Sepuluh tahun lalu, mak yang mengidap penyakit tiga serangkai pun sudah tidak berdaya. Hidupnya bergantung kepada ubatan-ubatan doktor. Ke mana sahaja, satu beg plastik besar ubat di bawa. Di rumahnya dalam laci plastik bertingkat, penuh dengan ubatan-ubatannya. Ubat sakit jantung, sakit darah tinggi, kencing manis, sakit pinggang, sakit urat, tahan muntah dan macam-macam.
Saat kami ingin pergi umrah kira-kira 10 tahun lalu, arwah mak ingin ikut serta. Biasalah dia mengeluarkan duit sendiri untuk tambang. Hairannya, sampai di Tanah Suci Mekah, arwah cukup bertenaga. Larat tawaf dan saie mengikut syarat. Tidak merungut sakit lutut, tidak bersungut letih atau penat seperti di rumah sebelumnya.
Dengan adanya mak yang kurang berdaya seperti orang muda, pergerakan saya dan suami terhad. Kami tidak boleh pergi merewang ke sana sini atau berlama-lama `window shopping' hatta memilih barangan. Selesai yang fardu, terus mengikut mak balik ke bilik hotel. Dia ingin segera berehat.
Satu hari, teringin benar saya melihat-lihat barangan jualan dalam perjalanan pulang ke hotel. Saya memberi isyarat tangan menyuruh suami membawa mak pulang ke hotel dahulu. Saya mahu berseorangan menengok barangan, memberi tumpuan memilih atau sekadar melihat-lihat. Selepas memberi isyarat kepada mereka supaya pulang dahulu, saya berpaling semula ke arah barangan yang sedang dipilih.
Mengikut gerak hati, saya berpaling semula ke belakang. Saya dapati arwah mak masih tercegat lagi di sebelah sana, memandang tepat ke arah saya. Rupanya dia dan suami saya tidak pun beredar dari situ. Bagai faham, saya terus meluru ke tempat mereka dan berkata, "Kenapa tak pergi, tinggallah orang di sini nak tengok barang-barang."
Fahamlah saya, walaupun di tanah suci Mekah, arwah mak tidak harap/tidak yakin meninggalkan saya berseorangan. Teringat pula kisah, ada wanita Malaysia yang hilang di tanah suci Mekah, disyaki diculik atau dibawa lari Pak Arab. Mungkin itu yang dibimbangkan mak. Saya lagi saya tak ikut pulang, arwah tidak akan balik ke bilik.
Dipendekkan cerita, saya pun mengikut mereka pulang ke bilik hotel. Nak meninggalkan mak berseorangan di dalam bilik semata-mata ingin pergi membeli-belah bersama suami, tidak sampai hati pula. Jadi tidak dapatlah kami merayau ke serata tempat, melainkan beribadat melaksanakan umrah setiap hari sepanjang dua minggu di Mekah dan Madinah.
Bagaimanapun dapatlah juga membeli serba sedikit barang di sekitar hotel dan masjid untuk dibawa pulang.
No comments:
Post a Comment