Friday, February 24, 2012

Malangnya Si Burung Itu!


Setelah penat mendongak melihat si dia memasang langsir, saya melangkah ke luar bilik untuk meredakan lenguh leher kerana terlalu lama memandang ke atas. Ini adalah langsir sementara, kerana yang betul-betul belum dibeli lagi. Sampai keluar di ruang tamu, saya terkejut melihat sesuatu. "Apa tu?" Bisik hati. Kelihatan seperti benda hidup tetapi kelihatan kaku di lantai.


Saya terus mendekatinya, lalu menyedari bahawa ia adalah seekur burung yang sangat cantik. Bulunya berwarna hijau kebiruan, cantik dan gebu. Sayangnya ia seperti sudah mati, terlantar kaku. Apa telah jadi pada burung ini? Mengapa ia mati? Lantas teringat, beberapa hari lalu, Pak Cu Wee memberitahu saya, beberapa ekor burung mati terlanggar kaca tingkap sewaktu rumahnya baru siap.

Kalau tidak kerana Pak Cu Wee memberitahu begitu, harus pening kepala saya memikirkan kenapa burung itu mati di dalam rumah? Mungkin sahaja saya akan terfikir, ada orang ingin menghantar sesuatu niat jahat..he he he... macam terpengaruh dengan cerita misteri je... Tapi tak boleh juga berfikir begitu, kerana burung yang mati itu dalam keadaan baik, tidak ada darah, malah seperti sedang lena tidur. Jika difikir secara logik, percayalah saya bahawa tingkap kaca lut sinar yang berderet itu telah mengelirukan pandangan burung, sehingga terlanggar dan patah lehernya.



Lihatlah burung malang ini. Ternampak saja burung itu, saya lantas menjerit memanggil semua yang ada. "Ayah, tengok kenapa burung ni!!" Pada mulanya ayah juga hairan. Perlahan-lahan dia mendekati burung itu dan cuba melihat sama ada ia betul-betul sudah mati. Memang pun, ia sudah kaku dan tidak bergerak lagi.


Kalaulah burung ini masih hidup, tentu saja boleh disembelih dan dimakan. Tapi melihatkan rupanya yang comel, saya tidak pasti boleh menelannya atau pun tidak kalau dimasak. "Burung apa ni ayah?" Soal saya. Ayah yang pernah tinggal di pinggir hutan dan meneroka kebun, tentu saja kenal jenis-jenis burung, bisik hati saya.

"Inilah burung punai kata ayah," kata ayah.
"Betulkah? Oh begini rupanya....Cantik juga burung punai ni ya!" Saya suka warnanya yang hijau kebiru-biruan. Kami semua kasihan melihat burung ini yang malang ini.

Si dia juga teruja melihatnya. Dia lantas memegang kedua-dua hujung sayap. Ini dia rupa burung punai berkenaan apabila dipandang dari belakang.

Ini pula pandangan dari depan. Saya lantas terfikir, alangkah baiknya jika burung ini masih hidup. Memandangkan ia sudah mati, saya terfikir juga untuk mengawetnya, tetapi bagaimana? Bukan pernah ada pengalaman mengawet haiwan pun. Kalau diawet tentunya cantik macam burung-burung yang dipamer di muzium. Takkan nak minta tolong orang muzium? Lupakan sajalah! Nak tahu apa jadi dengan bangkai burung ini? Saya fikir si dia menggali lubang dan `mengebumikannya` tetapi apabila ditanya, dia menjawab: "Sudah dilemparkan ke dalam kebun kelapa sawit di sebelah!" ... Aduhai, kesiannya si burung itu!




No comments:

Post a Comment