazan Kamil, sms dan telefon dia tak berjawab," saya memberitahu Izzat. Nasib baik dibenarkan. Dapatlah juga pula menghadiri pengkebumian itu.

Apa-apa pun, kenangan terakhir ialah dapat meriba jenazah mak ketika dimandikan. Walaupun gentar sebab tak biasa, tetapi dapat juga menahan duduk sehingga tugas itu selesai.

3 comments:

  1. mg roh arwah dicucuri rahmat amin..

    ReplyDelete
  2. Ya Amiinn..TK Siti. Selepas jadi arwah, barulah terkenangkan kesalahan-kesalahan kita,.. satu yang ketara, selalu kita melebihkan (kasih sayang) kepada ibu sendiri.

    ReplyDelete
  3. Like I mentioned earlier...she 'was' a super lady. Tears from my eyes...would always remember her - fairness, esteem and sheer honesty. Wasallam and Al-Fatihah ... 44X.

    ReplyDelete