Lilin besar warna putih, penyeri meja kopi yang beralaskan kain pua di ruang tamu.
Hiasan patung kuda belang, lilin berkaki, cermin dinding dan lampu hasil tangan kreatif Ajaq dan Faiz.
Rak merah hitam mempamerkan himpunan barangan seramik dan cawan. Susunan peralatan menghidang di atas meja meja menunjukkan contoh kreativiti menghias Ajaq dan Faiz.
Daun pintu bilik tidur dan rak hiasan bercat merah menyerlah. Tampalan corak petak hitam menggamit pandangan.
Penataan Berani dengan Merah Menyerlah
Mengubah gaya hiasan dalaman rumah adalah kegemarannya. Sesuatu gaya penataan tidak pernah bertahan lama. Jika sesetengah orang mengekalkan cat di dalam rumah sehingga lima tahun tetapi bagi pemilik rumah yang satu ini hanya bertahan kira-kira dua tahun saja. Minat mendalam di bidang hias menghias menyebabkan Abdul Razak Ahmad, 35, kerap menukar suasana penataan kediamannya di Shah Alam, Selangor.
Menurut Abdul Razak yang selesa disapa Ajaq, kehadiran rakan serumah, Faiz Low Abdullah @ Kenny yang sealiran minat, memudahkan kerjanya untuk menukar ganti gaya penataan rumah. Biarpun bekerja makan gaji menurut Ajaq, beliau tidak terkongkong dari segi masa, justeru dapat menjalankan perniagaan sambilan tanpa sebarang halangan.
Beliau mengakui urusan menjadi lebih mudah dengan adanya rakan kongsi, Faiz yang bukan sahaja kaya ilham, tetapi juga arif dalam menghasilkan gubahan bunga dan hantaran. Gabungan dua orang menyebabkan mereka berani menjalan perniagaan penyediaan pakej perkahwinan dan gubahan bunga. Dua rakan itu kerap menerima tugasan menghias dewan majlis perkahwinan, menata hias meja makan, merancang susun atur ruang dalaman dan pencahayaan serta membina pelamin untuk majlis di dewan dan rumah. Namun Ajaq lebih kepada urusan pemasaran manakala Faiz melakukan kerja kreatif.
Kala urusan perniagaan kurang sibuk, mereka akan memikirkan sesuatu untuk mengubah gaya hisan rumah. Berpegang kepada prinsip `mesti boleh’, mereka tidak pernah berputus asa atau was-was dalam menentukan sesuatu seperti soal warna dan gaya penataan.
Menurut Ajaq lagi, penampilan paling berani yang pernah mereka terapkan di rumah teres setingkat itu ialah tema merah menyerlah menggantikan gaya semula jadi.
“Kami menggandingkan paduan tiga warna tema iaitu merah, hitam dan putih supaya rumah nampak lebih menyerlah daripada sebelumnya. Paduan warna-warna ini ditonjolkan menerusi dinding, unsur barangan dan hiasan serta termasuk permukaan pintu bilik,” ujarnya.
Bagaimanapun menurutnya, untuk bilik tidur mereka mengekalkan putih pada dinding, manakala perabot berwarna coklat. Keindahan suasana bilik itu diserlahkan menerusi pantulan warna pada dinding, yang tidak nampak terlalu putih.
Paling membanggakan, mereka bukan sahaja menghasilkan sendiri unsur hiasan, bahkan pandai mereka bentuk dan menghasilkan sendiri perabot. Bagi melindungi warna asli kayu, mereka mengecat semua permukaan kayu dengan warna merah cili. Bunga dan lilin hiasan tidak ketinggalan diguna untuk menerbitkan seri di sudut meja makan dan di atas meja kopi.
“Hampir semua barangan termasuk rak televisyen , kerusi, lampu dan cermin dinding, kami buat sendiri. Kelebihannya, dapat menonjolkan keunikan bagi setiap rekaan yan g kami hasilkan,” ujar Ajaq.
Menurut beliau lagi, semua rekaan itu tidak mengambil ilham daripada mana-mana melainkan idea mereka sendiri.
“Mungkin pernah dilihat di majalah, tetapi itu cuma kami jadikan rujukan. Kami lebih suka menggubahnya sendiri supaya tidak nampak sama dengan yang pernah dilihat,” jelasnya yang juga berjaya menghasilkan rak televisyen daripada kayu.
Sesetengah barangan seperti rak televisyen kelihatannya rumit namun menurutnya, tugas itu hanya mengambil masa dua hingga tiga hari sahaja. Ada barangan, kami hasilkan dengan tenaga sendiri tidak sampai setengah hari.
Ditanya sama ada bahagian hisan yang paling sukar untuk dizahirkan, beliau berkata, “ tidak ada yang sukar kerana kami sudah tetapkan setiap benda yang hendak dibuat, perlu disediakan lakaran terlebih dahulu. Jadi bagi kami semua mesti boleh dibuat. Ini dapat mengelakkan pembaziran.
Sebelum ini menurutnya, gaya penataan rumah berkonsep suram hasil penggunaan warna gelap dan cahaya jenis malap. Ketika itu, suasananya sejuk dan redup hasil penggunan warna-warna seperti hijau zaiton serta coklat gelap iaitu warna kesukaannya. Ajaq menambah, berpegang kepada prinsip `mesti boleh’, beliau mampu melaksanakan dua tugas pada satu masa iaitu bekerja di jabatan teknologi maklumat dan mengendalikan perkhidmatan pakej perkahwinan pada satu masa.
Menurut Ajaq lagi, Faiz adalah sahabat baik dan rakan kongsi perniagaannya.
“Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya . Paling saya suka, dia Faiz banyak idea unik, namun dia lebih suka diam dan fokus kepada kerja-kerja tangannya, sementara saya lebih banyak bercakap. Gandingan serasi mendorong kami berusaha lebih giat untuk meningkatkan taraf hidup,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment